25.6 C
Kuala Lumpur
Thursday, March 28, 2024

Hajiji disahkan positif Covid-19

Mesti Baca


KUALA LUMPUR – Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Mohd Noor disahkan positif Covid-19 dan menjalani kuarantin wajib di Hospital Queen Elizabeth (QEH) Kota Kinabalu.

Setiausaha Perhubungan Awam kepada Ketua Menteri, Effendi Mohamed Sunoh yang dipetik Astro Awani berkata, semasa dalam kuarantin kendiri , Ketua Menteri menjalani ujian Covid-19 sekali lagi.

“Hasil ujian terbaru mengesahkan beliau didapati positif.Hajiji kini menjalani rawatan di QEH bagi rawatan lanjut dan kesihatannya baik serta stabil.

“Walaupun sedang menjalani rawatan, Hajiji masih menjalankan tugas dan tanggungjawabnya di tempat rawatan, menerusi panggilan telefon dan sidang video selain pentadbiran kerajaan negeri berfungsi seperti biasa,” katanya dalam satu kenyataan malam tadi.

Semalam, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Safar Untong dalam satu kenyataan memaklumkan Hajiji menjalani kuarantin kendiri selama dua minggu.


Kata Safar, langkah itu dibuat secara sukarela oleh Hajiji setelah beliau terdedah kepada individu positif Covid-19.


Safar turut memaklumkan kerajaan negeri berfungsi seperti biasa dan sebarang mesyuarat akan dilakukan melalui sidang video.


Dalam perkembangan berkaitan, Hajiji menerusi satu kenyataan malam tadi berkata, kerajaan negeri Sabah akan menyalurkan bantuan makanan bernilai RM2 juta untuk setiap daerah yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

PKPB berkuat kuasa Rabu (7 Okt) di Kota Kinabalu, Penampang, Putatan, Sandakan, Papar dan Tuaran di Sabah. -Foto Bernama


Sebanyak enam daerah di Sabah dikenakan PKPB iaitu Kota Kinabalu, Penampang, Putatan, Sandakan, Papar dan Tuaran selepas kesemua kawasan itu diumumkan sebagai zon merah Covid-19 oleh Kementerian Kesihatan.

Menurutnya, penyaluran bantuan itu adalah melalui Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) di setiap daerah dan agihan bantuan makanan akan dibantu Polis Diraja Malaysia, RELA, Jabatan Kesihatan Sabah dan Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am Sabah.


“Kerajaan Negeri sedar bahawa pelaksanaan PKPB di enam daerah yang diisytiharkan sebagai kawasan zon merah memberi kesan besar dan menjejaskan kehidupan penduduk di kawasan terlibat,” katanya.


Sementara itu, Hajiji memberitahu, kerajaan negeri bersetuju supaya semua operasi dan aktiviti bartertrade di Sabah ditangguh bermula Isnin 12 Oktober sebagai langkah membendung penularan Covid-19.


“Rakyat negeri Sabah diingatkan agar sentiasa mematuhi arahan dan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh kerajaan dan dinasihatkan untuk memainkan peranan masing-masing dalam memerangi pandemik Covid-19 dengan penuh tanggungjawab,” katanya.

Terkini

China minta lebih banyak ruang kerjasama diwujudkan – Zahid

CHINA meminta agar lebih banyak ruang kerjasama diwujudkan antara kedua negara, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid...

Lagi Artikel Berkaitan