30.1 C
Kuala Lumpur
Thursday, April 25, 2024

Cubaan PATI seludup 3.98 juta batang rokok putih gagal

Mesti Baca

KOTA KINABALU –  Helah enam pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Filipina menggunakan bot nelayan tempatan untuk menyeludup masuk 3.98 juta batang rokok putih berjaya dipatahkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Sandakan, semalam.

Pengarah Zon Maritim Sandakan, Kapten Maritim Zainudin Mohd Zuki berkata, kejadian berlaku di posisi 6.1 batu nautika timur laut Tanjung Casuarina, Pulau Tetabuan kira-kira pukul 2 petang semalam.

Katanya, bot Maritim Malaysia yang sedang melakukan rondaan Op Benteng di perairan Pulau Tetabuan telah terserempak sebuah bot nelayan tempatan dalam keadaan mencurigakan sebelum menahan bot itu untuk diperiksa.

Antara rokok putih yang dirampas pihak Maritim Malaysia di perairan Sabah. – Foto Maritim Malaysia

“Hasil pemeriksaan telah menemui lebih kurang 398 kotak berisi 19,900 karton rokok putih disyaki cuba diseludup masuk dengan anggaran nilai tanpa cukai RM1.99 juta, manakala nilai cukai pula dianggarkan RM 2.82 juta.

“Enam kru termasuk tekong berumur antara 20 hingga 54 tahun disyaki warga Filipina telah ditahan kerana gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah serta lesen bot yang telah tamat tempoh,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Zainudin berkata, nilai keseluruhan rampasan rokok putih beserta cukai termasuk bot dianggarkan berjumlah RM4.86 juta.

Advertisements

Menurutnya, bot serta kru dibawa masuk ke Jeti ZM Sandakan untuk diserahkan kepada Pegawai Penyiasat untuk siasatan lanjut. Kes akan disiasat di bawah Akta Kastam 1967, Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Perikanan 1985.

Jelas beliau lagi, saringan Covid-19 mendapati seorang PATI positif dan telah dimasukkan ke hospital sementara lima lagi adalah negatif, mereka telah diasingkan dan dikuarantin di lokap.

Hasil pemeriksaan telah menemui lebih kurang 398 kotak berisi 19,900 karton rokok putih. – Foto MARITIM MALAYSIA

“Maritim Sandakan akan terus meningkatkan kawalan di persempadanan perairan negara terutamanya dalam memerangi penularan Covid-19 ke Sabah di samping berusaha menyekat aktiviti penyeludupan, pencerobohan dan lain-lain jenayah maritim.

“Sebarang laporan, aduan dan kecemasan di laut boleh terus menghubungi Maritim Malaysia di talian 24 jam iaitu MERS 999 dan Pusat Operasi Zon Maritim Sandakan di talian 089-229504,” katanya lagi.

Beliau menambah, orang ramai juga boleh menyalurkan maklumat berkaitan Pendatang Asing Tanpa Izin di talian hotline National Task Force (NTF) 011-62511223. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Bantuan awal kepada waris mangsa nahas helikopter TLDM

KERAJAAN bersetuju menyalurkan bantuan awal sebanyak RM10,000 kepada setiap keluarga mangsa nahas dua helikopter milik Tentera Laut Diraja Malaysia...

Lagi Artikel Berkaitan