23.7 C
Kuala Lumpur
Tuesday, September 28, 2021

GT Lim Pengarah Urusan baharu 3M Malaysia

Mesti Baca

KUALA LUMPUR – Syarikat sains bertaraf global, 3M mengumumkan pelantikan veteran industri, GT Lim sebagai Pengarah Urusan baharu firma itu di Malaysia, baru-baru ini.

3M menerusi satu kenyataan berkata, selain itu, Lim juga akan menggalas peranan tambahan syarikat sebagai Ketua Operasi Jualan Rantau Asia Tenggara yang bertanggungjawab dalam pelaksanaan jualan dan strategi pengoperasian yang efektif di rantau ini.  

Katanya, Lim akan menjadi sebahagian daripada pasukan kepimpinan Asia Tenggara yang akan menjalankan tugas secara rapat dengan rakan-rakan sejawatnya di seluruh rantau ini dalam menjayakan transformasi perniagaan, memangkin pertumbuhan dan mengecapi tahap operasi yang lebih efisien.  

“Sebagai Pengarah Urusan, Lim juga akan bertanggungjawab untuk menjaga reputasi jenama 3M serta pengurusan hubungan dengan pihak-pihak luar yang berkepentingan di Malaysia. 

“Beliau juga akan memupuk pembangunan bakat-bakat baharu dan penglibatan kakitangan serta mengambil bahagian secara aktif dalam acara komuniti selain berusaha mewujudkan peluang kolaborasi dengan pelbagai kumpulan perniagaan dan perusahaan dalam menyebarluas pengaruh 3M di rantau ini.

“Sebagai Ketua Operasi Jualan Rantau Asia Tenggara, Lim juga akan mengetuai bahagian Jualan Virtual Rantau Asia Tenggara (IS), Pengurusan Data Muka Pelanggan (CFDM), Pengurusan Hubungan Pelanggan (CRM), Titik Jualan (POS), Pelan Insentif Jualan (SIP), Sokongan Aplikasi Produk (PAS) dan Sokongan Jualan (SS),” kata kenyataan itu.

Sebelum pelantikannya sebagai Pengarah Urusan, Lim telah menjawat peranan sebagai Pengurus Besar bagi Kumpulan Perniagaan Pengangkutan dan Elektronik di 3M Malaysia Sdn. Bhd.  

Baca juga:   Cisco tawar pakej teknologi khas untuk PKS
Baca juga:   Ibu tunggal mengaku bersalah aniaya 3 anak kandung

Lim ketika ditemui berkata, beliau sudah bersedia dan berasa teruja untuk menyahut cabaran baharu menerajui serta mentransformasikan kedudukan 3M di Malaysia. 

“Ini merupakan satu peluang yang benar-benar mengujakan saya kerana diberi keupayaan untuk memanfaatkan kepakaran 3M dalam teknologi dan sains untuk menjana perubahan yang bermakna di negara ini. 

“Saya berhasrat untuk menggalas tanggungjawab ini bersama barisan peneraju serantau dan tempatan untuk membekalkan pencapaian yang konsisten, sepertimana yang dikecapi oleh kami (3M) selama ini,” kata Lim lagi.

Lim telah bersama 3M Malaysia sejak lebih dari dua dekad  dan telah menjawat beberapa peranan yang penting di dalam syarikat itu sebelum mengetuai pertumbuhan organisasi itu di Malaysia.

Lulusan Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Kimia dari Universiti Sains Malaysia serta Sarjana Kejuruteraan Alam Sekitar dari Universiti Teknologi Malaysia itu memulakan kerjaya beliau bersama 3M pada tahun 1997.

Beliai telah menjadi individu yang penting bagi beberapa kategori perniagaan dan fungsi yang melibatkan Divisyen Keselamatan Peribadi, Ketua Teknikal, ‘Lean Six Sigma Master Black Belt’ dan Pengurus Besar bagi Kumpulan Perniagaan Keselamatan dan Grafik.

Ini sekali gus menunjukkan aras pemahaman beliau dari sudut teknikal serta etika kerja cemerlang yang berjaya melonjakkan Lim sebagai Pengarah Urusan bagi 3M.  

 Lim juga merupakan salah seorang pengasas Malaysian Industrial Hygiene Association (MIHA), sebuah organisasi bukan bermotifkan keuntungan yang menawarkan pendidikan, latihan dan forum perkongsian idea serta informasi selain mewakili kepentingan pihak ‘Industrial Hygienist’ di negara ini.

Baca juga:   RichWorks International hulur sumbangan Aidilfitri
Baca juga:   Budaya inovasi rangsang pemulihan ekonomi di Malaysia

Menurut 3M, Lim akan terus berpangkalan di Malaysia dan akan menjalankan tugas secara rapat dengan Kevin McGuigan, Pengarah Urusan Asia Tenggara menerusi peranannya sebagai Pengarah Urusan 3M Malaysia.  – Edisi 9

Terkini

Langgar peraturan: Polis siasat kenderaan timbalan menteri

CYBERJAYA - Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Kelantan menyiasat sebuah kenderaan dipercayai milik seorang timbalan menteri kerana memotong di...

Lagi Artikel Berkaitan