PELABUHAN KLANG – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Selangor berjaya menumpaskan cubaan menyeludup dadah disyaki jenis syabu seberat lebih kurang satu kilogram di pesisiran pantai Tongkah dekat sini pada 5 April lalu.
Pengarah Maritim Malaysia Negeri Selangor, Kepten Maritim Mohd Rosli Kassim berkata, rampasan dibuat ketika anggota penguat kuasa Maritim Malaysia sedang melaksanakan rondaan Op Ehsan di sepanjang perairan Banting.
Menurut beliau, mereka telah mengesan sebuah bot fiber yang berada di pesisir pantai Tongkah dalam keadaan yang mencurigakan.
“Sebaik menyedari kehadiran pihak berkuasa, bot tersebut terus memecut meninggalkan lokasi dan dua lagi suspek yang belum sempat menaiki bot tersebut mencuba meloloskan diri ke kawasan paya bakau, namun seorang daripada suspek berjaya diberkas.
“Pemeriksaan ke atas suspek menemukan satu paket bungkusan berwarna hijau yang disyaki mengandungi dadah jenis syabu seberat lebih kurang satu kilogram dengan anggaran nilai RM40,000,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Mohd Rosli menambah, suspek dan hasil rampasan seterusnya dibawa ke Jeti Maritim Negeri Selangor untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat bagi tindakan lanjut.
Walau bagaimanapun, tidak dinyatakan sama ada suspek yang diberkas dalam operasi tersebut adalah rakyat tempatan atau warga asing.
Beliau memberitahu, Maritim Malaysia sentiasa memandang serius terhadap operasi penguatkuasaan di laut dan akan mengambil tindakan tegas kepada setiap penjenayah yang melakukan aktiviti jenayah di sepanjang Zon Maritim Malaysia.
Jika terdapat aduan dan maklumat mengenai sebarang kegiatan jenayah maritim serta kecemasan di laut, sila hubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Selangor di talian 03-31760627 yang beroperasi secara 24 jam atau talian kecemasan MERS 999 agar tindakan segera dapat diambil oleh Maritim Malaysia. – EDISI 9