26.8 C
Kuala Lumpur
Saturday, December 14, 2024

Jiwa besar Pak Lah

Mesti Baca

Editor Edisi 9
Editor Edisi 9
Editor Edisi 9

Oleh NORDIN ABDUL MALEK

PADA 26 November lalu, genaplah 81 tahun usia Perdana Menteri Kelima, Tun Abdullah Ahmad Badawi atau lebih mesra dipanggil Pak Lah.

Saya berpeluang mengenali dan mendekati Pak Lah, dalam tempoh hampir dua tahun sebelum beliau meletakkan jawatan. Pertemuan dan kemesraan kami hanya berlaku selepas Barisan Nasional (BN) tewas di lima negeri iaitu Perak, Pulau Pinang, Selangor, Kelantan dan Kedah dalam Pilihan Raya Umum 2008.

Oleh kerana ketika itu saya mempunyai hubungan rapat dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) terutama NGO pro BN, secara tidak sengaja saya dijemput menghadiri satu perjumpaan tergempar di sebuah hotel terkemuka di Kuala Lumpur bagi membincangkan impak keputusan pilihan raya itu di negeri-negeri yang sebelum ini diperintah BN.

Bermula dengan lebih kurang 10 NGO sahaja yang hadir, satu gerakan menghimpunkan jumlah lebih besar akhirnya berjaya dalam usaha mewujudkan solidariti dalam kalangan NGO Melayu, khususnya pro BN.

Hasil inisiatif sahabat-sahabat yang rapat dengan Pak Lah, satu pertemuan antara NGO dengan beliau diadakan di Seri Perdana sebaik sahaja PRU-12 selesai.

Ketika itu bahang kemarahan dalam kalangan pemimpin dan pengikut UMNO masih terasa dan Kabinet pun belum terbentuk. Masih segar dalam ingatan saya, bagaimana Pak Lah cuba mendapatkan maklum balas pemimpin-pemimpin NGO yang hadir.

Beliau yang berbaju Melayu biru kerana baru selesai menghadiri majlis tahlil mendengar pendapat kami mengenai punca kekalahan dan apa langkah ke hadapan bagi meredakan kemarahan sebahagian rakyat hingga menyebabkan BN tumbang di lima negeri.

Ketika itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim mula mencanang kononnya mempunyai ahli parlimen yang mencukupi untuk mengambil alih kerajaan (dongeng 16 September 2008).

Hasil pertemuan pertama tersebut, berlangsung beberapa perhimpunan NGO Melayu dan penyokong mereka untuk memujuk serta mengingatkan orang Melayu supaya bertaut semula selepas berpecah akibat sentimen politik PRU-12.

Gerak kerja itu sedikit sebanyak menggembirakan Pak Lah dan beberapa siri perjumpaan dengan Pak Lah diadakan selepas itu sama ada di pejabat beliau, di Seri Perdana, mahupun di rumah klasik beliau di Jalan Bellamy, Kuala Lumpur.

Penulis berasa bertuah kerana mendapat sokongan Pak Lah untuk membangunkan bidang pertanian dan kemahiran modal insan.

Saya bernasib baik kerana diberi kepercayaan oleh kumpulan penggerak NGO untuk menjadi urusetia kerana saya dikategorikan sebagai golongan muda yang masih segar dan bertenaga melakukan kerja-kerja berkaitan.

Dalam salah satu pertemuan berkumpulan dengan Pak Lah yang turut dihadiri Allahyarhamah Tan Sri Zaleha Ismail (mantan Menteri), saya yang masih muda dan agak vokal ketika itu memberikan komen peribadi saya terhadap kelemahan kerajaan dalam menjayakan misi Pak Lah iaitu isu modal insan (TVET) dan pembangunan latihan kemahiran generasi baru dalam sektor pertanian.

