24.9 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 27, 2024

Berikan juga ‘one off’ kepada pasukan keselamatan

Mesti Baca

Zulkiflee Bakar
Zulkiflee Bakar
Penulis Khas Edisi 9

CADANGAN Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) yang mahu bantuan one off yang diberikan kepada petugas barisan hadapan Kementerian Kesihatan diperluaskan kepada jabatan lain terutamanya polis, tentera dan bomba adalah tepat sekali dan harus disokong.

Sementara kita amat-amat menghargai pengorbanan barisan hadapan Kementerian Kesihatan yang bertungkus lumus siang dan malam memerangi wabak Covid-19, kita juga jangan lupa pengorbanan yang sama turut dilakukan oleh polis, tentera dan bomba.

Sebagai contohnya, penulis menyaksikan bagaimana tabahnya anggota polis dan tentera melaksanakan tugas mengadakan sekatan jalan raya.

Tanpa mengira siang atau malam, hujan atau panas, mereka gigih melunaskan amanah itu berikutan pelaksanaan PKPB yang melarang rentas daerah dan rentas negeri tanpa urusan.

Pengorbanan mereka amat besar, malah penulis melihat sendiri bagaimana komitednya anggota-anggota tersebut menjalankan tugas biarpun di tengah panas terik mentari mahupun hujan lebat.

Membaca berita seorang anggota polis cedera apabila khemah di sekatan jalan runtuh di Jalan Duta kerana angin kencang mengakibatkan beliau cedera di kepala, semalam menyentuh perasaan penulis. Malah ramai lagi anggota keselamatan sedang menghadapi cabaran seumpama itu demi tugas.

Sememangnya itu tugas mereka, tetapi kalaulah barisan hadapan Kementerian Kesihatan diberikan ‘one off’, tidak salah jika ia diperluaskan juga kepada polis, tentera dan bomba.

Pengalaman melalui beberapa sekatan jalan raya memberikan keinsafan kepada penulis betapa besarnya pengorbanan pasukan keselamatan berkenaan dalam usaha memerangi Covid-19.

Kalau di hospital dan pusat kuarantin, kakitangan Kementeri Kesihatan bersabung nyawa merawat pesakit-pesakit Covid, di jalan raya pula anggota keselamatan bertarung untuk memastikan pandemik itu tidak merebak dengan memastikan arahan tidak dibenarkan rentas daerah dan rentas negeri dipatuhi.

Advertisements

Walaupun berhadapan dengan pelbagai kerenah orang ramai atau pemandu, namun anggota keselamatan berkenaan tetap berhemah ketika menjalankan tugas mereka.

Begitu juga dengan pasukan keselamatan yang bertugas di sempadan bagi mengelakkan sempadan negara dibolosi sama ada oleh penyeludup mahupun pendatang tanpa izin, pengorbanan juga amat besar.

Justeru adalah wajar, jika pengorbanan mereka diberikan sedikit pengiktirafan dengan pemberian ‘one off’ RM300 kepada anggota-anggota berkenaan seperti mana dicadangkan oleh Cuepacs.

Seperti mana kata Presieden Cuepacs, Adnan Mat, ‘’ Seperti yang kita ketahui petugas barisan hadapan sehingga kini memainkan peranan yang cukup besar dalam menyekat penularan Covid-19, terutama daripada aspek sokongan keselamatan dan penguatkuasaan undang-undang.’’

Masihkah ingat ketika pelaksanaan PKP dahulu, kita menyanjung tinggi pengorbanan barisan hadapan yang turut dianggotai bukan sahaja kakitangan Kementerian Kesihatan tetapi juga polis, tentera, bomba dan Rela. Mereka inilah wira-wira negara yang sanggup berkorban nyawa bagi memerangi pandemik Covid-19.

Apabila PKPB dilaksanakan, pengorbanan mereka masih ditagih, oleh itu sewajarnya mereka dihargai dengan sedikit sumbangan seperti ‘one off’ tersebut.

Walaupun jumlah itu tidak setanding dengan pengorbanan besar yang mereka lakukan namun ia cukup untuk menaikkan semangat anggota-anggota keselamatan kita.

Justeru diharapkan kerajaan akan menerima cadangan Cuepacs berhubung perkara ini sebagai tanda terima kasih kita kepada pengorbanan yang dilakukan.

Advertisements

Terkini

Tugas banteras rasuah lebih mencabar, penjenayah makin licik

TUGAS membanteras kegiatan rasuah di negara ini semakin mencabar memandangkan jenayah tersebut bersifat unik, kata Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan...

Lagi Artikel Berkaitan