29.8 C
Kuala Lumpur
Friday, April 19, 2024

Bekas Inspektor ditahan fitnah pegawai, anggota D7

Mesti Baca

Hussaini Amran
Hussaini Amran
Hampir 15 tahun dalam bidang kewartawanan. Pernah menyertai Sinar Harian, Utusan Malaysia dan PN BBC Portal.

CYBERJAYA – Seorang bekas Inspektor ditahan kerana disyaki memfitnah beberapa pegawai dan anggota Bahagian D7 Gengsterisme Bukit Aman dengan mengaitkan mereka dengan kartel jenayah melalui media sosial baru-baru ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata, siasatan awal mendapati tohmahan yang dibuat oleh suspek berusia 33 tahun itu adalah sangat serius.

Menurut beliau, dalam laporan tersebut, satu senarai nama pegawai dan anggota terbabit serta gambar mereka telah dimuat naik dalam media sosial sejak dua minggu lalu.

“Mereka dikaitkan dengan beberapa sindiket jenayah terancang seperti Geng Nicky, Geng Addy Kanna, Geng Wan Padang Besar, Geng Pak Su Bukit Kayu Hitam dan Geng Tiger 99.

“Akibat daripada tohmahan ini telah memberi kesan negatif kepada imej Polis Diraja Malaysia (PDRM) amnya dan pegawai serta anggota Bahagian D7 JSJ Bukit Aman khasnya,” katanya dalam kenyataan media malam tadi.

Huzir menambah, setakat semalam, empat laporan polis telah dibuat oleh empat pegawai yang nama mereka dinyatakan dalam tohmahan tersebut.

Beliau memberitahu, empat kertas siasatan telah dibuka dan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Tindakan itu bagi mengesan, menangkap dan mendakwa mana-mana individu atau kumpulan yang terkesan bertanggungjawab dalam membuat serta menyebarkan isu yang berbentuk fitnah ini,” jelasnya.

Huzir berkata, serbuan telah dilakukan di sebuah rumah di Alor Setar, Kedah pada pukul 11.24 malam, 16 April lalu.

Menurut beliau, suspek turut ditahan dan barangan seperti komputer riba, telefon bimbit, pen drive, kad SIM dan peranti-peranti lain dirampas.

“Kesemua rampasan ini telah dihantar ke makmal forensik PDRM untuk tujuan analisis,” ujarnya.

Huzir menambah, suspek yang ditahan sebelum ini telah dijatuhkan hukuman pengawasan oleh Lembaga Pencegahan Jenayah di bawah Op Mualang yang dilaksanakan oleh Bahagian D7 Gengsterisme JSJ Bukit Aman bagi mencegah aktiviti kongsi gelap di sekitar kawasan Klang, Selangor.

Beliau memberitahu, suspek juga terkesan pernah membuat beberapa tohmahan sebelum ini terhadap pegawai dan anggota Bahagian D7 Gengsterisme Bukit Aman.

“Dipercayai tujuan suspek bertindak sebegini adalah kerana marah, tidak puas hati dan dendam terhadap pasukan siasatan yang telah mengambil tindakan terhadap beliau sehingga diberhentikan kerja dan dikenakan hukuman pengawasan selama dua tahun di Alor Setar di bawah Akta Pencegahan Jenayah 1959,” katanya.

Huzir menasihatkan orang ramai untuk menghentikan sebarang spekulasi, andaian yang tidak berasas, tidak benar dan tidak berkongsi atau menyebarkan isu tular tersebut melalui mana-mana saluran atau media sosial bagi mengelakkan kegusaran dalam kalangan masyarakat. – EDISI 9

Terkini

Pengawal keselamatan dituduh bunuh anak berusia 6 bulan

SEORANG pengawal keselamatan yang sebelum ini disyaki mendera bayinya, dihadapkan ke Mahkamah Majistret Bandar Baru Bangi hari ini atas...

Lagi Artikel Berkaitan