26.3 C
Kuala Lumpur
Friday, April 19, 2024

Wajarkah lagi UMNO terus berada dalam Perikatan Nasional?

Mesti Baca

Zulkiflee Bakar
Zulkiflee Bakar
Penulis Khas Edisi 9


KENYATAAN terbaharu oleh Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin bahawa parti itu akan memperkukuhkan kerjasama dengan Pas melalui Perikatan Nasional susulan penyingkiran Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu daripada kerusi Menteri Besar Perak boleh dianggap isyarat awal kepada UMNO bahawa kedudukan mereka dalam gabungan itu sudah tidak bermakna lagi.

Keputusan yang dibuat dalam Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu malam tadi itu seharusnya dijadikan asas untuk UMNO mempertimbangkan wajarkah lagi mereka berada dalam Perikatan Nasional hanya semata-mata mahu mempertahankan kerajaan yang dipimpin oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin?

Ternyata apa yang diputuskan oleh mesyuarat Bersatu itu sekaligus bererti hubungan antara Bersatu dan UMNO tidak mungkin akan dapat diperbaiki lagi.

Oleh itu lebih baik jika UMNO mempertimbangkan berundur secara terhormat daripada Perikatan Nasional daripada terus dilayan bagaikan ‘melukut di tepi gantang’ dalam gabungan berkenaan.

Hasrat Bersatu untuk memperkukuhkan hubungan dengan Pas melalui Perikatan Nasional bermakna Bersatu sama sekali tidak akan menyertai Muafakat Nasional malah muafakat yang ditubuhkan pada 14 September 2019 itu mungkin akan berkubur begitu sahaja kecuali Pas bertegas untuk mempertahankannya.

Ia memandangkan ketika tiada kuasa dahulu, UMNO dan Pas berpakat demi penyatuan ummah dengan mewujudkan Muafakat Nasional. Kerjasama itu mewujudkan satu gabungan politik yang ‘luar biasa’ sehingga UMNO memenangi beberapa pilihan raya kecil.

Mungkin atas faktor ini jugalah Bersatu hanya mahu memperkukuhkan kerjasama dengan Pas apatah lagi Pas kini sudah menjadi anggota Perikatan Nasional secara rasmi. Dalam keadaan Bersatu tidak mempunyai kekuatan di peringkat umbi, Bersatu tahu keampuhan jentera pilihan raya Pas.

Penulis tidak tahu apakah pendirian yang akan dilakukan oleh Pas memandangkan pendirian terbaru Bersatu sudah jelas menunjukkan bahawa hubungan parti itu dengan UMNO kini berada di penghujung jalan dan boleh berakhir bila-bila masa.

Sebelum ini Pas bertegas ‘mahu mempertahankan Perikatan Nasional, memperkukuhkan Muafakat Nasional’, soalnya adakah hasrat ini masih berkekalan?

Adakah Pas juga akan melayan UMNO seperti ‘habis madu sepah dibuang’? Adakah Pas akan merasakan berunding dengan Bersatu dalam soal pembahagian kerusi lebih mudah berbanding dengan UMNO?

Segala-galanya terserah kepada Pas menentukannya, tetapi apa yang pasti penulis tidak melihat hubungan Bersatu dan UMNO boleh diselamatkan.

Jika UMNO membuat keputusan meninggalkan Perikatan Nasional sekaligus ‘meruntuhkan’ kerajaan sedia ada, parti itu tidak boleh disalahkan.

Ia memandangkan ketika pemimpin-pemimpin UMNO sebelum ini membuat hujah dangkal bahawa apa yang berlaku di Perak tiada kaitan dengan kerjasama Perikatan Nasional di peringkat pusat, pemimpin-pemimpin Bersatu kini menjadikan ia alasan untuk menggeruhkan lagi hubungan parti itu dengan UMNO dan sekaligus bila sampai masanya UMNO akan ‘ditinggalkan secara terhormat’.

