24.9 C
Kuala Lumpur
Friday, April 26, 2024

Lesen kelab: 6 pasukan lepasi semakan FIB FAM, UKM FC gagal

Mesti Baca

KUALA LUMPUR – Enam daripada tujuh pasukan berjaya melepasi semakan semula oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk memperoleh lesen kelab kebangsaan secara bersyarat manakala satu pasukan lagi gagal.

Ini membolehkan kesemua pasukan terbabit layak beraksi dalam Liga Super dan Liga Premier 2021 yang dijangka akan berlangsung tidak lama lagi.

Enam pasukan terbabit ialah Pahang FA dan Melaka FA yang beraksi dalam Liga Super serta Kelantan FA, Sarawak United FC, Pulau Pinang FA dan Kuching FA untuk Liga Premier.

Manakala lesen bersyarat yang dipegang oleh UKM FC telah ditarik balik kerana tidak memenuhi syarat yang telah ditetapkan.

Pengerusi First Instance Body (FIB) Pelesenan Kelab FAM, Sheikh Mohd Nasir Sheikh Mohd Sharif berkata, ketujuh-tujuh pasukan tersebut telah diberikan lesen kelab kebangsaan pada Oktober tahun lalu.

Namun perkara itu diteliti semula oleh pihaknya melalui mesyuarat yang diadakan di Wisma FAM pada 12 Januari lepas.

“Selepas mengambil kira situasi Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di hampir semua negeri sebelum ini, kesemua pasukan tersebut telah diberi lanjutan tarikh akhir ke 31 Disember 2020 akibat kekangan untuk mendapatkan dokumen daripada pihak ketiga bagi memenuhi syarat, sekali gus tidak disifatkan sebagai melanggar syarat yang telah ditetapkan itu.

Lesen bersyarat yang diberikan kepada UKM FC Oktober lalu ditarik balik, sekali gus mengagalkan kelab universiti itu beraksi dalam Liga Malaysia musim ini. – Foto FB UKMFC

“Bagaimanapun, lesen yang diperoleh kesemua enam pasukan di atas ini hanya merupakan lesen kebangsaan FAM dan ia tidak membabitkan lesen Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, Melaka FA yang masih mempunyai tunggakan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak RM276,169.75 telah mendapat perjanjian bersama untuk pembayaran berjadual dan bayaran seterusnya akan dibuat sebelum tarikh yang ditetapkan.

Advertisements

Tegas beliau, sekiranya Melaka FA gagal membuat bayaran, tindakan-tindakan sanksi termasuk dan tidak terhad kepada penarikan balik lesen boleh dikenakan oleh FIB.

“Pemantauan berterusan dibuat untuk memastikan tiada tunggakan atau terdapat perjanjian bersama untuk penyelesaian atau bayaran berjadual supaya pasukan tersebut masih dalam pematuhan dengan syarat oleh lesen mereka.

“Jika mana-mana pasukan didapati melanggar artikel-artikel yang terdapat dalam Peraturan Pelesenan Kelab FAM atau mempunyai kes tunggakan berkaitan dengan FIFA dan AFC, lesen kelab mereka boleh ditarik balik pada bila-bila masa,” kata Sheikh Mohd Nasir.

Katanya, memandangkan tarikh akhir dokumentasi kewangan bagi pelesenan kelab berakhir pada 30 Jun setiap tahun, Surat Akuan Berkanun (SD) diperkenalkan pada 2019 untuk memantau kes tunggakan kepada pemain, pegawai dan agensi kerajaan yang merangkumi tempoh selepas lesen diberi iaitu 1 Julai hingga 30 November tahun berkenaan sebagai langkah proaktif untuk memastikan penyelesaian tunggakan diambil oleh pasukan.

Berdasarkan SD yang telah diserahkan pada 15 Disember 2020, pasukan Melaka FA, Kelantan FA dan Sarawak United FC telah mengisytiharkan tunggakan pemain dan pegawai dalam tempoh tersebut dan juga dilampirkan persetujuan bersama pegawai dan pemain dan pelan bayaran ansuran bagi tunggakan tersebut.

Katanya, merujuk bukti pembayaran yang diserahkan kepada FAM, Melaka FA sudah berjaya membuat bayaran pertama sebanyak RM476,160.00 dan Kelantan FA pula telah membuat bayaran sebanyak RM44,327.00, manakala bakinya akan dibayar mengikut jadual pembayaran yang telah diserahkan.

“Sarawak United FC pula akan memulakan bayaran ansurannya mulai Februari 2021.

“Pelan pembayaran bagi pasukan-pasukan ini akan dipantau oleh FAM dari semasa ke semasa,” tambah beliau.

Katanya, sekiranya pasukan-pasukan tersebut gagal membuat pembayaran tunggakan yang diisytiharkan dalam SD tersebut mengikut jadual pembayaran yang telah dipersetujui bersama, sanksi terhadap pasukan tersebut boleh diambil. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Khairul Azhari calon PN bagi PRK Kuala Kubu Baharu – Muhyiddin

PEMANGKU Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Hulu Selangor, Khairul Azhari Saut diumumkan sebagai calon Perikatan Nasional (PN)...

Lagi Artikel Berkaitan