29.2 C
Kuala Lumpur
Friday, April 26, 2024

Berbakti tanpa memegang jawatan politik

Mesti Baca

Editor
Editor
Editor Edisi 9

Oleh NORDIN ABDUL MALEK

SEJAK kebelakangan ini cerita politik di Malaysia bagai tiada penghujungnya. Bagi saya, ini bukan sahaja cerita Malaysia sahaja, bahkan turut berlaku negara lain seperti Amerika Syarikat (AS) yang kini dilanda ‘penyakit’.

Donald Trump dan penyokongnya tidak dapat menerima hakikat kekalahan mereka di tangan Joe Biden dalam pilihan raya Presiden negara itu.

Adat orang politik, modal yang sentiasa bermain di bibir mereka adalah ‘demi rakyat’. Tujuan mereka adalah untuk menghalalkan cara yang mungkin salah di kaca mata kita tetapi ‘halal’ dalam misi dan nawaitu politik mereka.

Samalah apabila kawan-kawan saya menghantar video viral bagaimana seorang ahli politik mengambil masa berjam-jam mengadakan sidang media untuk menepis dakwaan ‘kepentingan peribadi’ dan ‘konflik kepentingan’ dalam sebuah GLC baru-baru ini.

Antara alasan diberikan ialah demi menjaga ‘kepentingan rakyat’ dan ‘usahawan Bumiputera’. Mereka yang sudah tahu pastinya akan tersenyum melihat gelagat tersebut bagai menonton filem komedi Allahyarham Tan Sri P. Ramlee yang bertajuk ‘Ali Baba Bujang Lapok’.

Ramai berpandangan kita perlu mempunyai kuasa politik seperti menjadi wakil rakyat, menteri dan sebagainya bagi membolehkan kita berbakti kepada masyarakat dengan berkesan.

Maka tidak hairanlah, ramai mahu bergelar Yang Berhormat (YB) kerana mereka percaya jika mereka memperolehi jawatan tersebut, maka barulah boleh berbakti membangunkan masyarakat.

Ramai juga yang beranggapan, kita gagal berurusan dengan jentera kerajaan kerana mereka sangat terikat kepada arahan kerajaan (government of the day). Seteruk mana corak kerja mereka, arahan wakil rakyat lebih berkesan, berbanding kita yang tiada jawatan YB.

Tanpa menolak persepsi dan realiti perkara tersebut, kita memang tidak boleh menafikan peranan dan kuasa orang politik terutama yang bergelar YB dalam proses pembangunan masyarakat.

Namun di sebalik kenyataan itu, jika kita mempunyai niat yang baik, kepercayaan diri serta sanggup menghadapi cabaran untuk berbakti kepada masyarakat, jawatan politik sebenarnya hanyalah sebagai satu kelebihan dan bonus.

Pada pendapat peribadi saya, ketokohan aktivis seperti Ebit Liew sememangnya perlu disanjung dan digalakkan tetapi untuk mengukur gerak kerja beliau dengan agensi kerajaan dan pemimpin politik adalah kurang sesuai.

Ia kerana agensi mempunyai skop, kaedah dan tatacara yang perlu dipatuhi serta tidak sebebas kita yang bergerak secara peribadi.

Dalam kemelut politik negara yang semakin kronik dan ditambah pula dengan impak covid-19 dan bencana banjir, peranan pihak ketiga seperti NGO, usahawan, kakitangan kerajaan, sukarelawan dan sesiapa sahaja menjadi semakin penting untuk mengimbangi dan mengisi keperluan rakyat ketika ini.

Niat kita berbakti hendaklah dimulai dengan kesedaran diri dan sensitiviti kita terhadap persekitaran masyarakat yang perlu dibantu.

Saya ingin berkongsi beberapa siri pengalaman menjayakan misi kerajaan dan masyarakat sebagai usahawan sosial yang fungsi dan peranannya kadangkala adalah sama seperti pemimpin masyarakat termasuk pemimpin politik.

Pada tahun 2012, apabila kerajaan berhasrat untuk menjayakan program lautan biru kebangsaan (NBOS), My Kampung, My Future (MKMF), di seluruh negara, saya antara orang yang bertanggungjawab menggerakkan misi tersebut.

Sejak awal saya bersama agensi utama iaitu Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani untuk mewujudkan pembangunan ekonomi luar bandar yang digerakkan oleh belia tempatan bersama pelbagai agensi berkaitan.

Bermula dengan program di Kampung Merotai, Tawau, Sabah serta Simunjan di Sarawak hinggalah kampung saya sendiri iaitu Mukim Pulau Tiga, Kampung Gajah, Perak telah dipilih untuk menjayakan MKMF di Malaysia.

Ketika proses awal pembangunan program tersebut di Sabah, saya berulang alik ke negeri itu tanpa bayaran sesen pun atau diberi apa-apa imbuhan oleh kementerian terlibat.

Tetapi saya melakukan pelbagai kerja dengan penuh minat kerana yakin dengan masa depan dan keperluan program berkenaan.

Pada tahun 2013, Mukim Pulau Tiga, Kampung Gajah telah dijadikan pusat pelancaran MKMF peringkat nasional yang disempurnakan oleh Ketua Setiausaha Negara ketika itu, Tan Sri Ali Hamsa.

Advertisements

Daripada asas MKMF itulah, maka kampung saya hidup semula setelah hampir mati sepenuhnya akibat penghijrahan golongan muda.

Walaupun kini, status MKMF tidak begitu diketahui sejak PH mengambil alih pemerintahan negara, kegiatan ekonomi Mukim Pulau Tiga yang diasaskan menerusi MKMF masih bertahan hingga kini.

