25.5 C
Kuala Lumpur
Thursday, May 2, 2024

PH calonkan, bukan saya beria-ia mahu jadi PM – Anwar

Mesti Baca


KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, bukan beliau yang beria-ia mahu menjadi Perdana Menteri sebaliknya menegaskan, ia adalah sesuatu yang telah dipersetujui oleh parti-parti dalam Pakatan Harapan (PH) termasuk Tun Dr. Mahathir Moahamad sendiri.

“Ini bukan soal Anwar nak jadi PM, tidak. Saya dicalonkan oleh parti-parti dalam PH yang majoriti 92 sekarang,” kata ahli politik berusia 73 tahun itu ketika diwawancara Malaysia Gazette.

Biarpun sering kali diajukan persoalan mengapa beliau beriya-iya untuk menjadi Perdana Menteri, Anwar tetap merujuk perkara itu sebagai perkembangan yang telah diputuskan terlebih awal lagi.

Jelas Anwar, perkara itu telah diputuskan sebelum PH memenangi Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14), dua tahun lalu.

“PRU 2018 itu diketengahkan saya calon PM, transisi PM sementara (Tun Dr) Mahathir kepada Anwar Ibrahim dan kita menang PRU14. Jadi itu yang harus diketahui bukan perkara itu berkembang dua minggu lalu atau bulan lalu seperti yang didakwa,” katanya.

Mengenai hubungan beliau dengan Dr.Mahathir, sambil mengimbas pemilihan bagi jawatan Presiden UMNO pada tahun 1987, Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata,;

“Saya ada peranan untuk pertahankan dia (Tun Dr Mahathir Mohamad). Semua orang tahu pada 1987 kalau saya tidak sungguh-sungguh dukung dia, mungkin terguling juga dia masa itu.

“Dia akan kalah dengan Tengku Razaleigh tapi itu masing-masing tanggungjawab dan menyatakan keyakinan kita,” katanya.

Anwar yang juga Ketua Pembangkang menyanggah pandangan Dr. Mahathir bahawa beliau (Anwar) tidak mempunyai apa-apa semasa diangkat ke dalam kerajaan.

Katanya, ketika itu beliau sudah menjadi ahli jawatankuasa pertubuhan belia dunia dan juga mempunyai kedudukan dalam Angkatan Belia Islam di dalam dan luar negara selain ada peranan dalam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Advertisements

“Jadi ada peranan saya di peringkat dunia sudah dikenali, dan diambil saya ucap terima kasih dan memang benar dia bagi ruang. Tapi kalau kata tidak ada apa-apa dari debu dia angkat, kalau begitu tak apalah. Itu kenyataan politik,” katanya.

Menurut beliau, sebagai manusia biasa beliau mengakui pernah berasa sakit hati, tersinggung dan tercuit melalui pelbagai pengalaman termasuk dipenjarakan semasa pemerintahan Dr. Mahathir.

Namun demi kepentingan negara, beliau menerima ‘kedatangan’ Dr Mahathir pada dua tahun lepas dan melupakan apa yang telah terjadi.

“Tapi kalau asyik ulang-ulang konspirasi dan khianat itu tidak boleh. Saya sekarang, tak apa biar dan teruskan ikut jalan saya,” katanya.

Berhubung tindakan beliau menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, bulan lalu, Anwar berkata, beliau melahirkan keyakinan untuk berdepan dengan Al-Sultan disebabkan sokongan yang ditunjukkan oleh Ahli-Ahli Parlimen daripada parti-parti tertentu.

“Saya menghadap Yang di-Pertuan Agongsetelah yakin dengan jumlah kerusi dan dokongan Ahli Parlimen dari parti-parti yang telibat.

”Itu kenyataannya dan proses ini berjalan dan tidak mungkin dan munasabah untuk saya gunakan ruang sehingga menghadap Yang di-Pertuan Agong dalam keadaan saya tidak yakin dengan jumlah itu.

“Tapi dengan ehsan dan kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong menangguhkan untuk memastikan beberapa pertimbangan jadi saya hormat,” katanya.

Ditanya sama ada beliau masih berkeyakinan dengan apa yang dipersembahkan kepada Seri Paduka, Anwar berkata hanya masa yang boleh menentukannya.

“Insya-Allah akan dapat diluruskan dalam masa terdekat,” katanya lagi.

Advertisements

Terkini

Wanita perlu jaga darjat, jangan bergaduh kerana ‘buaya’

USAHAWAN selebriti, Datin Thalia Baiduri menitip pesan kepada semua wanita agar sentiasa menjaga darjat serta nilai diri masing-masing. Baginya tidak perlu...

Lagi Artikel Berkaitan