31.8 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

Kantoi bawa dapur syabu, senapang angin dalam bot pancing

Mesti Baca

KUALA KEDAH – Peralatan menghisap dadah dan senapang angin merupakan antara yang dirampas dalam sebuah bot pancing yang ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) di sini semalam.

Suspek yang disyaki menghisap dadah jenis syabu dispercayai melakukan kesalahan di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952.

Selain itu, dia dan lima individu lain dalam bot berkenaan juga disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 44 (1) (c) Ordinan Kapal Saudagar 1952 kerana membawa atau memiliki senapang angin dalam kawasan perairan Malaysia.

Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah, Komander Maritim Noor Azreyanti Ishak berkata, bot tersebut dikesan ketika bot ronda Maritim Malaysia sedang melakukan rondaan Op Aman di perairan Kuala Kedah.

Menurut beliau, bot pancing tersebut ditahan Zon Maritim Kuala Kedah pada kedudukan 4.5 batu nautika barat daya muara Kuala Kedah pada pukul 6.40 petang semalam.

“Hasil pemeriksaan mendapati, seramai enam individu tempatan berusia di antara 22 hingga 53 tahun berada di atas bot tersebut dan mereka didapati memiliki dan membawa peralatan senjata jenis senapang angin yang digunakan dalam aktiviti menembak ikan.

“Mereka disyaki melakukan kesalahan di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952, Seksyen 474(1) iaitu beroperasi tanpa lesen bot yang sah serta gagal mengemukakan dokumen insurans,” katanya dalam kenyataan yang disiarkan melalui laman Facebook Maritim Malaysia, hari ini.

Noor Azreyanti menambah, bot dan kesemua suspek yang ditahan dibawa ke Jeti Zon Maritim Kuala Kedah untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk tindakan lanjut.

Tahanan yang yang disyaki terlibat dengan penyalahgunaan dadah diserahkan kepada Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, di Johor, Maritim Malaysia telah menahan sebuah kapal tangki kerana gagal memaklumkan ketibaan di perairan Johor Timur, petang semalam.

Pengarah Zon Maritim Tanjung Sedili, Kepten Maritim Mohamad Sulhan bin Zainon berkata, kapal tangki tersebut ditahan berdasarkan Laporan Aktiviti Tanpa Pematuhan daripada Lembaga Pelabuhan Johor sekitar jam 1.16 petang di kedudukan 2.5 batu nautika tenggara Tanjung Bulat.

Menurut beliau, kapal yang berdaftar di Basseterre itu dikendalikan tujuh kru warga Indonesia termasuk nakhoda, berusia antara 25 hingga 55 tahun dan memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.

maritim malaysia
Kapal tangki yang ditahan kerana gagal memaklumkan ketibaan. Gambar: FB Maritim Malaysia

“Nakhoda kapal didapati gagal mengemukakan sebarang dokumen pemakluman ketibaan kepada Pengarah Jabatan Laut Malaysia.

“Kapal seterusnya ditahan dan kes akan disiasat di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952, Seksyen 449 kerana gagal memaklumkan ketibaan kepada Pengarah Jabatan Jabatan Laut Malaysia.

“Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM5,000 dan boleh dibaca bersama Kaedah 10(1) Peraturan Pelabuhan Persekutuan 1953 – Report of arrival yang mana boleh didenda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya sekali serta mana-mana kesalahan lain dibawah mana-mana Akta Persekutuan,” katanya dalam kenyataan berasingan. – EDISI 9

Terkini

Bekas Ketua Polis Negara, Tun Hanif Omar meninggal dunia

BEKAS Ketua Polis Negara (KPN), Tun Mohammed Hanif Omar meningggal dunia di kediamannya di Shah Alam, Selangor pagi ini. Allahyarham...

Lagi Artikel Berkaitan