27.3 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

Tajuddin jangka lebih ramai ahli Parlimen UMNO tarik balik sokongan

Mesti Baca


KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman menjangkakan lebih ramai ahli Parlimen daripada UMNO akan menarik balik sokongan terhadap Kerajaan Perikatan Nasional yang dilihat rapuh dan lemah.

Katanya, walaupun UMNO tidak terlibat secara langsung dalam keputusan Ahli Parlimen Machang Datuk Ahmad Jazlan Yaakub menarik balik sokongan terhadap Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, lebih ramai Ahli Parlimen UMNO dijangka mengambil langkah yang sama.

“Muhyiddin kena fikirkan apakah tindakan yang wajar dibuat dan tidak boleh dibiarkan kedudukan begini kerana kerajaan sekarang terumbang-ambing. Apa yang berlaku kepada Jazlan ada pencetus kepada perubahan,” kata beliau seperti dilaporkan Free Malaysia Today.

Sehubungan itu beliau berkata, desakan UMNO supaya Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) diadakan pada suku pertama tahun ini harus dilihat dari konteks keperluan membentuk sebuah kerajaan yang lebih stabil.

Katanya, perkembangan semasa meletakkan kerajaan Muhyiddin dalam keadaan “bahaya dan boleh runtuh pada bila-bila masa”.

“Jadi macam mana kita boleh harapkan kepada sebuah kerjaaan yang begitu lemah dan kedudukannya tergantung?,” kata Tajuddin.

Beliau berkata, Perhimpunan Agung UMNO akhir bulan ini dijangka memperakukan desakan akar umbi mahukan parti itu menamatkan kerjasama dengan Parti Bersatu yang menjadi tunjang kerajaan PN.

“Kita tidak akan bekerjasama dengan PPBM pada PRU15. Ketua bahagian sendiri buat usul tidak mahu bersama PPBM, takkan PAU tolak (keputusan itu), tak munasabah,” katanya.

Tajuddin yang juga Pengarah Pilihan Raya UMNO berkata, parti itu tidak akan mengadakan sebarang rundingan dengan Parti Bersatu mengenai isu pembahagian kerusi kerana sudah memutuskan tidak bersama parti pimpinan Muhyiddin itu dalam menghadapi PRU.

“UMNO sebelum ini sudah membuat keputusan untuk bersama dengan PPBM (hanya) sehingga pilihan raya umum akan datang. Itu keputusan parti.

”Kalau PRU diadakan pada Mac, maka setakat Mac (kerjasama) jika Jun maka sehingga Jun. Permintaan UMNO adalah untuk buat PRU pada Mac atau April, tetapi ini bukan bermakna kita tak fikirkan Covid-19, ” katanya.

Terkini

Beras dibuang di tapak pelupusan sampah tidak selamat dimakan

BERAS yang didakwa dibuang di tapak pelupusan sampah di Temerloh, Pahang didapati telah rosak dan tidak sesuai serta tidak...

Lagi Artikel Berkaitan