28.5 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

Dr Noor Hisham sangkal laporan rawatan kesihatan Malaysia serba kekurangan

Mesti Baca


KUALA LUMPUR – Laporan jurnal saintifik, Nature yang menyifatkan penjagaan kesihatan negara sebagai ‘serba kekurangan’ adalah kenyataan yang tidak tepat dan tidak benar sama sekali.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, Malaysia telah mencapai perakuan Liputan Kesihatan Universal (UCH-universal health coverage) pada tahun 1990 menerusi peruntukan awam yang dibiayai cukai perkhidmatan rawatan kesihatan.

TANGKAP layar jurnal yang memetik laporan saintis yang mengaku dari Malaysia.

Beliau menegaskan, Malaysia menyediakan rawatan kesihatan yang disubsidi tinggi bagi semua penduduk menerusi rangkaian besar hospital dan kliniknya.

Menurutnya, pelbagai perkhidmatan menyeluruh diliputi, termasuk promosi kesihatan, pencegahan penyakit, perawatan dan rawatan pemulihan.


“Semua penduduk di Malaysia boleh mendapat akses kepada semua perkhidmatan ini dengan bayaran yang minimum, manakala perkhidmatan bagi penduduk yang memerlukan seperti yang miskin, kurang upaya dan warga emas, disediakan secara percuma.


“Ini mewujudkan jaringan keselamatan yang kukuh, memastikan bahawa tiada sesiapa yang dinafikan akses kepada rawatan kesihatan yang diperlukan, tanpa mengira keupayaan untuk membayarnya,” katanya menerusi hantaran Facebook beliau malam tadi.

Beliau mengulas satu artikel yang bertajuk ‘The scientist-gardener who is harnessing tobacco’s power to heal’, yang memetik kenyataan seorang pakar imunulogi molekul dari Malaysia yang berpangkalan di London, Audrey Teh, yang mendakwa Malaysia tidak mempunyai sistem rawatan kesihatan negara dan “banyak keluarga yang ‘dimufliskan’ oleh bil perubatan yang tinggi”.

Dr Noor Hisham berkata, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) juga terus memperakui bahawa Malaysia menyediakan perkhidmatan rawatan kesihatan yang berkualiti berdasarkan kepada sistem rawatan kesihatan yang baik, dan tenaga kerja yang cukup terlatih.

“Dengan perkhidmatan kesihatan awam yang disubsidi, kerajaan mengutip bayaran pengguna yang amat minimum.

“Dalam pelbagai aspek, peruntukan rawatan kesihatan awam, yang secara praktikalnya adalah percuma buat semua, dan dari satu sudut adalah menyamai dengan Perkhidmatan Kesihatan United Kingdom,” tambahnya.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata, banyak pihak telah tampil mempertahankan dakwaan tidak tepat oleh pakar imunulogi molekul yang mengaku berasal dari Malaysia itu.

“Tidak dapat dinafikan rakyat Malaysia bersatu menangkis dakwaan tidak benar mengenai sistem penjagaan kesihatan negara,” katanya.

Terkini

Bekas Ketua Polis Negara, Tun Hanif Omar meninggal dunia

BEKAS Ketua Polis Negara (KPN), Tun Mohammed Hanif Omar meningggal dunia di kediamannya di Shah Alam, Selangor pagi ini. Allahyarham...

Lagi Artikel Berkaitan