31 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

Pertahankan kerajaan PN, buktikan gencatan politik bukan sandiwara

Mesti Baca

Zulkiflee Bakar
Zulkiflee Bakar
Penulis Khas Edisi 9

RAMAI penganalisis politik begitu yakin bahawa gencatan politik oleh UMNO tidak akan bertahan lama.

Mereka merujuk hubungan parti itu dengan Bersatu yang tegang sejak kebelakangan ini, oleh itu bagi mereka gencatan tersebut bersifat sementara sekurang-kurangnya sehingga pandemik Covid-19 reda.

Sudah tentulah sasarannya ialah UMNO. Parti itu didakwa tidak akan duduk diam dan akan terus membuat tuntutan terhadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sehingga akhirnya menggugat Kerajaan Perikatan Nasional.

Analisis seumpama itu akan berterusan dan jika UMNO tidak berhati-hati mereka akan dituduh kemaruk kuasa dan kalau berlaku apa-apa kepada kerajaan sedia ada, bukan hanya seorang dua pemimpin akan disalahkan malah UMNO sendiri akan dipersalahkan.

Keadaan itu sudah tentulah tidak menguntungkan UMNO terutamanya dalam pilihan raya. Justeru pemimpin-pemimpin UMNO perlu benar-benar patuh dan menghormati gencatan diumumkan oleh Presiden parti, Datuk Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi Rabu lalu.

UMNO sudah menyatakan komitmen untuk mendukung Kerajaan Perikatan Nasional menangani pandemik Covid-19 yang ternyata memberi kesan buruk kepada kehidupan rakyat dan ekonomi negara.

Janganlah ada antara mereka yang tidak puas hati, janganlah ada antara mereka mahu bersandiwara dan jangan ada antara mereka mempunyai agenda tersembunyi demi kepentingan peribadi.

Pengumuman Ahmad Zahid adalah keputusan parti, kecualilah Ahli Parlimen Bagan Datuk itu sudah tidak lagi dihormati sebagai Presiden.

Gencatan politik itu juga adalah cabaran kepada pemimpin UMNO mahupun Bersatu untuk membuktikan mereka boleh mencapai kesepakatan dalam usaha memperkukuhkan kuasa politik orang Melayu.

UMNO sudah memberi komitmen untuk memperkasakan kerjasama dalam Perikatan Nasional bagi membolehkan kerajaan memberi tumpuan menangani pandemik Covid-19.

Memang benar dalam politik tidak ada musuh dan kawan yang kekal malah dalam politik juga segala-galanya boleh berubah dalam sekelip mata.

Kadang kala apabila membaca kenyataan sesetengah pemimpin Melayu, penulis hairan mereka begitu seronok serang menyerang antara satu sama lain walaupun berada dalam sebuah parti atau gabungan yang sama.

Tidakkah mereka perhatikan bagaimana pihak lain berpolitik? Mereka tidak seperti pemimpin Melayu. Mereka tahu batas-batasnya dan sanggup mengalah asalkan matlamat tercapai dan kuasa politik mereka dapat diperkukuhkan.

Tetapi orang Melayu tidak begitu, selagi ada ruang untuk melemahkan orang Melayu yang dianggap musuh mereka, biarpun bersetuju bekerjasama namun dendam politik tetap membara.

Mungkin inilah yang berlaku dalam hubungan UMNO dan Bersatu ketika ini. Sepatutnya apabila sudah bersetuju untuk bersama Muhyiddin menubuhkan Kerajaan Perikatan Nasional, apapun masalah diselesaikan secara berhemah bukannya membuka ruang untuk pihak musuh mengambil kesempatan.

Tindakan seumpama itu tidak akan menguntungkan sesiapa sama ada UMNO mahupun Bersatu, akhirnya yang ‘menang jadi arang, yang kalah jadi abu’, ‘menang sorak kampung tergadai’, dok bercakap soal ular lidi telan ular sawa tetapi tak sedar, helang menanti untuk menyambar.

Kalaulah UMNO dan Pas boleh mencapai kesepakatan melalui penyatuan dalam Muafakat Nasional selepas berpuluh-puluh tahun berbalah, tak kanlah UMNO dan Bersatu tidak boleh melakukan perkara yang sama. Apatah lagi Bersatupun ditubuh dan dianggotai oleh bekas pemimpin UMNO.

Kalaulah Tun Dr.Mahathir Mohamad boleh duduk semeja dengan PKR dan bersedia bersahabat dengan DAP semata-mata mahu menumbangkan Kerajaan Barisan Nasional, apa yang menghalang UMNO dan Bersatu untuk terus mempertahankan Kerajaan Perikatan Nasional?

Harus diingat walaupun Dr.Mahathir menjadi penyebab Kerajaan Pakatan Harapan tumbang apabila meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri tetapi sehingga ke hari ini, beliau masih lagi mempunyai hubungan baik dengan DAP dan Amanah, malah ada antara mereka yang mahukan bekas Perdana Menteri itu berbaik-baik semula dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Kenapa mereka memberi pandangan seumpama itu, walaupun ada yang melihat ia tidak mungkin berlaku? Sebabnya mereka mahu kembali berkuasa dan menjadi kerajaan.

Anehnya, dalam kalangan pemimpin UMNO ada yang masih belum berpuas hati biarpun sudah kalah dalam pilihan raya tetapi kembali berkuasa dan menjadi kerajaan. Ada sahaja isu yang dibangkitkan sehingga ia boleh menggugat kestabilan dalam Kerajaan Perikatan Nasional.

Bagaimanapun, sumber memberitahu penulis, ada pula satu lagi kelompok pemimpin UMNO yang tidak senang dengan sikap seumpama itu kerana ia akan melemahkan Kerajaan Perikatan Nasional, sekaligus membuka ruang kepada musuh politik mengambil kesempatan.

Hakikatnya, gencatan politik itu bukan berkisar soal boleh bertahan atau tidak, tetapi lebih daripada itu ia penanda aras sejauh manakah pemimpin-pemimpin Melayu boleh bersatu mempertahankan kuasa yang mereka miliki. Ingatlah, apapun berlaku ia atas kuasa Allah SWT.

Orang boleh berkata apa sahaja mengenai penubuhan Kerajaan Perikatan Nasional termasuklah menggunakan istilah ‘kerajaan tebuk atap’, ‘Langkah Sheraton’ dan pengkhianatan, tetapi jangan lupa sejauh manapun perancangan manusia, sehebat manapun strategi diatur tetapi akhirnya Allah SWT yang menentukan segala-galanya.

Oleh itu anggaplah penyatuan tiga parti Melayu terbesar dalam Kerajaan Perikatan Nasional adalah rahmat Allah SWT, janganlah sampai dianggap menolak rahmat-Nya apabila melakukan tindakan politik yang boleh meruntuhkan kerajaan tersebut.

Percayalah, kalau sekali lagi kuasa politik parti Melayu dilemahkan, mereka tidak akan mampu bangkit kembali.

Rasulullah SAW bersabda;

“Sesungguhnya binasa umat terdahulu daripada kamu atas perbuatan mereka yang banyak mempersoal serta bertelagah dengan pemimpin mereka.” (Hadis Riwayat Muslim).

Terkini

Bekas Ketua Polis Negara, Tun Hanif Omar meninggal dunia

BEKAS Ketua Polis Negara (KPN), Tun Mohammed Hanif Omar meningggal dunia di kediamannya di Shah Alam, Selangor pagi ini. Allahyarham...

Lagi Artikel Berkaitan