29.8 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

Masjid Al Ulum Wattoyibah bakal jadi mercu tanda Manjung

Mesti Baca

Hussaini Amran
Hussaini Amran
Hampir 15 tahun dalam bidang kewartawanan. Pernah menyertai Sinar Harian, Utusan Malaysia dan PN BBC Portal.

MANJUNG – Pembinaan Masjid Al Ulum Wattoyibah di Kampung Tebuk Yan di sini yang berupaya memuatkan kira-kira 5,000 jemaah dalam satu-satu masa bakal menjadi mercu tanda terbaharu di kawasan ini.

Pengerusi masjid berkenaan, Maulana Jalaluddin Abdul Rahman berkata, selain untuk solat berjemaah, masjid berkenaan juga akan digunakan untuk aktiviti hafazan dan pengajian.

Menurut beliau, visi sebenarnya adalah untuk mendirikan sebuah masjid bagi tujuan solat, hafazan dan pengajian yakni selaras dengan fungsi masjid yang sebenarnya sejak zaman Rasulullah SAW.

“Bagi menampung jumlah pelajar yang semakin bertambah, pihak Madrasah Darul Ulum Wal Qiroat memerlukan ruang yang besar bagi menampung aktiviti utama iaitu hafazan al-Quran.

“Kini pengajian dan aktiviti hafazan al-Quran beroperasi di Dewan Makan kerana Dewan Kuliah masih dalam pembinaan,” katanya.

Projek pembinaan masjid sedang rancak dijalankan.

Inspirasi reka bentuk serta pelan susun atur masjid tersebut adalah berasal dari Asia Barat, terutamanya Mekah dan Madinah.

Pemerhatian Maulana Jalaluddin sepanjang mengembara ke 66 negara sebelum ini banyak menyumbang kepada idea reka bentuk Masjid Al Ulum Wattoyibah.

Masjid Al Ulum Wattoyibah akan menjadi sebuah masjid yang beroperasi 24 jam sehari di mana semua aktiviti di madrasah bakal dijalankan di sini.

Secara amnya ia akan menjadi titik pembangunan madrasah dan secara khususnya pula bagi program hafazan al-Quran dan pengajian.

Ciri-ciri reka bentuk utama masjid tersebut adalah ruang solat utama yang juga akan digunakan bagi pengajian kitab dan ceramah, Ruang Halaqah di sekeliling ruang solat bagi hafazan dan pengajian al-Quran serta ruang solat dan hafazan bagi muslimat di tingkat atas.

Masjid itu akan dilengkapi dengan kemudahan asas yang seiring dengan arus semasa sekali gus menggambarkan bahawa pengajian al-Quran dan kitab adalah selaras dengan dunia moden.

Projek pembinaan masjid tersebut telah diluluskan oleh Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) pada November 2016.

Dana bagi menampung kos pembinaan masjid berkenaan yang melibatkan kos RM25 juta diperoleh melalui jualan kupon sijil wakaf bangunan serta sumbangan daripada orang kenamaan dan pemimpin masyarakat.

Sumbangan turut diterima daripada sektor swasta, badan kebajikan dan koperasi termasuk melalui zakat serta derma daripada orang ramai.

Mana-mana pihak yang ingin menyumbang dana bagi pembinaan masjid tersebut boleh berbuat demikian melalui Tabung Pembangunan Masjid Al Ulum Wattoyibah (5581-8106-1053 – Maybank Islamic) melalui cek atau pemindahan wang.

Mereka yang ingin mendapatkan maklumat lanjut tentang program wakaf boleh menghubungi ahli-ahli jawatankuasa masjid iaitu Mohd Safian Abdul Rahman (012-6029655), Maulana Jalaluddin (013-7745568), Suhairi Abdullah (019-4761575), Yaacob Ahmad (014-6168334) dan Shahriz Imran Aboo Samah (019-3111645). – EDISI 9

Terkini

Bekas Ketua Polis Negara, Tun Hanif Omar meninggal dunia

BEKAS Ketua Polis Negara (KPN), Tun Mohammed Hanif Omar meningggal dunia di kediamannya di Shah Alam, Selangor pagi ini. Allahyarham...

Lagi Artikel Berkaitan