Papan tanda program NBOS, MKMF Mukim Pulau Tiga masih terpampang di setiap IKS hingga kini di merata kampung dalam mukim itu.

Kegiatan itu seperti Pusat Latihan Kemahiran IGROW, penternakan ikan sangkar, proses makanan, kraftangan dan pelancongan warisan. Ia berpotensi dijadikan model pembangunan ekonomi belia luar bandar yang boleh dikembangkan ke seluruh negara.

MKMF adalah salah satu contoh bagaimana kita boleh berbakti tanpa memegang kuasa politik. Saya bukan sahaja perlu mempunyai daya kepimpinan yang tinggi untuk bersama kerajaan, bekerja dengan kakitangan awam, memikirkan kaedah yang menjamin kemampanan, memberi peluang ekonomi secara komuniti dan cabaran mengubah minda masyarakat ke arah gerak kerja yang lebih baik.

Paling berat sekali ialah dugaan menghadapi tentangan politik kerana wujud ‘rasa tergugat’ dan ego sesetengah pemimpin politik dan ‘macai-macai’ di sekeliling mereka. Namun hari ini, hasilnya masih kelihatan, malah nampak berkembang.

Ketika musim PKP Covid-19, saya perlu bekerja untuk memastikan usahawan yang pernah dibangunkan untuk terus bertahan dengan strategi baru atau norma Baharu kerana mereka amat terkesan dengan tindakan PKP ketika itu.

Kami tidak boleh menunggu orang politik datang membantu atau agensi yang kebanyakannya terkekang dengan arahan PKP.

Alhamdulillah, usahawan-usahawan ini bukan sahaja berjaya diselamatkan tetapi juga datangnya satu keyakinan baru tentang potensi meningkatkan pendapatan melalui kaedah norma baharu yang berasaskan media sosial dan teknologi pemasaran baru.

Saya memperkenalkan program STAR atau Story Telling Advertising Strategy (STAR), dengan kos saya sendiri dan mencecah hampir RM 100,000 sejak PKP dilaksanakan pada Mac 2020 hinggalah PKPP dan PKPB pada 31 Disember 2020 tanpa satu sen pun sumbangan agensi kerajaan negeri dan pusat, walaupun saya cuba menghantar ‘proposal’.

Orang politik datang menjenguk tetapi tiada satu sen pun bantuan dihulur. Agensi yang menyokong sekadar mengucapkan tahniah. Ada juga yang tidak selesa kerana berfikir apakah saya sudah mengambil alih tugas dan fungsi mereka?

Dua kisah pengalaman di atas hanyalah cebisan perjuangan hidup saya untuk berbakti dengan amanah Allah kepada kita untuk disampaikan kepada manusia.

Walaupun saya bergelar usahawan yang perlu melalui proses keusahawanan biasa (jatuh dan bangun) tetapi saya tidak mempunyai kekayaan seperti orang lain kerana saya perlu mengorbankan sebahagian harta saya untuk menjayakan misi pembangunan masyarakat yang memberi faedah jangka pendek dan jangka panjang.

Pengajaran cerita kali ini ialah apakah kita perlu berebut untuk mempunyai kuasa politik khususnya bergelar wakil rakyat, maka barulah kita mahu menabur bakti memimpin pembangunan masyarakat?

Saya telah membuktikan bagaimana kita juga boleh melakukan kerja memimpin masyarakat tanpa memegang sebarang jawatan politik. Tidak dinafikan, adakalanya kita memerlukan sokongan orang politik.

Namun pengalaman saya, ada juga orang politik yang akhirnya memijak kita juga atas sebab kepentingan politik dan peribadi mereka.

Oleh itu, kita boleh berbakti untuk memimpin masyarakat jika kita sanggup menghadapi dugaan, cabaran, mengorbankan harta, masa untuk berkongsi jiwa dan raga bersama masyarakat.

Bagi saya membangunkan masyarakat umpama memimpin dan menguruskan sebuah syarikat juga iaitu kita mesti bijak mencari sumber pendapatan supaya organisasi (umpama negara) dan pekerja (umpama rakyat) dapat diurus dan ditadbir dengan baik.

Pesanan saya kepada mereka yang ‘gila’ mahu bergelar YB kerana percaya bahawa jawatan itu sahaja mampu untuk mengubah masyarakat ialah:

“Anda mungkin akan berjaya memenangi pilihan raya sebagai wakil rakyat kerana pandai menabur janji dan mempengaruhi pengundi membolehkan anda menang untuk bergelar Yang Berhormat.

”Namun anda mungkin akan gagal berfungsi untuk memimpin rakyat kerana anda gagal memiliki pelbagai seni dan sifat lain yang diperlukan sebagai pemimpin sebenar untuk membangunkan rakyat”.

Anda boleh bersetuju atau tidak dengan kenyataan saya tetapi ketika PRU-14, ramai calon yang saya istilahkan sebagai ‘menang terkejut’ hingga mampu menjadi Yang Berhormat mengejut tanpa ada pengalaman memimpin pembangunan rakyat sebelum itu.

Maka apa jadi? Kalutlah negara kini yang silap gaya, kita semua akan menuju masa depan yang semakin kelam. Semoga dipelihara Allah.



Advertisements

Terkini

Apabila kita terlampau berlebih-lebihan meraikan Syawal

Oleh DR MOHD ISTAJID MOKHTAR BARANGKALI Malaysia merupakan antara negara Islam paling berlebih-lebihan dalam menyambut Aidilfitri. Tidak seperti negara-negara Islam Timur...

Lagi Artikel Berkaitan