36 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

Pemuda UMNO desak Azmin perjelas kejatuhan teruk FDI Malaysia

Mesti Baca

KUALA LUMPUR – Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia menggesa Menteri Kanan Ekonomi merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali segera tampil menjelaskan kejatuhan teruk pelaburan langsung asing (FDI) Malaysia berbanding negara ASEAN lain.

Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, pergerakan itu turut meminta Azmin memperjelaskan kepada rakyat tindakan segera Kerajaan untuk menangani kejatuhan teruk FDI ke dalam negara.

Berikut kenyataan penuh Asyraf Wajdi dalam hantaran Facebook beliau hari ini:

1. Dalam Laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Perdagangan dan Pembangunan (UNCTAD) yang baru sahaja diterbitkan 3 hari lalu, Pelaburan Langsung Asing (FDI) Negara-Negara ASEAN bagi tahun 2020 adalah seperti berikut:
Singapura: US$ 58 bilion (jatuh 37%)
Indonesia: US$ 18 bilion (jatuh 24%)
Vietnam: US$ 14 billion (jatuh 10%) 
Thailand: US $ 11.4 billion (jatuh 50%)
Philippines: US $ 6.4 billion (naik 29%)
Malaysia: US $ 2.5 billion (jatuh 68%) 

2. Amat menyedihkan lagi mengecewakan, Malaysia yang satu ketika sentiasa berada pada kedudukan teratas dan dikenali sebagai destinasi mesra dan tumpuan utama pelabur asing, kini berkedudukan tercorot.

3. Nampaknya kepercayaan dan keyakinan (trust and confidence) pelabur masih belum pulih terhadap Malaysia setelah berlakunya perubahan Kerajaan pada 2018.

4. Antara punca utama adalah KETIADAAN POLISI EKONOMI JELAS yang membentuk persepsi bahawa Kerajaan boleh menukar dasar sedia ada yang mungkin tidak memihak pelabur untuk segmen tertentu.

5. Antara perkara yang menjadi faktor penentuan kemasukan pelaburan asing ialah prinsip Pengurusan Risiko pelaburan dan perdagangan antarabangsa yang dipanggil ‘Sovereign or Political Risk’ atau Risiko untuk berdagang dengan sesebuah negara. 

6. Indikator penting ‘SOVEREIGN RISK’, ialah apabila kontrak-kontrak yang termetrai boleh berubah apabila berubahnya sesebuah kerajaan. 

7. Banyak peristiwa yang menyumbang kepada peningkatan ‘SOVEREIGN RISK’ atau persepsi risiko untuk berdagang dengan Malaysia setelah jatuhnya Kerajaan BN tahun 2018, antaranya:

(a) Pembatalan kontrak perjanjian projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dengan syarikat konglomerat Negara China, China Communications Construction Group Ltd (CCCC).


(b) Penamatan kontrak perjanjian projek HSR dengan Kerajaan Singapura.


(c) Penamatan projek Saluran Paip Pelbagai Produk (MPP) sepanjang 600km daripada Melaka dan Port Dickson ke Kulim Kedah bernilai RM 5.35 bilion
(d) Pembatalan projek Saluran Paip Gas Trans-Sabah (TSGP) sepanjang 662km daripada Terminal Gas Kimanis ke Sandakan dan Tawau bernilai RM4.04 bilion walaupun proses pembinaan sedang berjalan
(e) Pembatalan projek-projek infrastruktur di Sarawak yang menghubungkan kawasan terpencil seperti jambatan Batang Rambungan, Kuching; jambatan Kuala Kemena, Bintulu; jambatan Batang Lassa, Mukah; jambatan Batang Saribas, Betong; jambatan Batang Krian, Betong dan jambatan Batang Paloh, Mukah. Kerajaan Sarawak terpaksa membiayai sendiri projek ini bagi mengelakkan rakyat negeri tersebut ketinggalan


(f) Tuduhan liar wujud korupsi dan penyelewengan terhadap syarikat Negara China yang berurusan di Malaysia setelah PH naik memerintah sedangkan Presiden Xi Jinping antara yang keras dan tegas menentang korupsi.

8. Semua insiden di atas amat mempengaruhi persepsi dan sentimen pelabur luar negara ke atas Malaysia hingga menjunamnya kejatuhan nilai FDI yang pastinya memberi kesan langsung kepada peningkatan kadar pengangguran dan pembuangan kerja apabila banyak syarikat-syarikat dan kilang-kilang ditutup atau berpindah ke negara-negara jiran.

9. Justeru, Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia meminta YB Datuk Seri Mohamed Azmin Ali selaku Menteri Kanan Ekonomi dan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri untuk segera tampil memperjejaskan kepada rakyat tindakan segera Kerajaan untuk menangani kejatuhan teruk FDI ke dalam negara!


Rujukan: https://unctad.org/system/files/official-document/diaeiainf2021d1_en.pdf (page 5)

Terkini

Imigresen serbu pusat hiburan sediakan ‘call girl’, 63 ditahan

JABATAN Imigresen Johor menyerbu sebuah pusat hiburan yang disyaki menyediakan gadis panggilan (call girl) di Taman Mount Austin, Johor...

Lagi Artikel Berkaitan