26.7 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

Covid-19: PM minta rakyat bertenang, PATI jadi punca

Mesti Baca

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyeru rakyat supaya bertenang dalam menghadapi situasi penularan Covid-19 pada masa ini.

Muhyiddin menjelaskan, beliau memahami kebimbangan masyarakat berikutan peningkatan kes-kes baharu penularan jangkitan Covid-19 selepas mencatatkan kes melebihi tiga angka minggu ini.

“Pembentangan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menunjukkan jumlah kes jangkitan Covid-19 dari Sabah sehingga 2 Oktober 2020 ialah 139 orang iaitu 1.18 peratus daripada jumlah keseluruhan kes jangkitan Covid-19 di dalam Negara.

“Situasi pada masa ini adalah terkawal dan masih dapat dibendung hasil kerjasama pelbagai agensi dan aktiviti pemantauan kesihatan awam yang berterusan oleh KKM,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) berhubung pengurusan wabak Covid-19.

MUHYIDDIN YASSIN mempengerusikan mesyuarat khas Kabinet hari ini. – Foto FB Muhyiddin Yassin

Muhyiddin berkata, untuk makluman, kebanyakan kes yang berlaku adalah dalam kalangan tahanan di dalam penjara, kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Bersasar (PKPDB) dan dari kluster-kluster yang telah pun dikenal pasti dan terkawal.

Ujarnya, kesemua kawasan ini dipantau setiap masa dan aktiviti pengesanan kes serta kontak rapat dijalankan secara aktif bagi memastikan kes-kes positif dapat dikesan dan diasingkan.

“Hal ini menyebabkan lebih banyak kes positif Covid-19 dapat dikesan dan menyumbang kepada statistik harian di dalam negara.

“Saya amat berharap perkara ini dapat difahami dan saya ingin tekankan di sini bahawa keadaan adalah terkawal dan sedang diuruskan dengan baik oleh agensi-agensi kerajaan yang terlibat,” katanya.

Sementara itu, Muhyiddin memberitahu, mesyuarat pada hari ini dimaklumkan kes penularan Covid-19 di negeri Sabah didapati berpunca daripada kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) dari negara jiran.

Sehubungan itu katanya, kerajaan telah membuat keputusan semua PATI yang ditahan disaring dan ditempatkan di Pusat-Pusat Tahanan dan Kuarantin Sementara (PTS) yang disediakan kerana pada masa ini, PTS di Sabah telah melebihi kapasiti.

“Sehubungan itu, kerajaan akan membuka lebih banyak PTS baharu bagi menempatkan PATI yang ditahan sebelum proses pengusiran dilaksanakan selain menambah petugas KKM untuk menjalankan proses saringan ke atas PATI yang ditahan.

“Anggota keselamatan negara juga akan ditambah untuk mengawal sempadan negara bagi mengekang kemasukan PATI khususnya di negeri Sabah. Aset-aset akan diatur gerak untuk menghalang cubaan membolosi sempadan negara,” katanya.

Muhyiddin selain itu juga ingin memberi jaminan bahawa tahap kesiapsiagaan Negara adalah pada tahap yang tertinggi dan mampu menghadapi penularan jangkitan Covid-19 seperti yang kita telah lalui sebelum ini.

“Kita mempunyai 40 buah hospital dan 34 Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah untuk merawat kes positif Covid-19 dengan kapasiti 5,674 buah katil. Kadar penggunaan katil di hospital-hospital Covid-19 pada masa ini ialah 24 peratus sahaja,” katanya.

Beliau menambah, selain itu, fasiliti kesihatan juga kini mempunyai 437 buah katil ICU dan 1,505 alat bantu pernafasan (ventilator). – Edisi 9

Terkini

GiatMARA Bagan Datuk dinaik taraf jadi Institut Malaysia-China

PUSAT GiatMARA Bagan Datuk, Perak bakal dinaikkan taraf sebagai Institut Malaysia-China (MCI) yang akan memberi fokus dalam TVET bidang...

Lagi Artikel Berkaitan