25.9 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 27, 2024

Malaysia kecam sekeras-kerasnya ucapan membenci dan memfitnah Islam

Mesti Baca


KUALA LUMPUR – Malaysia mengecam sekeras-kerasnya tindakan retorik dan provokatif yang memfitnah agama Islam berikutan ucapan populis oleh Presiden  Perancis, Emmanuel Macron serta penerbitan karikatur yang menggambarkan Nabi Muhammad SAW.

Menteri Luar Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, Malaysia amat memandang serius dan mengambil berat permusuhan terbuka terhadap umat Islam sebagaimana yang dapat disaksikan dunia baru-baru ini.

HISHAMUDDIN HUSSEIN

Menurutnya, Malaysia menjunjung hak kebebasan bersuara serta hak asasi manusia selagi mana ia digunakan secara bertanggungjawab dan penuh hormat, sekali gus tidak menafikan serta melanggar hak pihak lain.

” Dalam konteks ini, mencemarkan serta mengecam Nabi Muhammad yang dianggap paling mulia dalam Islam dan mengaitkan Islam dengan keganasan telah melangkaui batas hak tersebut.

“Tindakan tersebut bersifat provokatif dan tidak menghormati agama Islam serta lebih daripada dua bilion umat Islam di seluruh dunia,” katanya dalam satu kenyataan, malam tadi.

Advertisements

Hishammuddin berkata demikian susulan tindak balas dan kemarahan dunia Islam terhadap kenyataan terbuka Macron mengenai hak untuk menyiarkan karikatur Nabi Muhammad yang dianggap sebagai menghina Islam.


Macron membuat kenyataan itu minggu lalu sebagai reaksi kepada pembunuhan seorang guru, Samuel Paty, di luar sekolahnya di pinggir bandar Paris awal bulan ini, selepas beliau menunjukkan karikatur Nabi Muhammad dalam kelas semasa mengajar topik mengenai kebebasan bersuara.

Guru itu menjadi sasaran kempen kebencian dalam talian berhubung pemilihan bahan pengajaran iaitu gambar sama yang mencetuskan serangan berdarah oleh lelaki bersenjata di pejabat majalah satira Charlie Hebdo pada 2015.

Hishammuddin berkata, sebagai negara Islam yang demokratik dan sederhana dengan masyarakat berbilang etnik serta agama, Malaysia akan terus memperjuangkan dan mengekalkan hubungan damai serta harmoni bukan sahaja sesama rakyat tetapi juga dalam konteks masyarakat global yang majmuk.

“Malaysia akan terus bekerjasama dengan komuniti antarabangsa demi meningkatkan amalan saling menghormati antara setiap agama serta mencegah ekstremisme agama di semua peringkat,” katanya.

Advertisements

Terkini

Tugas banteras rasuah lebih mencabar, penjenayah makin licik

TUGAS membanteras kegiatan rasuah di negara ini semakin mencabar memandangkan jenayah tersebut bersifat unik, kata Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan...

Lagi Artikel Berkaitan