Beliau yang kelihatan letih pada malam itu, terus segar dan terbeliak matanya apabila saya mengemukakan fakta sebenar jumlah pelatih jurusan teknikal pertanian di Malaysia yang jauh lebih rendah daripada unjuran tenaga kerja pertanian yang beliau impikan.

Malah sebelum itu, saya tidak kurang juga mendapat publisiti menghentam beliau dalam isu modal insan terutama melibatkan TVET dan latihan pertanian. Saya yakin beliau tahu dan membaca berita ‘nakal’ saya itu.

Namun, pada malam tersebut Pak Lah ‘cool’, malah tertarik dengan beberapa syor saya. Hinggalah terkeluar daripada mulutnya mencabar saya dengan nada lembut: “ Kalau hang terror sangat, mai buat proposal tengok”, katanya.

Sambil melakukan pelbagai gerak kerja berunsur politik ketika itu, saya tidak lupa berbincang proposal yang disarankan beliau. Oleh kerana saya sudah melalui proses bersama Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri (Kluster Pendidikan, Masyarakat Perdagangan Perindustrian Bumiputera Generasi Kedua/ BCIC-2) sudah pasti proposal saya mudah untuk melalui prosedur kerajaan.

Dalam perbincangan dengan beliau, saya dinasihati supaya menjayakan kluster BCIC-2 itu yang diakuinya agak perlahan dan jenuh berdepan karenah birokrasi.

Saya menggariskan bagaimana dasar BCIC-2 tersebut bukan sahaja dapat membangunkan usahawan Bumiputera dalam sektor latihan kemahiran (sebagai champion) tetapi juga membangunkan generasi muda dalam pelbagai sektor kemahiran.

Walaupun terdapat pelbagai bidang, sektor pertanian dan perladangan telah menjadi keutamaan beliau termasuklah agihan yang adil kepada belia Sabah dan Sarawak.

Pertanian generasi baharu yang diusahakan oleh penulis bagi menyahut cabaran Pak Lah suatu ketika dulu.

Sejak itu, saya terus menggerakkan misi pertanian tersebut hinggalah mengembangkannya hingga hari ini. Kesannya, ramai anak Sabah dan Sarawak yang dulu tidak mendapat akses latihan pertanian dan perladangan masih kekal dan ada yang telah meningkat tinggi kerjaya mereka.

Saya pula meneruskannya hingga hari ini dalam pelbagai versi baru pertanian, asas tani dan kemahiran belia luar bandar. Banyak pencapaian luar biasa yang menjadi matlamat BCIC-2 dalam kluster pendidikan dan latihan kami berjaya dicapai dan impaknya masih dirasai hingga kini dalam kalangan gabungan kami. Saya menganggap inilah antara legasi kejayaan Pak Lah…setidaknya kepada kami.

Namun secara peribadi, Pak Lah yang saya kenali mempunyai jiwa lebih besar sebagai tokoh Perdana Menteri dan pemimpin hebat di Malaysia.

Secara ringkasnya, kita semua tahu sejarah perjalanan Pak Lah dalam politik yang melalui proses pasang surut dan turun naik, sehinggalah beliau berjaya menjadi Timbalan Perdana Menteri pertama yang berkhidmat di bawah Tun Dr. Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri.

Semasa menjadi Timbalan Perdana Menteri, beliau berjaya mengimbangi cara kepimpinan dan pentadbiran Dr. Mahathir dan menjadi pasangan hebat kepada Dr. Mahathir

Apabila berjaya menjadi Perdana Menteri Kelima pada tahun 2003 dan menang besar pada PRU ke-11 pada tahun 2004 banyak gerak kerja ekonomi yang menjadi kesinambungan dan keseimbangan pembangunan yang sudah dilakukan oleh Dr.Mahathir menjadi gagasan baru Pak Lah.

