25.8 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

Kartel daging dan ‘warlord’ haram

Mesti Baca

Editor
Editor
Editor Edisi 9


Oleh: NORDIN ABDUL MALEK

Apabila media mendedahkan terdapatnya kegiatan kartel daging sejuk beku yang menipu dalam pengurusan daging dan sijil halal di Johor baru-baru ini, kita sebagai umat Islam pastinya marah, geram dan jadi gelisah kerana ini melibatkan hukum makanan dan sumber halal kita.

Seperti biasa, ramailah ‘yang melalak semula’ mempertikaikan penguatkuasaan agensi berkaitan dan tidak kurang juga sesetengah pihak menyuarakan supaya industri daging ternakan halal ini diperluaskan dan diusahakan sendiri oleh umat Islam sepenuhnya.

Saya sendiri turut memberikan komen dalam media sosial terutama memperbetulkan pemikiran sesetengah warga media sosial yang masih beretorik tentang keperluan umat Islam sendiri menjadi pengeluar daging halal bukan sahaja di peringkat domestik tetapi kononnya berpotensi sebagai pengeksport daging halal dunia.

Wawasan ini bukanlah perkara baru tetapi sehingga ke hari ini, cerita umpama angan-angan Mat Jenin itu masih tidak kesampaian. Beberapa tahun lalu, heboh dikatakan bahawa Bagan Datuk, Perak akan mempunyai pusat penyembelihan ternakan terbesar bertaraf dunia. Tapi senyap setelah BN kalah pada tahun 2018.

Dek kerana terlalu banyak beretorik dan sesetengahnya pula sanggup melakukan korupsi untuk menghalalkan yang haram, akhirnya kita menerima padah apabila menerima hidangan makanan halal yang sangat meragukan.

Hari ini, seluruh umat Islam di Malaysia harus menanggung dosa tersebut, bertaubat memohon ampun daripada Allah SWT dan berusaha segera mengatasi masalah tersebut.

Sejak 20 tahun lalu, saya sudah menanam impian untuk melihat umat Islam sendiri menjadi pengeluar dan menguasai daging halal di Malaysia. Asasnya mudah iaitu semua makanan kita diusahakan sendiri oleh umat Islam dengan mengikut hukum syarak yang telah ditetapkan.

Prosesnya bermula daripada membela ternakan, penyembelihan, penyimpanan sehinggalah kepada jualannya perlu mengikut piawaian yang ditetapkan sebagai makanan halal mengikut syariat Islam.

Selepas mendidik pelatih saya, fasa berikutnya saya pastikan sebahagian mereka menjadi penternak. Alhamdulillah memang berlaku iaitu mereka telah menjadi penternak secara individu atau melalui sistem padang ragut di kampung masing-masing.

Namun hal tersebut bukanlah mudah kerana kos pengurusan, modal dan kemampuan perniagaan yang terhad menyebabkan ramai belia tani saya yang terumbang ambing.

Pada tahun 2017, saya mengorak langkah baru yang juga atas nasihat pelbagai agensi di Putrajaya yang mencadangkan agar saya menyediakan satu bentuk baru pengurusan perniagaan penternakan ruminan (lembu, kambing) yang lebih tersusun dan bersifat futuristik serta berskala agak besar.

Pada penghujung tahun 2016, saya mengadakan pertemuan dengan Menteri Besar Perak ketika itu, Dato’ Seri Dr. Zambry Abdul Kadir dan turut dihadiri oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Perak ketika itu, Dato’ Seri Abdul Puhat Mat Nayan di PWTC, Kuala Lumpur (kebetulan persidangan agung UMNO 2016).

Saya menyatakan hasrat untuk membangunkan sebuah ladang inetgrasi yang menggabungkan latihan kemahiran pertanian,perladangan dan keusahawanan (termasuk ruminan).

Dipendekkan cerita, pada April 2017, Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (PPPNP) telah meluluskan pajakan sebidang tanah di Sungai Galah, Jalan Tanjung Tualang, Perak untuk dijadikan ladang integrasi seperti yang saya sebutkan.

Memandangkan pelbagai risiko terutama ancaman dan ugutan peneroka haram sebelumnya, saya mempercepatkan segala usaha untuk merealisasikan pembangunan ladang tersebut termasuk ladang ternak lembu dengan penuh cabaran. Ibarat kata orang “bukan calang-calang cabaran”. Ancaman peneroka haram adakalanya hingga mengancam nyawa saya (ada laporan polis).

Peliknya, setelah setahun, pihak berkenaan gagal menandatangani perjanjian pajakan, dengan alasan mahu meredakan tekanan peneroka haram.

Malah beberapa kali pindaan syarat penawaran dibuat setelah saya terpaksa mengadap pemimpin politik yang terpaksa tunduk dengan tekanan peneroka haram (sebahagian AJK bahagian pasti politik mereka).

