31 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 27, 2024

Sudah tiba masanya Akta Juruukur Bangunan digubal

Mesti Baca

Editor Edisi 9
Editor Edisi 9
Editor Edisi 9

Oleh PROF MADYA SR DR AU YONG CHEONG PENG

SEKTOR pembinaan di Malaysia sedang mengalami pertumbuhan pesat dan ini dapat diperhatikan melalui lonjakan yang ketara dalam jumlah projek infrastruktur, pembangunan kediaman dan komersil.

Stok hartanah semasa di Malaysia juga amat mengagumkan. Menurut Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta, stok hartanah merekodkan lebih daripada 7.5 juta unit pada tahun 2023.

Ini termasuk 6.2 juta unit hartanah kediaman, 564,800 unit kedai, 370,010 unit pangsapuri servis, 556 pusat membeli-belah, 274 pasar raya besar, 244 arked, 2,601 bangunan pejabat, 121,374 unit hartanah perindustrian, dan 275,119 bilik hartanah hotel.

Bagi memastikan jumlah besar stok hartanah ini berada dalam keadaan yang baik, permintaan untuk penyenggaraan dan pengurusan bangunan tentunya semakin meningkat.

Malangnya, berita dan laporan mengenai isu penyenggaraan dan pengurusan bangunan sentiasa dilaporkan di negara ini. Malaysia telah lama dianggap mempunyai budaya penyenggaraan yang buruk.

Salah satu puncanya adalah dengan tidak menyimpan sistem inventori yang tepat supaya dapat menyenaraikan aset yang perlu disenggara dengan tepat.

Ada juga kes di mana walaupun dengan adanya sistem inventori, keadaan dan keperluan penyenggaraan aset pula tidak diketahui oleh pemilik.

Ini adalah akibat daripada kekurangan pengetahuan dan kesedaran terhadap kepentingan mengemaskini status aset pada setiap masa.

Perkara ini sebenarnya boleh dicapai dengan menjalankan pemeriksaan bangunan atau penilaian keadaan.

Secara amnya, pemeriksaan bangunan turut membantu mengenal pasti pembaikan yang wajib dan belanjawan yang diperlukan dalam penyenggaraan aset tersebut.

Dengan pemeriksaan secara berkala, perancangan penyenggaraan yang berkesan boleh dicapai.

Dalam situasi ini, pemeriksaan bangunan mesti dilaksanakan oleh individu yang bertauliah.

Pertubuhan Juruukur Diraja Malaysia (RISM) menyatakan bahawa juruukur bangunan (BS) adalah individu yang berkelayakan untuk memeriksa dan menilai keadaan bangunan serta menjalankan penilaian risiko yang diperlukan terhadap hartanah.

Dengan diagnosis yang sesuai terhadap kecacatan bangunan daripada pemeriksaan, tindakan pembaikan yang sewajarnya boleh dicadangkan dan dilaksanakan untuk mengelakkan implikasi yang tidak diingini.

Kemudian, BS hendaklah menyediakan program yang sesuai untuk melaksanakan pengurusan penyenggaraan, aset, kemudahan, dan kerja-kerja baik pulih bangunan apabila perlu.

Advertisements

Oleh itu, peranan BS adalah sangat kritikal terhadap perkembangan semasa industri pembinaan di Malaysia.

Profesion BS sebenarnya telah diperkenalkan di Malaysia semasa era kolonial British lagi dan pada masa itu tertumpu kepada penyenggaraan dan pengurusan bangunan serta infrastruktur kolonial.

Selepas merdeka, profesion ini mula berkembang untuk memenuhi keperluan pembangunan negara.

Secara beransur-ansur, BS muncul dalam beberapa aspek, termasuk pembinaan, penyenggaraan, dan pengurusan bangunan.

Bagi menyediakan calon profesional dengan kelayakan formal dan pengetahuan khusus, program Ijazah Sarjana Muda Ukur Bangunan ditawarkan di tiga universiti awam tempatan, termasuklah Universiti Malaya, Universiti Teknologi MARA, dan Universiti Sains Malaysia.

Buat masa ini, profesion BS adalah dikawal selia oleh badan profesional, RISM.

Berbeza dengan profesion pembinaan lain seperti arkitek, juruukur bahan, perancang bandar, dan lain-lain, profesion BS belum lagi digubalkan dengan Akta mahu pun ditubuhkan lembaga profesionalnya.

Akibatnya, kesedaran dan penghargaan orang ramai terhadap kepentingan profesion BS masih berkurangan.

Sebenarnya, sumbangan profesion BS dalam industri pembinaan tidak boleh diabaikan.

Ia adalah penting untuk mengekalkan atau menambah baik keadaan dan penyenggaraan bangunan sedia ada di Malaysia.

Selain itu, BS di Malaysia mampu mempelbagaikan peranan mereka melangkaui tugas ukur bangunan tradisional, contohnya seperti melibatkan diri dalam bidang pengurusan hartanah dan kemudahan, pengurusan projek, dan penyelesaian pertikaian dengan input teknikal.

Sehingga kini, terdapat seramai 1,404 ahli berdaftar di bawah Bahagian Ukur Bangunan RISM.

Justeru, ini adalah masa yang terbaik untuk menggubal Akta Juruukur Bangunan dan menubuhkan Lembaga Juruukur Bangunan di Malaysia.

Dengan penggubalan dan pertubuhan ini, kerajaan boleh menguatkuasakan keperluan bagi menjalankan pemeriksaan bangunan atau penilaian keadaan secara berkala.

Hasil daripada pemeriksaan bangunan boleh meningkatkan pengurusan penyenggaraan bangunan dengan ketara.


Penulis adalah Ketua, Jabatan Ukur Bangunan, Fakulti Alam Bina, Universiti Malaya.
Advertisements

Terkini

PRK Kuala Kubu Baharu masa untuk BN balas jasa PH – Zahid

PILIHAN Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu (KKB) adalah waktu untuk Barisan Nasional (BN) membalas...

Lagi Artikel Berkaitan