28.9 C
Kuala Lumpur
Tuesday, March 19, 2024

Benarkan ILKS beroperasi, elak gulung tikar

Mesti Baca

Editor
Editor
Editor Edisi 9


Oleh NORDIN ABDUL MALEK

SEJAK kerajaan memperkenalkan PKP pada Mac tahun lalu, hampir kesemua ILKS yang berdaftar dengan Jabatan Pembangunan Kemahiran, Kementerian Sumber Manusia telah mengalami kerugian yang besar dan membawa kepada risiko gulung tikar dalam masa terdekat.

Dalam tempoh setahun selepas PKP dikuatkuasakan, sumber pendapatan ILKS jatuh sehingga 80 peratus kerana tidak dapat beroperasi seperti biasa dan kemasukan pelatih baru juga tidak dibenarkan.

Berbanding dengan sistem akademik seperti IPTS dan lain-lain, sistem pembelajaran ILKS adalah melibatkan latihan praktikal dan amali yang perlu bersemuka sekurang-kurangnya 70 peratus dalam keseluruhan latihan/pembelajaran.

Walaupun kerajaan membenarkan pembelajaran melalui online dijalankan, pendekatan tersebut hanyalah merangkumi 20 peratus pembelajaran yang melibatkan teori latihan.

Kebanyakan pelajar yang cenderung bidang kemahiran atau hands on tidak menggemari pembelajaran teori, lebih-lebih lagi secara online. Kesannya, ramai juga pelatih yang berhenti separuh jalan kerana bosan dan tidak yakin dengan kemahiran yang berasaskan online.

Pada masa ini, terdapat lebih kurang 500 ILKS yang berdaftar dengan JPK tetapi dipercayai hanya 350 buah ILKS sahaja yang benar-benar aktif sehingga tahun lalu. Namun, akibat perlaksanaan PKP, PKPB dan sebagainya, difahamkan 350 buah ILKS ini sedang nazak dan dijangka akan tutup dalam masa terdekat jika PKP diteruskan.

Selain memberi kesan kepada lebih 15,000 tenaga kerja di ILKS, penutupan ILKS dan gangguan operasi yang sedang berlaku ketika ini akan mengakibatkan bekalan tenaga kerja berkemahiran tempatan kepada sektor industri dan majikan akan menghadapi masalah yang besar.

Contohnya ialah sektor perladangan dan pertanian yang sangat kritikal.
Walaupun ada rakyat tempatan yang masih berminat untuk menyertai sektor ini, namun kekangan peraturan PKP yang tidak membenarkan latihan dilakukan menyebabkan sektor kritikal semakin meruncing dari segi tenaga kerja.

Justeru, ILKS merayu supaya kerajaan membenarkan ILKS menjalankan operasi latihan dengan kaedah dan SOP yang ketat seperti berikut:

i. Membenarkan latihan dijalankan dengan menghadkan bilangan pelajar pada satu-satu masa (15 orang/kelas).

ii. Memastikan SOP Covid-19 dipatuhi (pemakaian pelitup muka/sanitasi dan penjarakan sosial).

iii. Membenarkan ambilan baru kemasukan pelatih sepanjang tahun.

iv. Keutamaan kepada latihan dengan jaminan pekerjaan atau peluang perniagaan.

Kesemua langkah-langkah keselamatan dan kesihatan di atas adalah bertepatan dengan amalan pekerjaan industri yang dipatuhi oleh ILKS melalui standard Latihan Kemahiran Kebangsaan (NOSS) yang sama dengan amalan pekerjaan di industri.

Oleh itu, secara logiknya, jika industri sudah boleh beroperasi, sepatutnya ILKS juga dibenarkan berbuat sedemikian.

Di samping itu, kerajaan juga diminta menyediakan insentif khas kecemasan kepada ILKS bagi meringankan beban yang sedang ditanggung seperti bantuan upah gaji kepada semua kakitangan ILKS untuk tempoh sekurang-kurangnya enam bulan bermula Mac 2021.

Begitu juga sokongan bantuan modal bagi membina semula kejatuhan pendapatan ILKS akibat PKP Covid-19.

Kerajaan perlu memberi perhatian serius terhadap keperluan ILKS meneruskan operasi sepanjang tempoh PKP kerana peranan ILKS adalah sangat penting sebagai pelengkap kepada sistem latihan negara terutama dalam menjayakan tenaga kerja industri dan majikan di Malaysia.

  • Penulis adalah Pengerusi Gabungan Institut Latihan Kemahiran Swasta Bumiputera (GILKSB)

Terkini

Stoking kalimah Allah: KK Mart akan dipanggil bantu siasatan

POLIS akan memanggil pihak KK Supermart & Superstore Sdn Bhd (KK Super Mart) dan beberapa individu lain bagi membantu...

Lagi Artikel Berkaitan