Bagaimanapun apa yang dilakukan oleh Bersatu, sama sekali tidak boleh dijadikan alasan untuk mana-mana pemimpin UMNO mencadangkan supaya parti menjalinkan permuafakat dengan Pakatan Harapan (PH) yang didominasikan oleh DAP.

Walaupun sudah ada desas-desus ada pemimpin UMNO begitu teruja mahu bekerjasama dengan PH tetapi UMNO perlu kekal dengan dasar ‘No Anwar, No DAP’. Sebarang langkah untuk mengadakan kerjasama dengan pakatan itu boleh dianggap akan mengundangkan petaka politik kepada UMNO.

Tidak mustahil ada dalam kalangan pemimpin Bersatu yang bercita-cita mahu melihat parti itu menggantikan UMNO mengharapkan UMNO bertindak demikian.

Suka atau tidak, kita perlu menerima hakikat UMNO adalah sebuah parti terbesar orang Melayu. Walaupun sudah kehilangan kuasa dalam PRU-14, namun UMNO memenangi 52 kerusi Parlimen sebelum ia berkurangan kepada 37 kerusi, apabila ada Ahli Parlimen ‘melompat’ ke Bersatu.

Tetapi kekuatan UMNO tidak terhakis, justeru musuh politik parti itu mencari jalan bagi melemahkan UMNO. Bukanlah sesuatu yang mengejutkan apabila UMNO dituduh bekerjasama dengan DAP bagi menjatuhkan Ahmad Faizal.

Mengaitkan UMNO dengan DAP adalah ‘peluru paling ampuh’ bagi melemahkan UMNO kerana musuh-musuh UMNO tahu orang Melayu yang menyokong parti tersebut amat sensitif dengan DAP.

Dan kesempatan ini juga digunakan oleh DAP yang sebelum ini cukup membenci UMNO untuk membuat kenyataan bersedia bekerjasama dengan UMNO bagi memerintah di Perak.

DAP tidak rugi apa-apa kalau UMNO menolak kerana DAP tetap kekal secara en bloc dengan sekutunya dalam PH, yang akan rugi adalah UMNO kerana dikaitkan dengan DAP.

Sebab itulah pemimpin-pemimpin UMNO kena berhati-hati apabila bercakap dalam soal berkaitan mahu mengadakan kerjasama dengan parti-parti lain dalam PH. DAP adalah parti dominan dalam pakatan itu, tidak mungkin kerjasama itu dapat diwujudkan tanpa restu DAP.

Keadaan inilah yang memungkinkan PKR dan Amanah mahu kerjasama dilakukan secara en bloc – maknanya UMNO perlu terima juga DAP.

Tidak ada soal dimensi politik baru apabila menyentuh soal mahu mewujudkan kerjasama antara UMNO dan DAP, yang ada hanyalah ‘strategi terancang’ mahu melemahkan UMNO.

Tidak kira apapun keadaannya sudah terbukti hubungan Bersatu dan UMNO tidak mungkin akan dapat dipulihkan, pendirian MKT Bersatu sudah membuktikannya.

Oleh itu UMNO perlu bersedia berjuang bersendirian dalam PRU-15 dan orang Melayu pula harus bersedia untuk melihat kuasa politik orang Melayu terus lemah kerana pemimpin Melayu mereka sememangnya tidak tahu bersatu dan seruan penyatuan Melayu hanyalah retorik.

Bagaimanapun sebagai orang Melayu di hati kecil penulis, masih mendoakan agar ketiga-tiga parti khususnya UMNO dan Bersatu dapat mencari jalan memperbaiki hubungan, biarpun ia mungkin sekadar ‘mimpi indah di siang hari’. – Edisi 9

Terkini

Amir Hamzah ketuai delegasi Malaysia ke mesyuarat IMF, WBG

MENTERI Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat Musim Bunga Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF)...

Lagi Artikel Berkaitan