31.1 C
Kuala Lumpur
Friday, April 19, 2024

KP Jakim meninggal dunia

Mesti Baca

KUALA LUMPUR – Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Datuk Paimuzi Yahya meninggal dunia akibat komplikasi jantung dan paru-paru di Hospital Sungai Buloh, kira-kira pukul 1 tengah hari, hari ini.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jakim, Datuk Abdul Aziz Jusoh mengesahkan perkara itu dan memaklumkan berita itu diterima daripada seorang pegawai khas Allahyarham sebentar tadi.

Beliau berkata, jenazah akan dibawa pulang ke rumahnya di Kuang untuk urusan pengebumian.

“Ya, itu berita yang saya terima daripada pegawai khasnya. Kita doakan arwah ditempatkan bersama orang beriman.

“Seluruh warga Jakim merasa kehilangan dengan pemergian Allahyarham. Mohon sedekahkan doa,” katanya yang dipetik Harian Metro.

Abdul Aziz berkata, beliau tidak dapat menziarahi jenazah kerana masih dikuarantin.

Semalam, Unit Komunikasi Korporat Jakim dalam satu kenyataan berkata, Allahyarham meninggal bukan disebabkan Covid-19.

Menurut kenyataan itu, Paimuzi menjalani pemeriksaan saringan Covid-19 Selasa lalu di Hospital Sungai Buloh dan keputusan didapati negatif.

“Memandangkan faktor sejarah kesihatan beliau yang kurang memuaskan, maka pihak hospital mencadangkan supaya beliau ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU) bagi mendapatkan rawatan susulan,” katanya kenyataan itu dipetik.

Dilahirkan di Terengganu pada tahun 1961, Allahyarham berkelulusan Ijazah Sarjana Muda (1985) dan Ijazah Sarjana (1995) dalam bidang Syariah dari Universiti Malaya.

Beliau mula menyertai perkhidmatan awam pada tahun 1986 dengan memulakan tugas sebagai Penolong Pengarah Pusat Penyelidikan Islam Bahagian Hal Ehwal Islam, Jabatan Perdana Menteri.

Sebagai pegawai yang berpengalaman dalam perkhidmatan awam, Allahyarham memegang beberapa portfolio penting antaranya pengarah di beberapa bahagian di Jakim iaitu Pengarah Jakim Sabah pada tahun 2005, Pengarah Institut Latihan Islam Malaysia tahun 2008, Pengarah Darul Quran tahun 2010 dan Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) tahun 2013.

Pada 5 Oktober 2016, beliau dilantik sebagai Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan Insan) Jakim dan pada 1 Mei 2017, beliau dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan manakala Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jakim pada 1 April 2018.

Ketika menjadi Pengarah Jawi, beliau juga pernah mengambil tindakan ke atas dua kes besar iaitu Ustaz Kasanova dan ajaran sesat Millah Abraham, kira-kira enam tahun lalu.

Terkini

Pengawal keselamatan dituduh bunuh anak berusia 6 bulan

SEORANG pengawal keselamatan yang sebelum ini disyaki mendera bayinya, dihadapkan ke Mahkamah Majistret Bandar Baru Bangi hari ini atas...

Lagi Artikel Berkaitan