Penulis di atas tanah pajakan yang pernah diluluskan dengan pembangunan asas kompleks penternakan tetapi terpaksa dihentikan akibat kegagalan PPPNP menandatangani perjanjian pada pajakan tahun 2017”

Selepas BN tewas pada tahun 2018, pengurusan lama PPPNP bersikap lepas tangan dan hilang tanpa berita. Namun saya sedikit lega apabila PPPNP melantik bekas calon parti Bersatu yang kalah dalam PRU 14 menerajui PPPNP kerana beliau amat mengenali saya.

Pada mulanya beliau memberi jaminan bahawa perjanjian pejakan ini akan ditandatangani kerana kes tersebut lebih bersifat very straight forward.

Malang sekali, dalam satu pertemuan di sebuah kafetaria di hadapan PPPNP sendiri pada Oktober 2018, seorang Pengarah Kanan PPPNP memaklumkan bahawa perjanjian yang sepatutnya ditandatangani minggu tersebut gagal diteruskan kerana wujudnya campurtangan “seorang ahli politik” atas pelbagai sebab bersifat kepentingan peribadi.

Namun saya terus diyakinkan pengurusan dengan pelbagai arahan yang saya kena akur tetapi saya bernasib baik kerana semua arahan melibatkan peguam saya dan peguam PPPNP (bukti hitam putih). Antara lain adalah melibatkan kepentingan kroni tertentu.

Pada mulanya saya ikutkan, hinggalah saya menerima surat pembatalan kelulusan pajakan tanpa sebab pada April 2019. Sebelum membawa ke mahkamah, saya masih mahu berunding cara baik termasuk menemui Menteri Besar Perak ketika itu, Dato’ Seri Faizal Azumu@Peja di UiTM Sungai Galah. Namun, keangkuhannya seperti biasa. Sombong dan tiada penyelesaian.

Selepas menghantar surat aduan kepada Tun Dr. Mahathir Mohamad. Perdana Menteri ketika itu, penasihat media beliau iaitu Dato’ Kadir Jasin pernah merujuk perkara ini kepada Peja sendiri dan menghantar semula salinan jawapan Peja yang bersifat ‘dalih untuk selamat’ serta menyatakan kesediaan menyemak semula.

Akhirnya, setelah semua ikhtiar dilakukan, jalan terbaik saya adalah mahkamah (sedang dalam peringkat pengurusan kes).

Dalam bahasa undang-undang, tindakan PPPNP ini adalah disebut sebagai “buat dahulu, fikir kemudian”. Pelbagai alasan dan helah telah digunakan bagi menafikan hak saya termasuk alasan yang langsung tidak kena mengena.

Kesimpulannya, dalam usaha saya untuk memastikan misi melahirkan usahawan di kalangan belia Melayu tempatan, dasar dan niat kerajaan sendiri tidak betul dan jelas. Pemimpinnya sendiri tidak ikhlas dan bercampur busuk. Negara kita masih lagi dibelenggu dengan warlord yang menyukarkan kita bergerak ke hadapan.

Usahawan seperti saya dan anak didik saya akan terus menjadi mangsa kerakusan mereka yang bergelar pemimpin berkuasa dan penguasa.

Tetapi viral pula sejak kebelakangan ini salah satu perangai buruk PPPNP yang menganugerahkan tanah pajakan seluas hampir seribu ekar kepada salah seorang ahli Bersatu yang pernah berada di keliling Peja iaitu sebuah syarikat bermodal RM 2 serta baru ditubuhkan pada tahun 2018.

Jika dibandingkan kredibiliti saya dalam sektor pertanian, beliau langsung tidak ada sebesar zarah pun pengalaman itu. Jauh tidak layak.

Apa pun, Alhamdulillah, saya meneruskan misi saya dengan cara sendiri. Bagaimanapun, saya pernah menasihati pemimpin dan penguasa yang angkuh tersebut bahawa doa saya dan golongan yang dididik (majoriti keluarga miskin), akan dimakbul Allah satu hari nanti.

Mungkinkah itu antara sebab tumbangnya Peja? Wallahualam. InshaAllah, tunggulah giliran yang lain kerana senjata paling utama bagi orang muslim ialah doa. InshaAllah, masa akan menentukannya.

Jika sikap warlord ini masih berlaku dan berleluasa, percayalah bahawa 40 tahun lagi anak cucu kita masih bercakap lagi pasal makan daging import yang diragui halalnya. Malah mungkin lebih teruk daripada itu lagi. Nauzubillahiminzalik.

  • Penulis adalah Pengerusi Eksekutif Institut Agro Usahawan (IGROW) dan Aktivis Ekonomi Sosial. Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Edisi 9.

Terkini

China minta lebih banyak ruang kerjasama diwujudkan – Zahid

CHINA meminta agar lebih banyak ruang kerjasama diwujudkan antara kedua negara, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid...

Lagi Artikel Berkaitan