27.9 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

Rundingan Anwar-UMNO soal rampas kerusi Bersatu?

Mesti Baca


CYBERJAYA – Isu pertemuan antara Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan ‘kepimpinan UMNO’ seperti disahkan oleh Presiden PKR itu terus diperkatakan walaupun setakat ini UMNO tidak mengesahkan atau menafikannya.

Hari ini portal Malaysiakini yang memetik sumber PKR melaporkan, pertemuan itu dikatakan mempunyai satu matlamat sahaja iaitu mencari titik persefahaman bagi mengelakkan bertembung di antara satu sama lain lain di kerusi yang sedang diwakili Bersatu.

“Sudah pasti ini dibuat untuk mencari jalan agar tiada pertembungan (di kerusi Bersatu),” kata sumber berkenaan.

Ketika daripada 31 ahli Parlimen Bersatu, 25 daripadanya berasal daripada parti lain, termasuk 15 yang memenangi kerusi mereka atas tiket UMNO manakala 10 lagi merupakan calon PKR/Pakatan Harapan (PH) yang kemudian berpaling tadah.

Ada dua lagi ahli parlimen yang memenangi kerusi mereka dalam PRU ke-14 lalu menggunakan lambang PKR namun kini menjadi wakil rakyat bebas yang menyokong Perikatan Nasional (PN).

Jika UMNO dan PKR dapat mengelak daripada bertembung di antara satu sama lain di kawasan Bersatu, peluang untuk mereka merampas kembali kerusi tersebut akan menjadi lebih cerah. Ia sekali gus menyukarkan Bersatu mempertahankan kerusi mereka, lapor Malaysiakini.

Namun setakat ini tidak dapat dipastikan persefahaman sebegitu akan diperluas ke kerusi yang sedang diwakili PKR dan UMNO, termasuk bagi kawasan parlimen Johor Bahru dan Tangga Batu. Kedua-dua kerusi tersebut asalnya memang kawasan UMNO namun dimenangi PKR dalam PRU lalu.

Jika ia disepakati dan dengan andaian kedua-dua parti menguasai semula kerusi yang dimenangi mereka dalam PRU 2018 dan sebelum berlakunya ahli parlimen melompat keluar, PKR akan memiliki 47 kerusi manakala UMNO 53 kerusi.

Bagaimanapun portal itu melaporkan, congak itu akan ada masalah, ia memandangkan sumber PH memberitahu, mandat yang diberikan kepada PKR untuk berunding dengan UMNO hanya terhad kepada kerjasama bagi mendapatkan semula Putrajaya pada waktu sekarang, bukannya untuk PRU ke-15.

“Pendirian PH setakat ini (mengenai rundingan dengan Umno) ialah, ia tidak membabitkan kerjasama pada PRU akan datang,” kata sumber itu kepada Malaysiakini.

Perkara itu turut ditegaskan Timbalan Presiden Amanah Salahuddin Ayub.

“Untuk rundingan dengan parti lain (syarat Majlis Presiden PH) ialah mengembalikan mandat rakyat, ia tidak termasuk PRU ke-15,” katanya semasa dihubungi.

Bagaimanapun Setiausaha Organisasi DAP Anthony Loke menjangkakan pada PRU akan datang – yang mesti diadakan suku kedua selewat-lewatnya 2023 – tiada parti tunggal dapat menguasai majoriti di parlimen.
Justeru kata beliau apa saja kemungkinan boleh berlaku.

“Jika tiada pemenang yang jelas dalam PRU akan datang, anda perlu memikirkan bagaimana untuk membentuk rakan kongsi baru, gabungan baru, dan ia hanya berlaku selepas PRU,” katanya.

Beberapa pemimpin PH juga menegaskan kerjasama tersebut mestilah tidak melibatkan kluster mahkamah yang ditentang dalam UMNO dalam PRU-15.

Terkini

Imigresen serbu pusat hiburan sediakan ‘call girl’, 63 ditahan

JABATAN Imigresen Johor menyerbu sebuah pusat hiburan yang disyaki menyediakan gadis panggilan (call girl) di Taman Mount Austin, Johor...

Lagi Artikel Berkaitan