30.9 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

Ceroboh perairan Malaysia, tiga bot nelayan Indonesia diusir

Mesti Baca

LUMUT – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Perak  mengusir tiga bot nelayan Indonesia yang menceroboh perairan negara dekat Pulau Jarak pada 5 dan 7 November lalu.

Pengarah Maritim Negeri Perak, Kapten Maritim Shahrizan Raman berkata, bot pertama bersama lima kru warga Indonesia termasuk tekong diusir oleh KM TUGAU yang dalam rondaan dan penguatkuasaan Op Benteng sekitar perairan Perak, 22.88 batu nautika barat laut Pulau Jarak pada 5 November lalu.

Katanya, KM TUGAU pada 7 November sekali lagi mengusir sebuah bot nelayan asing Indonesia bersama 6 kru termasuk tekong pada kedudukan 16.4 batu nautika barat laut Pulau Jarak. 

“Beberapa jam kemudian KM TUGAU sekali lagi mengusir bot nelayan Indonesia dengan 6 kru termasuk tekong di kedudukan 24.7 batu nautika barat laut Pulau Jarak.

“Maklumat pengesanan bot kedua nelayan Indonesia telah diterima melalui Maritime Component Operation Centre (MCOC), Markas Pemerintahan Armada Barat TLDM dan pesawat udara PDRM semasa rondaan dan pemantauan udara Op Benteng di perairan Selat Melaka” kata Shahrizan dalam satu kenyataan hari ini.

Antara bot nelayan asing yang diusir Maritim Malaysia, baru-baru ini.- foto FACEBOOK MARITIM MALAYSIA

Shahrizan memberitahu, kesemua bot nelayan Indonesia itu diusir secara membayangi sehingga ke sempadan perairan Malaysia-Indonesia.


Menurutnya, empat pengusiran telah dilakukan dalam tempoh sepuluh hari yang melibatkan pencerobohan oleh bot nelayan Indonesia dengan pengusiran pertama dibuat pada 31 Oktober lalu.

“Pengusiran terhadap nelayan asing ini merupakan tindakan semasa dalam mencegah dan mengekang penularan Covid-19 khususnya melalui kes import yang dibawa oleh warga asing.

“Maritim Malaysia akan terus meningkatkan pemantauan dan memperkukuh sempadan perairan negara khususnya melalui Op Benteng Laut dalam mengekang kemasukan PATI dan jenayah rentas sempadan.

Sementara itu, Shahrizan menambah, orang awam dan komuniti maritim diminta bertanggungjawab dan bekerjasama membanteras aktiviti jenayah, kemasukan PATI dengan menyalurkan maklumat yang membabitkan tekong, ejen serta tali barut ke talian NTF 011- 6251 1123 atau talian Pusat Operasi Maritim Negeri Perak 05-6838737.

Terkini

Imigresen serbu pusat hiburan sediakan ‘call girl’, 63 ditahan

JABATAN Imigresen Johor menyerbu sebuah pusat hiburan yang disyaki menyediakan gadis panggilan (call girl) di Taman Mount Austin, Johor...

Lagi Artikel Berkaitan