23.7 C
Kuala Lumpur
Tuesday, December 7, 2021

Bot nelayan Vietnam ditahan ceroboh perairan Sarawak

Mesti Baca

Hussaini Amran
Hampir 15 tahun dalam bidang kewartawanan. Pernah menyertai Sinar Harian, Utusan Malaysia dan PN BBC Portal.

TANJUNG MANIS – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Tanjung Manis telah menahan sebuah bot nelayan asing Vietnam yang menceroboh perairan Sarawak dengan menggunakan nombor pendaftaran palsu pada 21 April lalu.

Pengarah Zon Maritim Tanjung Manis, Komander Maritim Mohd Ariz Md Kassim berkata, bot nelayan Vietnam tersebut bersama lapan kru beserta tekong warga Vietnam menyamar dengan menggunakan nombor pendaftaran tempatan SF2-3231 itu berjaya ditahan sekitar pukul 12.26 tengahari pada jarak lebih kurang 107 batu nautika dari Utara Tanjung Sirik.

Menurut beliau, hasil pemeriksaan menemui lebih kurang 400 kilogram ikan campur, manakala tekong dan semua kru telah gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.

“Berdasarkan penemuan hasil tangkapan, dipercayai bahawa bot itu baharu memasuki perairan negara.

“Kesemua kru termasuk tekong yang ditahan lelaki warga Vietnam berumur dalam lingkungan antara 33 hingga 51 tahun itu dibawa ke Jeti Terminal Penumpang Tanjung Manis untuk menjalani ujian saringan COVID-19 oleh Kementerian Kesihatan, sebelum diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Maritim Malaysia untuk siasatan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Mohd Ariz memberitahu, kes akan disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 kerana tidak mempunyai permit untuk melakukan sebarang aktiviti penangkapan ikan di perairan negara dan Akta Imigresen 1959/63 kerana tekong serta kru tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri.

Sebarang kecemasan di laut secara terus ke talian MERS 999 atau Pusat Operasi Zon Maritim Tanjung Manis ditalian 084- 613293 / Pusat Operasi Maritim Malaysia Negeri Sarawak ditalian 082-432544 yang beroperasi 24 jam.

Baca juga:   Rusuhan depan tokong: Polis tahan 24 individu

Sementara itu di Johor Bahru, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Johor telah menahan sebanyak 37 kapal yang didapati melakukan kesalahan bersauh tanpa kebenaran Pengarah Laut Malaysia.

Pengarah Maritim Negeri Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, tangkapan dibuat dalam Op Jangkar Haram yang bermula pada 24 Mac lalu.

Baca juga:   MOF sahkan kemuka saman 44 rakan kongsi KPMG

Beliau menambah, jumlah keseluruhan tangkapan sepanjang tahun 2021 bermula Januari telah merekodkan sebanyak 55 buah kapal yang terdiri daripada pelbagai jenis dan berdaftar dari pelbagai negara termasuk Malaysia.

“Dua orang kru bagi setiap kapal yang ditahan akan dibawa ke Pejabat Zon Maritim Tanjung Sedili untuk disiasat di bawah Seksyen 491(B)(1)(l) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 kerana bersauh tanpa kebenaran Pengarah Laut Malaysia.

“Jika didapati bersalah boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali,” jelasnya.

Maritim Negeri Johor menegaskan semua jenis kapal yang ingin bersauh dalam perairan Malaysia perlu memohon dan mendapatkan kebenaran terlebih dahulu atau segera keluar dari perairan Malaysia jika enggan berbuat demikian.

Maritim Malaysia tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan lebih tegas mengikut lunas undang-undang negara demi kedaulatan, keselamatan dan kesejahteraan di perairan negara khususnya perairan Johor. – EDISI 9

Terkini

Hutang emas boleh dibayar, hutang budi dibawa mati – PM

PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini meluangkan masa menziarahi pusara bekas 'sifu' atau mentor politiknya, Allahyarham...

Lagi Artikel Berkaitan