25.3 C
Kuala Lumpur
Friday, April 26, 2024

Polis cari penerbit, pelakon video promosi judi online

Mesti Baca

Hussaini Amran
Hussaini Amran
Hampir 15 tahun dalam bidang kewartawanan. Pernah menyertai Sinar Harian, Utusan Malaysia dan PN BBC Portal.

CYBERJAYA – Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendapati kandungan video yang menggunakan lagu raya untuk mempromosi perjudian dalam talian adalah jelas melanggar undang-undang dan boleh menimbulkan kegusaran awam.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman telah membuat laporan polis terhadap video berdurasi dua minit satu saat yang mula tular sejak semalam itu.

Menurut beliau, laporan itu bertujuan menyiasat asal-usul video berkenaan.

“Siasatan polis akan menjurus kepada penerbit dan pelakon-pelakon yang terlibat dalam video ini.

“Mereka akan dikesan dan dipanggil untuk memberi keterangan,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Acryl Sani menambah, kes disiasat di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan Seksyen 4(1)(g) Akta Rumah Judi Terbuka.

Beliau memberitahu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) juga akan dihubungi untuk membantu siasatan.

“Orang ramai diingatkan agar tidak berkongsi atau menyebarkan video ini melalui media sosial bagi mengelakkan kegusaran awam,” jelasnya.

Advertisements

Sementara itu, SKMM dalam kenyataan media berkata, pihaknya telah berkomunikasi dengan penyedia platform media sosial seperti Facebook, Twitter dan YouTube untuk menurunkan kandungan video berkenaan.

Menurut suruhanjaya itu, tindakan itu boleh diambil mengikut terma perkhidmatan serta piawaian komuniti yang ditetapkan oleh penyedia-penyedia platform media sosial terbabit yang berpangkalan di luar negara.

“Pada masa yang sama, pihak yang terlibat seperti produksi dan pelakon seharusnya perlu lebih peka untuk tidak turut sama bersubahat dalam kegiatan mempromosikan judi dalam talian yang jelas merupakan satu kesalahan,” kata SKMM.

SKMM memberitahu, penghasilan kandungan adalah tertakluk kepada Kod Kandungan Komunikasi dan Multimedia untuk dipatuhi oleh mereka yang terlibat dengan penghasilan dan pengedaran kandungan.

“Dalam kebebasan menyediakan kandungan, penyedia harus mengikut kod kandungan yang sesuai dengan norma masyarakat Malaysia yang majmuk,” jelas SKMM.

SKMM menambah, pengguna media sosial juga perlulah lebih bertanggungjawab dengan melaporkan perkara-perkara sedemikian secara terus kepada pihak berkuasa untuk tindakan susulan dan bukannya menyebarluaskan kandungan berkenaan.

“Perbuatan menyebarluaskan kandungan berkenaan hanya akan membantu secara langsung pihak yang terlibat dalam menyebarkan dakyah mereka mempromosikan perjudian dalam talian yang boleh memudaratkan masyarakat Malaysia,” kata SKMM. – EDISI 9

  • Langgan Telegram Edisi 9 untuk mendapatkan laporan terkini!

Advertisements

Terkini

Khairul Azhari calon PN bagi PRK Kuala Kubu Baharu – Muhyiddin

PEMANGKU Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Hulu Selangor, Khairul Azhari Saut diumumkan sebagai calon Perikatan Nasional (PN)...

Lagi Artikel Berkaitan