27.8 C
Kuala Lumpur
Saturday, February 15, 2025

Portal bahasa Mandarin wujud sejak 2015 – SPRM

Mesti Baca

KUALA LUMPUR – Versi bahasa Mandarin dalam portal rasmi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bukan baru diwujudkan, tetapi diaktifkan semula dengan beberapa pembaharuan serta penambahbaikan.

Memetik Bernama, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM Shamshun Baharin Mohd Jamil menjelaskan bahawa, versi berkenaan wujud sejak 2015 dan ditutup sementara pada 2018, sebelum diaktifkan semula dengan penambahbaikan baru-baru ini.

“Versi bahasa Mandarin sebelum ini tidak dikemas kini dan ditutup pada 2018.

“Sekarang kami aktifkan semua sebab ada pegawai yang boleh mengendalikannya… mungkin versi bahasa Tamil akan dibuat juga jika ada peruntukan yang cukup,” katanya berhubung reaksi pelbagai pihak mengenai versi bahasa Mandarin di portal SPRM itu, semalam.

Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) menerusi ketua Pemudanya Nasrul Ali Hassan Abdul Latif semalam menghantar surat kepada SPRM bagi membantah penggunaan bahasa Mandarin dalam portal rasmi suruhanjaya itu.

Dalam pada itu, Shamshun Baharin menegaskan SPRM meletakkan bahasa Melayu sebagai bahasa utama dalam portal rasminya walaupun terdapat bahasa lain sebagai pilihan.

Beliau juga menegaskan SPRM tidak pernah membelakangkan Perkara 152 perlembagaan persekutuan iaitu kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan sentiasa mematuhi Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67.

“Tidak timbul isu tidak mematuhi Perkara 152 perlembagaan persekutuan kerana versi bahasa Melayu masih diguna pakai sebagai bahasa utama di portal rasmi SPRM,” katanya.

Advertisements

Shamsun Baharin berkata, kepelbagaian bahasa yang digunakan adalah bertujuan untuk memastikan matlamat menyebarluaskan mesej antirasuah serta memberi kefahaman tentang kepentingan pencegahan rasuah tercapai.

Menurutnya, risalah pencegahan rasuah juga dibuat dalam empat bahasa iaitu Melayu, Mandarin, Inggeris dan Tamil khusus untuk memberi pemahaman yang lebih kepada masyarakat.

“Selagi kami meletakkan bahasa Melayu sebagai bahasa utama dan lain-lain bahasa sebagai pilihan, ia tidak menjadi kesalahan,” katanya.

Sementara itu, bekas ketua pesuruhjaya SPRM Latheefa Koya berkata, tidak menjadi kesalahan sekiranya SPRM menawarkan kemudahan bahasa Mandarin di portal rasmi suruhanjaya itu dengan tujuan memberi pemahaman yang lebih jelas tentang isu rasuah.

Menurut peguam hak asasi manusia itu, sistem keadilan di negara ini, sama ada di mahkamah, balai polis atau penjara juga menawarkan kemudahan penterjemahan dalam bahasa lain, selain bahasa kebangsaan.

“Kesedaran tentang gejala rasuah adalah sangat penting untuk difahami oleh semua lapisan masyarakat dan tidak boleh dihentikan,” kata Latheefa, serta menambah bahawa isu memartabat bahasa Melayu tidak wajar dicampuradukkan dengan isu penggunaan bahasa lain untuk kemudahan pemahaman.

SPRM baru-baru ini memaklumkan portal dalam bahasa Mandarin diaktifkan semula bagi memenuhi keperluan masyarakat Cina mendapatkan maklumat tentang pencegahan rasuah dan perkara berkaitan suruhanjaya tersebut.

Advertisements

Terkini

Tiga langkah Malaysia pastikan ASEAN kekal bersaing

MALAYSIA selaku Pengerusi ASEAN tahun 2025 perlu melaksanakan tiga langkah utama jika mahu memastikan rantau ini terus kekal bersaing. Pensyarah...

Lagi Artikel Berkaitan