26.6 C
Kuala Lumpur
Thursday, May 9, 2024

Dua lelaki Bangladesh dalang sindiket Program Rekalibrasi

Mesti Baca

Muhammad Muzamil
Muhammad Muzamil
Wartawan Edisi 9

CYBERJAYA –  Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menumpaskan satu sindiket menguruskan Program Rekalibrasi Pulang yang didalangi oleh dua lelaki warganegara Bangladesh di Kuala Lumpur pada Selasa lalu.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaime Daud berkata, operasi yang dijalankan oleh Bahagian Perisikan dan Operasi Khas JIM Putrajaya berjaya menahan kedua-dua dalang itu yang berusia  38 dan 53 tahun. 

“Salah seorang suspek yang ditahan dikehendaki oleh Jabatan Imigresen Kedah rentetan tangkapan ejen Program Rekalibrasi di negeri tersebut pada bulan Mac lalu.

“Hasil kerjasama dan maklumat yang disalurkan oleh orang ramai, sindiket ini berjaya dikesan beroperasi di sebuah bilik sewa premis kedai yang terletak di Lebuh Ampang, Kuala Lumpur,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, dalam serbuan itu JIM menemukan empat naskah pasport, empat Dokumen Perjalanan Bangladesh yang disyaki untuk digunakan dalam Program Rekalibrasi, puluhan slip temujanji online (STO) di Pejabat Imigresen Malaysia di pelbagai negeri , borang Permit Pergerakan PKP untuk tujuan rentas negeri, dokumen kedutaan Bangladesh dan lapan kad bank. 

Advertisements
Dokumen yang dirampas oleh Jabatan Imigresen.

“Kesemua barang yang ditemui dipercayai berkait dengan aktiviti yang dijalankan.  Modus operandi sindiket ini adalah mensasarkan warga Bangladesh yang telah tinggal lebih masa atau tidak mempunyai dokumen di negara ini. 

“Sindiket ini juga disyaki mengeluarkan Dokumen Perjalanan Bangladesh secara tidak teratur dan memperdayakan warganegara Bangladesh dalam urusan Program Rekalibrasi Jabatan Imigresen Malaysia,” katanya.

Menurut Khairul Dzaime, berdasarkan maklumat awal, sindiket mengenakan bayaran antara RM1,100 hingga RM2,600 bagi setiap permohonan Rekalibrasi. Manakala bagi permohonan mendapatkan Dokumen Perjalanan bayaran yang dikenakan di antara RM1,000 hingga RM1,500. 

“Berdasarkan slip STO yang dijumpai sindiket ini disyaki telah menguruskan lebih daripada 200 permohonan sepanjang Program Rekalibrasi dijalankan.  Kedua-dua lelaki Bangladesh ini ditahan dan disiasat dibawah Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Pasport 1966,” katanya.

Beliau menegaskan, JIM sekali lagi menegaskan tidak pernah melantik mana-mana ejen bagi menguruskan Program Rekalibrasi ini dan orang ramai dinasihatkan supaya berurusan terus dengan Jabatan ini dan tidak mempercayai pihak ketiga bagi menguruskannya. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Selangor sah tarik diri Piala Sumbangsih bertemu JDT

SELANGOR FC (SFC) membuat keputusan untuk menarik diri daripada perlawanan Piala Sumbangsih menentang Johor Darul Ta’azim di Stadium Sultan...

Lagi Artikel Berkaitan