24.6 C
Kuala Lumpur
Friday, April 26, 2024

Video budak ‘kecik’ tunggang motosikal tarik perhatian JPJ Kedah

Mesti Baca

ALOR SETAR – Gelagat seorang budak lelaki menunggang sebuah motosikal yang dilihat tidak padan dengan saiz fizikalnya sehingga video itu tular sejak semalam, dilapor menarik perhatian Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kedah.

Memetik Harian Metro, JPJ dilapor sudah mengenalpasti pemilik kenderaan itu yang mana video berdurasi 18 saat itu menunjukkan seorang kanak-kanak lelaki menunggang Honda EX5 dan ditegur seorang pemandu kenderaan di simpang Kampung Paya Cegar, Jitra.

Kanak-kanak dipercayai berusia 12 tahun itu turut dirakam cuba mengangkat tayar hadapan motosikal dan gelagatnya dirakam orang awam sebelum tersebar di media sosial.

Menurut Pengarah JPJ Kedah, Ismasuhaimi Shariff, pihaknya sudah menyemak video berkenaan dan berjaya mengenal pasti pemilik motosikal yang ditunggangi kanak-kanak lelaki berkenaan.

Katanya, berdasarkan video berkenaan, kejadian dipercayai berlaku di Kampung Paya Cegar di Jitra.

“Kita akan memberi Notis 114 kepada pemilik motosikal itu supaya hadir ke pejabat JPJ untuk memberi keterangan
“Namun, kita akan dapatkan dulu maklumat lanjut dan melakukan soal siasat sebelum tindakan diambil,” katanya, hari ini.

Dalam pada itu, Ismasuhaimi berkata, pihaknya mendapati kesalahan kanak-kanak itu ialah tiada lesen memandu B2 selain tidak memakai topi keledar.

Ujarnya, tindakan kanak-kanak itu juga boleh mengancam keselamatan pengguna jalan raya lain sekiranya berlaku kemalangan.

“Justeru, saya menasihatkan ibu bapa atau penjaga supaya mengawasi anak masing-masing supaya tidak menunggang motosikal terutama ketika Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ini,” katanya.

Advertisements

Sementara itu, kanak-kanak lelaki yang menunggang motosikal dalam video tular di laman sosial tampil menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu, di sini, hari ini.


Difahamkan, kanak-kanak dipercayai berusia 10 tahun itu datang bersama bapanya berusia 50-an pada pukul 2.40 petang tadi.


Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Mohd Ismail Ibrahim berkata, video yang ditularkan di Facebook  dan WhatsApp selama 18 saat itu memaparkan seorang kanak-kanak lelaki sedang menunggang motosikal Honda EX-5 hitam dan nombor pendaftarannya kabur.


Hasil siasatan lanjut mendapati, rakaman video itu berlaku di Kampung Paya Chegar, Jitra pada 6 petang 8 November (semalam),” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.


Mohd Ismail berkata, tindakan akan diambil berdasarkan kesalahan lalu lintas iaitu menunggang motosikal di bawah umur, cukai jalan tamat tempoh dan tiada perlindungan insuran.


Katanya, selain itu kanak-kanak lelaki terbabit juga didapati tidak memakai topi keledar.


“Tindakan juga diambil terhadap warisnya mengikut Seksyen 39(5) Akta Pengangkutan Jalan (JPJ) 1987 kerana membenarkan pemandu bawah umur memandu kenderaan bermotor.


“Kanak-kanak lelaki itu kemudian dibebaskan selepas dikenakan tindakan saman atas kesalahannya,” katanya.

Advertisements

Terkini

Khairul Azhari calon PN bagi PRK Kuala Kubu Baharu – Muhyiddin

PEMANGKU Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Hulu Selangor, Khairul Azhari Saut diumumkan sebagai calon Perikatan Nasional (PN)...

Lagi Artikel Berkaitan