24.7 C
Kuala Lumpur
Thursday, April 25, 2024

Nelayan diselamatkan 7 jam berpaut pada pelampung pukat

Mesti Baca

JOHOR BAHRU – Seorang nelayan melalui detik cemas apabila dia terjatuh dari botnya semasa memancing dan terapung di perairan Tanjung Sedili Kechil selama tujuh jam sebelum dia ditemui dan diselamatkan oleh bot nelayan tempatan, semalam.

Mangsa, lelaki Melayu berumur 57 tahun ditemukan nelayan tempatan di kedudukan lebih kurang 2.0 batu nautika timur Tanjung Sedili Kechil, Kota Tinggi.

Bot mangsa ditemukan di kedudukan 5.1 batu nautika timur laut Tanjung Sedili Kechil. foto FACEBOOK MARITIM MALAYSIA

Pengarah Maritim Negeri Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, Maritim Malaysia menerusi Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Johor Bahru menerima panggilan daripada Zon Maritim Tanjung Sedili pada pukul 4.50 petang mengenai penemuan sebuah bot tanpa pengemudi oleh komuniti maritim di kedudukan 5.1 batu nautika timur laut Tanjung Sedili Kechil.


Menurutnya, bertindak atas aduan, bot Kilat 16 segera diatur gerak ke lokasi kejadian dan menemui bot gentian kaca lengkap dengan peralatan menangkap ikan tanpa pengemudi. 

“Kilat 16 terus melakukan pencarian sekitar bot ditemui dengan dibantu tiga bot nelayan tempatan bagi mengesan mangsa. 


“Mangsa ditemui selamat dan sedang terapung dengan berpaut pada pelampung pukat pada pukul 6.00 petang oleh nelayan tempatan seterusnya dibawa ke Klinik Kesihatan Tanjung Sedili untuk pemeriksaan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Nurul Hizam berkata, mangsa memaklumkan dia turun ke laut secara berseorangan untuk menangkap ikan pada pukul 6.40 pagi.

Advertisements

Namun kata mangsa, kira-kira pukul 9.00 pagi, ketika hendak menurunkan pukat dia terasa pitam kemudiannya terjatuh ke laut. 

“Keadaan laut yang agak bergelora menyukarkan beliau untuk berenang ke bot dan hanyut mengikut arus,” jelas Nurul Hizam lagi.

Sementara itu, Maritim Malaysia ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada komuniti maritim yang turut sama membantu dalam pencarian yang dilaksanakan. 

Ujar beliau, komuniti maritim terutamanya bot-bot kecil juga diseru agar tidak keluar ke laut berseorangan dan sentiasa mengambil langkah keselamatan sewajarnya seperti memakai jaket keselamatan selain daripada memiliki ‘Personal Locator Beacon (PLB)’.


 ”Selain tugas-tugas penguatkuasaan, Maritim Malaysia sentiasa bersiap sedia dalam memberi perkhidmatan dan bantuan kecemasan kepada masyarakat atau komuniti maritim. 

“Justeru, orang ramai terutamanya komuniti maritim yang berdepan situasi kecemasan di perairan Johor Timur supaya menghubungi talian hotline 24 jam Pusat Operasi Zon Maritim Tanjung Sedili (07-8916595) atau talian kecemasan MERS 999 agar tindakan segera dapat diambil oleh Maritim Malaysia,” tambah Nurul Hizam lagi.

Advertisements

Terkini

Bantuan awal kepada waris mangsa nahas helikopter TLDM

KERAJAAN bersetuju menyalurkan bantuan awal sebanyak RM10,000 kepada setiap keluarga mangsa nahas dua helikopter milik Tentera Laut Diraja Malaysia...

Lagi Artikel Berkaitan