27.8 C
Kuala Lumpur
Thursday, October 21, 2021

1,086 PATI warga Myanmar diusir ke negara asal

Mesti Baca

Hussaini Amran
Hampir 15 tahun dalam bidang kewartawanan. Pernah menyertai Sinar Harian, Utusan Malaysia dan PN BBC Portal.

CYBERJAYA – Seramai 1,086 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Myanmar yang memasuki Malaysia secara haram dihantar pulang ke negara asal mereka semalam.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, semua PATI warga Myanmar tersebut telah ditahan dalam depot-depot imigresen di seluruh negara sejak 2020.

Menurut beliau, mereka dihantar pulang melalui Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut, Perak dengan menggunakan tiga kapal Tentera Laut Myanmar.

“Jabatan Imigresen ingin menegaskan bahawa semua tahanan yang dihantar pulang adalah merupakan PATI warga Myanmar dan tidak melibatkan etnik Rohingya atau pencari suaka.

“Kesemua mereka yang dihantar pulang itu telah bersetuju untuk pulang secara sukarela tanpa paksaan mana-mana pihak,” katanya dalam kenyataan media, semalam.

Penghantaran pulang semua PATI warga Myanmar terbabit dilakukan oleh Jabatan Imigresen dengan kerjasama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) khususnya TLDM, Pasukan Petugas Kebangsaan (NTF) dan Kedutaan Besar Myanmar di Kuala Lumpur.

Khairul Dzaimee menambah, program penghantaran pulang itu merupakan sebahagian daripada aktiviti berterusan proses pengusiran oleh Jabatan Imigresen bagi tahanan yang ditempatkan di depot imigresen.

Baca juga:   Ismail Sabri pula minta Zahid segera lapor polis elak spekulasi

Beliau memberitahu, proses pengusiran pada 2020 berjalan agak perlahan kerana kebanyakan negara menutup pintu sempadan masing-masing.

“Jabatan ini melalui Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Wisma Putra akan terus berusaha untuk mendapatkan persetujuan negara-negara terbabit seperti Vietnam, Indonesia, Bangladesh dan lain-lain supaya membawa pulang rakyat mereka yang kini ditahan di depot-depot imigresen dalam jumlah yang besar.

Baca juga:   Wujud usaha terancang burukkan Malaysia?

“Jabatan Imigresen merakamkan ucapan terima kasih atas kerjasama semua pihak khususnya TLDM dan NTF dalam menjayakan program penghantaran pulang ini,” jelasnya.

Beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) telah mendapatkan perintah mahkamah bagi menghalang penghantaran pulang PATI warga Myanmar ke negara asal mereka.

Dua NGO terbabit adalah Amnesty International dan Asylum Access.

Walau bagaimanapun, tidak dapat dipastikan sama ada 1,086 PATI warga Myanmar yang pulang secara sukarela dengan menaiki kapal Tentera Laut Myanmar terlibat dengan perintah mahkamah tersebut.

Pada masa ini, negara berkenaan sedang bergolak selepas junta tentera merampas kuasa dan menahan bekas Penasihat Negara, Aung San Suu Kyi awal bulan ini. – EDISI 9

Baca juga:   Myanmar: ASEAN perlu lebih proaktif - Hishammuddin

Terkini

Majlis-majlis Pemulihan Negeri pastikan PPN dilaksana secara holistik

PENUBUHAN Majlis-majlis Pemulihan Negeri yang dipengerusikan oleh Menteri Besar dan Ketua Menteri masing-masing merupakan pendekatan terbaik bagi memastikan Pelan...

Lagi Artikel Berkaitan