Advertisements

Jika zaman Dr.Mahathir, pembangunan pesat bandar-bandar baru khususnya di sekitar Lembah Kelang, Cyberjaya dan Putrajaya, Pak Lah mengilhamkan gagasan yang boleh mengimbangi keperluan luar bandar. Ini berkait rapat dengan pembelaan nasib orang Melayu dan Bumiputera yang majoritinya berada di kawasan berkenaan.

Keratan akhbar yang memaparkan kenyataan penulis selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman dengan Pihak Berkuasa Pembangunan dan Pelaburan Sabah.

Antara legasi besar Pak Lah adalah projek Koridor Malaysia yang masih kekal hingga kini. Pada era Pak Lah juga sektor pertanian, industri makanan halal dan pembangunan modal insan diberi penekanan utama.

Berdasarkan pengalaman saya, kegemilangan pertanian tidak dapat dinafikan ketika zaman Pak Lah. Industri pertanian berkembang daripada ekonomi huluan kepada industri baru hiliran.

Dasar itu berjaya menarik minat generasi muda menyertai semula sektor pertanian, hasil gerak kerja, kempen dan penjenamaan yang strategik dalam sektor tersebut.

Hari ini, pertanian dan perladangan telah menjadi sektor kritikal, apatah lagi sejak Covid-19 melanda. Isu jaminan keselamatan makanan menjadi teras keselamatan yang dijangka menggugat negara-negara di dunia.

Walaupun terdapat kelemahan ketika menjayakan misi tersebut, setidak-tidaknya Pak Lah telah meletakkan semula peranan sektor pertanian dalam ekonomi Malaysia yang sudah terpinggir jauh dengan revolusi perindustrian Malaysia sebelumnya.

Saya mungkin tidak begitu tepat mengulas cara politik beliau tetapi kesempatan seketika mengenali rapat beliau, Pak Lah selalu menyebut soal hormat untuk beralah dan mengurangkan berbalah.

Pernah dalam satu pertemuan NGO, beliau memberitahu kepada Allahyarhamah Tan Sri Zaleha bahawa beliau tidak mahu berbalah dengan salah seorang pemimpin Wanita UMNO yang pernah menganggotai Kabinetnya sendiri apabila pemimpin wanita tersebut menyerang beliau sebaik sahaja BN tewas terhadap di lima negeri dalam PRU-12.

Sedikit-sebanyak, pernahlah juga saya mendengar secara peribadi ketika bersembang dengan beliau dan sahabat-sahabatnya tentang kritikan Dr.Mahathir, desakan Tan Sri Muhyidin Yassin ketika tempoh-tempoh akhir kepimpinan Pak Lah sebagai Perdana Menteri. Biarlah ia menjadi kenangan yang saya simpan sendiri.

Setelah bertolak kira dalam politik, pengumuman Pak Lah untuk bersara dan menyerahkan jawatan Perdana Menteri kepada Datuk Seri Najib Tun Razak pada tahun 2009 sebenarnya adalah antara usaha beliau untuk meredakan tekanan terutama daripada Dr.Mahathir dan mengelakkan pergolakan serta krisis dalam UMNO.

Apabila sudah bersara, beliau mengambil banyak pendirian tidak mencampuri urusan politik. Mungkin langkah ini adalah untuk mengurangkan gangguan dalam kepimpinan selepasnya menerajui negara.

Dari dasar pentadbiran negara hinggalah urusan politik tanahair, pada saya, Pak Lah telah mempamerkan sikap dan nilai diri yang lebih terhormat dengan sifat seorang tokoh pemimpin dan manusia yang berjiwa besar.

Masih ingat kata-katanya dulu dalam loghat utara iaitu “tak mau berkelahi (tidak mahu bergaduh)”.

Mana-mana negara di dunia, apabila mereka yang pernah berkuasa, masuk semula ke gelanggang, maka berserabutlah negara itu.

Inilah yang berlaku hari ini. Penyakit ‘warlord” masih melanda negara. Puncanya kerana ego, gila kuasa dan gila harta kekayaan. Paling teruk ialah gila kekayaan dengan jawatan politik. Penyakit ini masih berlegar di semua peringkat.

