25.5 C
Kuala Lumpur
Tuesday, April 16, 2024

Buku teks Sejarah Tingkatan 4: Pemuda UMNO lapor polis

Mesti Baca

Lukman Ismail
Lukman Ismail
Editor Edisi 9

KUALA LUMPUR – Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia hari ini membuat laporan polis berhubung kandungan buku teks Sejarah Tingkatan 4 KSSM yang didakwa mempunyai unsur-unsur manipulasi.

Laporan polis dibuat oleh Exconya, Aizat Azam di Balai Polis Sri Petaling dekat sini bersama Ketua Pemuda UMNO Bahagian Bandar Tun Razak, Ashrul Ashryzad Mohd Nashri dan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Muar, Mohd Helmy Abd Latiff.

Dalam satu kenyataan kepada media, Aizat berkata, Pemuda UMNO mendapati wujud unsur-unsur manipulasi kandungan buku teks tersebut yang juga telah diteliti oleh pakar sejarah dan ahli akademik Profesor Datuk Dr. Ramlah Adam.

“Pemuda UMNO yakin bahawa terdapat campur tangan dalam penyediaan kandungan sejarah buku teks tersebut yang cuba dimanipulasi sehingga ianya menidakkan fakta lain yang sepatutnya tidak boleh dipinggirkan.

“Ini soal fakta sejarah yang perlu diterima oleh semua pihak dan ianya perlu diketahui oleh generasi hari ini supaya mereka mengetahui dan memahami perjuangan bangsa di tanahair sendiri,” katanya.

Tambah Aizat, beberapa persoalan turut dibangkitkan termasuk Kabinet mana yang meluluskan Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran (DSKP) Sejarah yang dinyatakan KPM dalam kenyataan media mereka?

“Ini kerana 24 April 2018 yang disebut Kementerian Pendidikan sebagai tarikh DSKP diperakui sah adalah melewati tarikh Parlimen dibubarkan iaitu pada 7 April 2018.  Ini bermakna proses penulisan dan percetakan berlaku selepas 24 April 2018.

“Siapakah kerajaan yang memerintah dari bulan Mei 2018 sehinggalah buku Sejarah ini dicetak sebagai Cetakan Pertama pada tahun 2019?” katanya.

Sebelum ini menurut Aizat, Timbalan Pengerusi Sekretariat Gabungan 73 NGO, Datuk Yazid Osman mempersoalkan, apakah ada ‘tangan ghaib’ daripada kalangan pemimpin politik yang menyebabkan kandungan buku teks sejarah itu berubah?

Sementara itu, Ashrul Ashryzad menggesa Kementerian Pendidikan menarik semula buku teks sejarah tersebut dan mengkaji semula kandungannya agar ianya menepati fakta sejarah.

“Saya melihat isu ini sangat serius kerana ia membabitkan kandungan fakta sejarah yang telah dimanipulasi pihak yang cuba menafikan fakta sebenar sejarah negara dan tindakan sedemikian rupa sangat memalukan”.

Mohd Helmy pula berkata, isu buku teks Sejarah Tingkatan 4 itu bukanlah isu parti politik, tetapi ianya adalah isu fakta sejarah yang cuba disembunyi dan dinafikan signifikannya.

“Bagi saya isu ini seolah-olah ada pihak cuba untuk menafikan perjuangan pihak yang sebetul-betulnya berjuang memerdekakan tanahair dan perjuangan menentang komunis. Ini sangat tidak adil kerana perjuangan itu bukan sebarangan dan perjuangan itu membabitkan pengorbanan yang besar untuk tanahair kita”. – Edisi 9

Terkini

Kolam selam tempur siap Jun, kalau tidak JKR jawab – MB

KOLAM selam tempur di Kem Iskandar, Mersing dijangka siap pada Jun ini, kata Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz...

Lagi Artikel Berkaitan