31 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

Vape jana ekonomi, MyWATCH sangkal laporan media

Mesti Baca

CYBERJAYA – Pertubuhan Wanita Malaysia Untuk Kawalan Tembakau dan Kesihatan (MyWATCH) kesal dengan laporan Utusan Malaysia yang menyatakan bahawa industri rokok elektronik dan vape bakal memberikan impak ekonomi kepada kerajaan dan menjadi sumber hasil baharu kepada negara ekoran pandemik COVID-19.

Presidennya, Roslizawati Md Ali berkata, andaian itu adalah tidak wajar dan seolah-olah tidak peka terhadap situasi negara yang terpaksa berhadapan dengan jumlah kes COVID-19 melebihi 7,000 sehari dengan jumlah kematian melebihi 40 kematian dalam satu-satu masa.

Menurut beliau, jika dilihat kepada kajian-kajian terkini oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melalui kenyataan yang telah dikeluarkan pada 30 Jun 2020 dan disokong dengan beberapa kajian yang dijalankan di luar negara, jelas menunjukkan bahawa penggunaan rokok termasuk rokok elektronik atau vape akan meningkatkan risiko komplikasi yang lebih teruk sekiranya dijangkiti virus COVID-19.

“Malaysia telah menjalankan kajian ke atas 5,889 pesakit COVID-19 yang telah dimasukkan ke hospital pada 1 Februari 2020 hingga 31 Mei 2020 dan telah mengesahkan bahawa golongan perokok mempunyai risiko hampir dua kali ganda untuk mendapat komplikasi iaitu kegagalan pernafasan, kegagalan buah pinggang dan juga kegagalan hati jika dijangkit virus COVID-19.

“Oleh yang demikian pihak MyWATCH tidak melihat kewajaran untuk kerajaan menggalakkan industri yang mengancam nyawa rakyat Malaysia atas alasan untuk merancakkan ekonomi atas sebab pandemik COVID-19.

“Negara kita Malaysia bukan sahaja akan berdepan dengan masalah merawat kesan komplikasi COVID-19 yang lebih tinggi, malahan bakal menanggung beban akibat komplikasi penyakit yang lain seperti EVALI (Electronic cigarette and Vape Associated Lung Injury).

“Adalah dianggarkan beban ekonomi dan kos kewangan yang akan ditanggung oleh kerajaan akan melebihi RM3 bilion setahun,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Kenyataan media itu mewakili pandangan bersama MyWATCH, Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM), Persatuan Kesihatan Remaja Malaysia (MAAH), Pertubuhan Green Lung Malaysia (MGLA) bersama-sama Pesuruhjaya Kanak-kanak Suruhanjaya Hak Asasi Manusia, Majlis Kebajikan Kanak-Kanak Malaysia (MKKM), Persatuan Pediatrik Malaysia (MPA), dan 51 badan profesional dan pertubuhan bukan kerajaan yang lain.

Pada 26 Mei lalu, mereka mengeluarkan kenyataan media yang menegaskan penggunaan dan penjualan rokok elektronik akan menyebabkan implikasi yang sangat hebat kepada negara terutama ketika negara sedang dilanda wabak pandemik COVID-19.

Roslizawati memberitahu, hasil tembakau termasuk rokok merupakan produk sah yang didagangkan namun ia telah membunuh separuh daripada penggunanya.

Beliau menambah, negara kini telah menanggung beban kos untuk merawat hanya tiga daripada penyakit akibat merokok iaitu sebanyak RM2.9 billion dan akan dijangka meningkat kepada RM 7.2 billion menjelang tahun 2022.

“Penggunaan rokok elektronik dan vape pula akan menyebabkan kesan kesihatan yang lain dan sejenis penyakit baru EVALI telah pun dilaporkan berlaku di negara kita Malaysia.

“Kos untuk merawat peyakit EVALI hanya selama empat hari kemasukan ke wad adalah mencecah RM 50,297.37.

“Kos ini belum lagi mengambil kira kos komplikasi yang sekiranya pengguna rokok elektronik atau vape dijangkiti COVID-19,” jelasnya.

Roslizawati berkata, kajian terkini juga menunjukkan dwi penggunaan telah semakin meningkat dan beban kepada perkhidmatan kesihatan akan berganda.

Menurut beliau, oleh yang demikian dengan membenarkan tambahan produk kontroversi iaitu rokok elektronik dan vape di pasaran terbuka, bakal mengundang beban berganda kepada kerajaan.

“Seperti yang pernah dilaporkan Utusan Malaysia digital pada 19 Mac 2021, Datuk Fazli Nordin mewakili RTBA Malaysia menjangkakan kerajaan akan memperoleh anggaran pendapatan lebih RM300 juta sekira peraturan vape diperkenalkan.

“Namun kajian pada 2018 telah menunjukkan beban ekonomi amalan merokok adalah melebihi RM275.3 bilion, manakala beban kos rawatan amalan merokok pula menjangkaui RM74 bilion.

“Ini sangat merugikan dan memberikan impak yang tinggi kepada ekonomi rakyat Malaysia.

“Ini belum mengambil kira impak DALY (disability adjusted life years) seperti yang disarankan WHO dalam mengambil perkiraan beban ekonomi akibat kesihatan dan produktiviti negara masakini; impak DALY kerana EVALI, kerana E-VALI akan memendekkan jangka hayat (life mortality) dan masa depan menanggung kecacatan sepanjang hayat anak-anak generasi masa depan kita,” katanya. – EDISI 9

Terkini

Bekas Ketua Polis Negara, Tun Hanif Omar meninggal dunia

BEKAS Ketua Polis Negara (KPN), Tun Mohammed Hanif Omar meningggal dunia di kediamannya di Shah Alam, Selangor pagi ini. Allahyarham...

Lagi Artikel Berkaitan