Dari pusat ke negeri dan bahagian. Lebih malang, warlord yang dibenci dalam parti lama, mahu terus berkuasa membolot sumber kekayaan dengan melompat pula ke parti lain (baru).

Penyakit anak beranak dan anak menantu inilah yang sedang melanda negara hingga menjadi wabak penyakit yang belum ada kesudahannya pada masa kini.

Politik Malaysia adalah berteraskan demokrasi berparlimen dan raja berperlembagaan. Kita bukanlah mengamalkan sistem pemerintah republik seperti Indonesia atau cara Amerika. Namun, mungkin sudah tiba masanya kita berprinsip seperti bekas-bekas pemimpin mereka ini.

Apabila sudah tidak berkuasa, berikan ruang sepenuhnya kepada kepimpinan kemudian untuk menakhoda negara dengan cara dan gayanya yang tersendiri. Tiada salah untuk sesekali kita muncul dengan tujuan sekadar memperbetulkan dari jauh atau dari luar gelanggang.

Apabila kita masuk semula ke gelanggang, sudah pasti mereka yang sedang berada di dalam gelanggang menjadi cuak, kecoh dan kucar-kacir.

Pada pandangan saya, kesinambungan kepimpinan negara sejak merdeka sudah cantik halatujunya. Tunku Abdul Rahman membina asas negara dengan kemerdekaan tanahair. Manakala Tun Razak mengisi kemerdekaan dengan pembangunan negara. Tun Husein meneruskan kepimpinan dengan memastikan keharmonian Malaysia.

Dr. Mahathir memodenkan negara demi wawasan 2020nya. Tun Abdullah mengimbangi kemajuan negara antara bandar dan luar bandar serta rakyat yang mampu mempunyai mentaliti serta modal insan kelas pertama.

Selepas itu Najib membangunkan negara untuk sampai ke tahap negara maju seperti diimpikan dengan prasarana baru dan model baru ekonomi bagi mencapai matlamat Malaysia sebagai negara maju.

Namun begitu, selepas Malaysia berada di puncak menuju kejayaan sebenar dalam tempoh 60 tahun selepas merdeka, kelihatan kita mengundur semula ke belakang selepas PRU ke-14. Kini, destinasi baru kita kembali kelam dan masih kabur. Hendak ke mana? Masih belum pasti!

Apapun, secara peribadi, saya menganggap Pak Lah sudah berjiwa besar untuk menyerahkan kuasanya lebih awal, tanpa menunjukkan taringnya untuk terus berbalah.

Mungkin firasatnya ketika itu dapat merasakan natijah bangsa dan negara jika beliau masih berkeras untuk terus berkuasa. Segala natijah tersebut sudah terjelma hari ini.

Setiap manusia mempunyai kelebihan dan kelemahannya. Begitu juga semua pemimpin termasuk Pak Lah. Kisah mereça perlu dijadikan teladan kepada seluruh manusia terutama generasi terkemudian supaya kelebihan mereka dicontohi dan kesilapan mereka dijadikan pengajaran.

Selamat Hari Jadi Ke-81 Pak Lah! Jasamu sentiasa kukenang. Legasimu ku teruskan walaupun aku mungkin terlalu kerdil dan kecil dalam lipatan sejarahmu yang pernah menjadi pemimpin nombor satu negara.

  • Penulis adalah Pengerusi Eksekutif Institut Agro Usahawan (IGROW) dan Aktivis Ekonomi Sosial. Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Edisi 9.

Advertisements

Terkini

Jelajah Dunia Akhir BWF: Tang Jie-Ee Wei cipta sejarah

CHEN Tan Jie-Toh Ee Wei mencipta sejarah tersendiri apabila menjadi beregu campuran pertama negara beraksi di final Jelajah Dunia...

Lagi Artikel Berkaitan