31.1 C
Kuala Lumpur
Friday, April 19, 2024

9,020 kes terbaharu, 98 kematian, 25% dari kluster raya

Mesti Baca

CYBERJAYA – Kedegilan rakyat yang terus melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan pulang kampung dan mengadakan kunjungan pada Hari Raya Aidilfitri mengundang padah.

Ini berikutan sebanyak 26 kluster berpunca dari perayaan Aidilfitri telah terjadi sejak 13 hingga 28 Mei telah dilaporkan oleh Crisis Preparedness and Response Centre (CPRC) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di seluruh negara.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, seramai 4,047 individu telah disaring yang mana sebanyak 1,019 kes telah dikenal pasti positif dalam kluster-kluster tersebut, iaitu kadar positiviti 25.1 peratus

“Daripada jumlah 1,019 kes tersebut, dua kematian telah dilaporkan sehingga kini dan satu kes sedang mendapatkan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, negeri-negeri yang mencatatkan bilangan sub-kluster perayaan tertinggi adalah Sabah dengan tujuh (7) kluster (26.9 peratus), Kelantan dengan lima (5) kluster (19.2 peratus) serta Johor, Melaka, Pahang, Selangor dan Labuan masing-masing dengan dua kluster (7.7 peratus).

Beliau berkata, kluster-kluster perayaan ini juga menyumbang kepada peningkatan kes yang hari ini merekodkan satu lagi kes tertinggi iaitu sebanyak 9,020 menjadikan kes kumulatif sebanyak 558,534 kes.

Selain itu, rekod kematian juga mencatatkan jumlah tertinggi iaitu sebanyak 98 kes dengan Selangor sebanyak 27 orang diikuti Kuala Lumpur dan Johor masing-masing 14 kematian.

Lain-lain ialah Kedah (8) dan Negeri Sembilan (8), Pulau Pinang (5), Sarawak (5), Sabah (4), Terengganu (4), Pahang (3), Kelantan (2), Melaka (2), dan masing-masing satu kematian di Perak dan Labuan.

dos vaksin
DR NOOR HISHAM ABDULLAH – Sumber: FB

“Dijangkakan jumlah kes dan bilangan kluster-kluster ini akan bertambah dan mungkin melibatkan lebih banyak negeri serta daerah.

“Meskipun Kerajaan telah menetapkan bahawa ziarah raya dan penganjuran majlis perayaan tidak dibenarkan, namun masih ramai yang tidak endah larangan ini yang mengakibatkan tercetusnya kluster-kluster baru COVID-19 sehingga ada yang mengakibatkan kes maut,” kata beliau.

Sehubungan itu, beliau menyeru masyarakat mengambil iktibar dan tidak mengulanginya bagi Perayaan Pesta Kaamatan dan Hari Gawai yang akan disambut tidak lama lagi.

Begitu juga bagi sambutan perayaan Hari Raya Aidilfitri yang kebiasaannya berpanjangan sehingga bulan.

“Masyarakat diingatkan bahawa larangan merentas daerah dan negeri masih lagi berkuat kuasa. Begitu juga larangan kunjung mengunjung bagi menyambut perayaan.

“Peningkatan sub-kluster perayaan hari raya perlu dijadikan sebagai pengajaran agar ianya tidak terus bertambah,” tegas Dr Noor Hisham.- Edisi 9

Terkini

Pengawal keselamatan dituduh bunuh anak berusia 6 bulan

SEORANG pengawal keselamatan yang sebelum ini disyaki mendera bayinya, dihadapkan ke Mahkamah Majistret Bandar Baru Bangi hari ini atas...

Lagi Artikel Berkaitan