PUTRAJAYA – Keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melepas tanpa membebaskan bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berhubung dakwaan rasuah tidak bermaksud beliau dibebaskan sepenuhnya.
Namun jelas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam satu kenyataan, Tengku Adnan masih boleh dituduh pada bila-bila masa sekiranya diberi keizinan mendakwa daripada Jabatan Peguam Negara.
Katanya, SPRM mengambil maklum berhubung keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini yang melepas tanpa membebaskan Tengku Adnan atas pertuduhan menerima rasuah RM1 juta daripada seorang ahli perniagaan pada 2013.
“Merujuk kes sama, SPRM difahamkan bahawa terdapat perkembangan baharu yang telah dikemukakan oleh pihak tertuduh serta satu laporan dibuat terhadap seorang saksi kes ini yang memerlukan siasatan lanjut oleh SPRM,” kata SPRM, hari ini.
SPRM berkata, badan itu akan memulakan siasatan berikutan perkembangan terbaharu tersebut.
SPRM juga katanya akan mengemukakan semula kertas siasatan kepada Jabatan Peguam Negara untuk pertimbangan setelah semuanya selesai.
“Namun begitu, terdapat satu lagi kes terhadap Datuk Seri Tengku Adnan yang masih menunggu keputusan dan tiada kena-mengena dengan keputusan mahkamah hari ini,” tambahnya.