31.4 C
Kuala Lumpur
Wednesday, March 22, 2023

Maszlee umum tarik diri daripada Pejuang

Mesti Baca


Kuala Lumpur – Bekas Menteri Pendidikan, Dr.Maszlee Malik hari ini mengumumkan penarikan diri sebagai Ahli Jawatankuasa Penaja Penubuhan Parti Pejuang.

Ahli Parlimen Simpang Renggam itu berkata, keputusan itu dibuat kerana beliau ingin menumpahkan sepenuhnya usaha untuk membantu rakyat yang terkesan dengan Covid-19, khususnya di kawasan Parlimen tersebut dan seluruh negara.

‘’Keputusan ini dibuat berdasarkan dapatan fakta melalui kajian lapangan dan tinjauan terperinci terhadap aspirasi dan kehendak rakyat terbanyak. Saya yakin, rakyat sudah muak dengan politik percaturan kuasa oleh pihak politikus elitis.

‘’Rakyat mahukan ahli politik yang fokus berkhidmat dan benar-benar menyelesaikan masalah rakyat hadapi sekarang,’’ katanya dalam satu kenyataan melalui akaun Twitter beliau hari ini.

Dr.Maszlee berkata, beliau akan meneruskan usaha dalam gerakan perubahan pendidikan melalui kapasiti sebagai Ahli Parlimen Bebas dan melalui ruang aktivisme dan kerja-kerja kemanusiaan melalui rangkaian NGO serta rakan aktivis yang lain.

Baca juga:   Isu kos sara hidup antara tumpuan Dewan Rakyat hari ini

‘’Saya percaya perubahan tidak memerlukan kedudukan dan jawatan, tetapi keinginan dan kesempatan,’’ katanya sambil berharap rakyat akan terus berdoa agar pandemik Covid-19 segera reda.

Keputusan Dr.Maszlee itu menjadikan beliau bekas Ahli Parlimen Bersatu kedua yang membuat keputusan tidak meneruskan perjuangan bersama bekas Perdana Menteri Tun Dr.Mahathir Mohamad yang menubuhkan Parti Pejuang.

Sebelum ini Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman turut berbuat demikian apabila menubuhkan Parti Muda.

Baca juga:   Al Jazeera tiada lesen pengeluaran filem, surat perakuan penggambaran

Berikutan keputusan Dr.Maszlee, Parti Pejuang yang dipengerusikan oleh Dr.Mahathir memiliki hanya empat ahli Parlimen termasuk bekas Perdana Menteri itu.

Tiga lagi Ahli Parlimen Jerlun, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, Ahli Parlimen Sri Gading Datuk Shahruddin Salleh dan Ahli Parlimen Kubang Pasu, Datuk. Ir Amiruddin Hamzah.

Bagaimanapun pendaftaran Parti Pejuang masih belum diluluskan oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia kerana proses pendaftaran melalui sistem eROSES belum diselesaikan sepenuhnya.

Wartawan

Terkini

Pusat Sains perkenal ‘Tiket Rahmah’

PUSAT Sains Negara mengambil inisiatif memperkenalkan harga tiket masuk yang lebih murah dikenali sebagai 'Tiket Rahmah' bermula hari ini...

Lagi Artikel Berkaitan