32.8 C
Kuala Lumpur
Friday, April 19, 2024

Remaja perempuan korban terbaharu rabies di Sarawak

Mesti Baca

PUTRAJAYA – Seorang remaja perempuan berusia 16 tahun menjadi korban terbaharu wabak rabies di Sarawak apabila meninggal dunia pada 11 November lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kematian terbaharu di Sarawak itu menjadikan jumlah kes rabies dalam kalangan manusia meningkat kepada enam kes tahun ini.

Katanya, ini sekali gus menjadikan keseluruhan kes rabies di Sarawak adalah sebanyak 28 kes sejak wabak itu diisytiharkan di negeri berkenaan sejak 31 Julai 2017.

Menurutnya, remaja itu dimasukkan ke Hospital Umum Sarawak pada 10 November lalu kerana mengalami demam selama tiga hari, lemah pada bahagian anggota bawah badan dan menunjukkan tingkah laku agresif.

“Remaja itu turut mengalami aerofobia dan hidrofobia. Kes ini meninggal dunia pada 11 November pada pukul 3.45 petang dengan diagnosa rabies encephalitis.

“KKM ingin mengucapkan takziah kepada ahli keluarga mendiang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, remaja perempuan itu disahkan dijangkiti virus rabies pada 12 November lalu selepas menjalani ujian makmal yang dijalankan oleh Institut Penyelidikan Perubatan (IMR).

Ujarnya, siasatan lanjut KKM mendapati tiada sebarang sejarah gigitan anjing atau haiwan lain berlaku kepada remaja tersebut.

“Kes hanya mempunyai kesan cakaran yang sudah sembuh di kaki kanan tetapi ahli keluarganya tidak dapat memberi perincian mengenainya.

“Dia ada memelihara empat kucing dan seekor anjing. Kesemua haiwan peliharaannya tidak pernah mendapat vaksinasi namun sehingga kini, haiwan peliharaan ini dalam keadaan sihat dan tiada perubahan tingkah laku,” katanya.

Dr Noor Hisham sehubungan itu berkata, KKM dan Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Sarawak akan terus memantau situasi rabies di negeri terbabit selain akan berkongsi maklumat terkini dengan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Sarawak dan JPV Malaysia bagi memastikan tindakan pencegahan dan kawalan rabies dilaksanakan dengan segera dan komprehensif.

“Kerjasama semua rakyat Sarawak amat diperlukan, dengan mematuhi nasihat kerajaan dan pihak berkuasa bagi memastikan masalah rabies di negeri ini dapat dikawal.

“Jangan biarkan haiwan peliharaan berkeliaran atau membuangnya di kawasan awam,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Dr Noor Hisham memberitahu, kematian akibat jangkitan rabies dapat dielakkan dengan melakukan beberapa pencegahan bagi mengelakkan jangkitan.

Antara langkah itu katanya, mencuci bahagian tubuh yang digigit anjing atau haiwan lain menggunakan air mengalir dan sabun selama 15 minit bagi menghilangkan kesan air liur.

Pada masa sama jelasnya, orang ramai boleh mendapatkan rawatan segera di klinik kesihatan atau hospital terdekat jika digigit oleh haiwan peliharaan yang agresif atau anjing liar, walaupun semasa fasa kawalan pergerakan ketika Covid-19.

“Pastikan anjing peliharaan mendapat suntikan anti-rabies setiap tahun dari klinik haiwan terdekat dan elakkan ia bercampur dengan anjing atau haiwan liar yang lain.

“Jika anjing atau kucing peliharaan didapati berubah tingkah laku termasuk agresif, dapatkan rawatan segera di klinik haiwan dan laporkan kepada berhampiran,” katanya.

Beliau menambah, individu berkenaan juga perlu melaporkan kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) jika terdapat anjing liar yang berkeliaran di kawasan tempat tinggal.

Terkini

Beras dibuang di tapak pelupusan sampah tidak selamat dimakan

BERAS yang didakwa dibuang di tapak pelupusan sampah di Temerloh, Pahang didapati telah rosak dan tidak sesuai serta tidak...

Lagi Artikel Berkaitan