24.9 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 27, 2024

Calon TPM : Tok Mat, Ismail Sabri, Hishammuddin – siapa layak?

Mesti Baca


KUALA LUMPUR – Laporan Sin Chew Daily yang mendakwa Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin sedang menunggu UMNO mencalonkan pemimpin parti itu untuk dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri mula menimbulkan spekulasi siapa yang paling layak menduduki jawatan berkenaan.

Jika berdasarkan kepada laporan akhbar tersebut, Muhyiddin didakwa bersedia melantik seorang wakil UMNO ke jawatan berkenaan dan terserah kepada parti terbabit, tetapi tidak dapat menerima Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi sebagai timbalannya kerana Ahli Parlimen Bagan Datuk itu masih dibicarakan di mahkamah.

Mohamad Hasan

“Tan Sri (Muhyiddin) boleh terima Timbalan Presiden UMNO, Mohamad Hasan; Naib Presiden UMNO Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob atau Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang kini tiada sebarang jawatan dalam parti. Sekarang (Muhyiddin) cuma menunggu cadangan UMNO, tapi jika mereka bertegas mahukan Zahid, maaflah,” kata sumber kepada akhabar tersebutnya.

Mungkin ‘syarat’ yang ditetapkan oleh Muhyiddin kalau betul seperti mana dilaporkan oleh media itu tidak akan memuaskan hati UMNO khususnya Ahmad Zahid dan penyokong-penyokongnya, tetapi tindakan Muhyiddin itu adalah betul bagi mengelakkan kontroversi lebih besar memandangkan Presiden UMNO itu masih ada kes di mahkamah.

‘’Ini bukan soal hieraki atau Ahmad Zahid sudah bersalah…sama ada beliau bersalah atau tidak, biar mahkamah tentukan. Kalau Ahmad Zahid tidak ada kes, Muhyiddin tidak akan keberatan, tak molek kalau seorang Timbalan Perdana Menteri terpaksa berulang alik ke mahkamah kerana ia sudah tentu jejaskan tugas beliau sebagai pemimpin nombor dua negara,’’ kata satu sumber kepada penulis ketika dihubungi.

Ismail Sabri Yaakob

Justeru berdasarkan keadaan itu, Ahmad Zahid mempunyai dua pilihan, sama ada memberi laluan kepada orang lain untuk menduduki jawatan Timbalan Perdana Menteri atau membiarkan sahaja jawatan itu kosong biarpun itu salah satu tuntutan daripada UMNO.

Dengan mengambil kira, Ahmad Zahid tidak sesuai untuk memegang jawatan itu sehinggalah kes beliau selesai di mahkamah, tumpuan diberikan Mohamad Hassan, Naib Presiden UMNO, Ismail Sabri dan Bendahari Barisan Nasional (BN), Hishammuddin.

Jika UMNO mahu berpegang kepada hireaki dalam pelantikan bagi jawatan Kabinet, sudah tentulah Mohamad Hasan layak, namun bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu sebelum ini pernah menolak pelantikan bagi menerajui sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Bagaimanapun dalam kalangan rakyat, mereka melihat Mohamad paling layak kerana ketokohan beliau, biarpun Ahli Dewan Undangan Negeri Rantau itu didakwa tidak mempunyai sokongan kuat di peringkat akar umbi, ia boleh dipersoalkan memandangkan beliau berjaya menduduki jawatan Timbalan Presiden dengan sokongan golongan itu.

Soalnya yang tidak mahu Mohamad, akar umbi atau pemimpin-pemimpin UMNO yang bimbang persaingan dalam pemilihan UMNO tahun depan?

Jika UMNO mahu melihat kedudukan dari segi Kabinet pula, sudah tentulah Ismail Sabri paling layak kerana beliau kini adalah Menteri Kanan Pertahanan.

Advertisements

Malah difahamkan Ahli Parlimen Bera itu dikatakan individu paling lantang menentang sebarang usaha untuk mengadakan kerjasama dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perwatakan Ismail Sabri yang tenang setiap kali muncul pada sidang media bagi memaklumkan perkembangan Covid-19 dari segi keselamatan dan ketenteraman awam juga dikatakan menarik perhatian rakyat. Malah penulis diberitahu Ismail Sabri antara pemimpin popular dalam kalangan rakyat.

Hishammuddin Tun Hussein

Bagaimanapun jika UMNO mahu mengambil jalan tengah, Hishammuddin boleh dijadikan pilihan. Ahli Parlimen Sembrong itu tidak ada kontroversi. Biarpun tiada jawatan dalam UMNO, beliau juga ada kemampuan untuk menjadi Timbalan Perdana Menteri.

Apapun ketiga-tiga orang itu layak dipertimbangkan kerana mereka tidak mempunyai sebarang kes di mahkamah.

‘’Muhyiddin harus mengelak daripada memilih pemimpin yang masih ada kes mahkamah. Bukan soal pemimpin itu bersalah atau tidak, tetapi kita bimbang akan menjadi modal kepada pembangkang untuk menyerang Kerajaan Perikatan Nasional,’’ kata seorang pemerhati politik.

Bagaimanapun jika Ahmad Zahid dan UMNO tidak mahu sebarang pergolakan berlaku dalam parti itu akibat ‘perebutan’ jawatan Timbalan Perdana Menteri, UMNO boleh sahaja tidak mencalonkan sesiapa dan terus bersama Kerajaan Perikatan Nasional sehingga PRU-15, sebelum memutuskan tindakan selanjut.

Selain jawatan Timbalan Perdana Menteri, menurut laporan Sin Chew lagi, satu sumber daripada UMNO mendakwa parti berkenaan diminta membentuk sebuah jawatankuasa rundingan bagi membincangkan terma baru kerjasama mereka dengan Bersatu, termasuk pelantikan timbalan perdana menteri dan jawatan lain.

Jika Muhyiddin gagal memuaskan hati UMNO, kata sumber-sumber, mereka akan mendesak agar pilihan raya umum (PRU) diadakan sebaik saja ancaman Covid-19 berkurangan.

Kata sumber itu pertemuan Majlis Tertinggi Umno semalam turut membincangkan kemungkinan menyegerakan PRU.

“Tapi ini bergantung kepada langkah lanjut Muhyiddin, termasuk jika dia mengemukakan tawaran baru kepada UMNO seperti pelantikan Timbalan Perdana Menteri, usaha menangani Covid-19 dan memulihkan ekonomi,” kata sumber yang hadir dalam pertemuan semalam. – ZULKIFLEE BAKAR

Advertisements

Terkini

Tugas banteras rasuah lebih mencabar, penjenayah makin licik

TUGAS membanteras kegiatan rasuah di negara ini semakin mencabar memandangkan jenayah tersebut bersifat unik, kata Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan...

Lagi Artikel Berkaitan