LANGKAWI- Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) berjaya mematahkan penyeludupan dadah antarabangsa yang menggunakan taktik mencampakkan dadah ke laut sebelum dikutip bot lain.
Dalam operasi ‘Ops Eagle Eye’ Isnin lalu,
Maritim Negeri Kedah dan Perlis (MNKP) merampas 537 ketulan ganja mampat bernilai RM1.6 juta selepas ia ditemui terapung di laut berhampiran Pulau Chorong di sini.
Bagaimanapun, tiada tangkapan dibuat dalam operasi itu.
Pengarah MNKP, Laksamana Pertama Maritim Mohd Zawawi Abdullah berkata, dadah itu dipercayai cuba diseludup dari negara jiran ke Pulau Pinang sebelum dicampak ke laut oleh penyeludup.

Ganja itu kemudiannya ditemui sekumpulan nelayan pada pukul 9.30 pagi.
“Bertindak atas maklumat yang disalurkan Sahabat Maritim, sepasukan anggota yang melaksanakan ‘Ops Eagle Eye’ digerakkan ke lokasi dan menemukan dadah terbabit terapung kira-kira 6.7 batu nautika di Tenggara Pulau Chorong.
“Ketulan ganja mampat dengan anggaran berat sekilogram setiap satu itu, diikat berbentuk kotak dan 12 daripadanya dibalut kemas dengan plastik hitam, manakala dua plastik putih,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Mohd Zawawi memberitahu, rampasan ganja itu adalah yang terbesar dibuat Maritim Malaysia di perairan Langkawi dalam tempoh lapan bulan pertama tahun ini.
“Siasatan mendapati sindiket pengedaran dadah kini beralih menggunakan jalan laut sebagai modus operandi memadangkan pintu sempadan jalan darat belum dibuka akibat pendemik Covid-19,”katanya.
Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 39(B) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Sementara itu, Mohd Zawawi berkata, jumlah keseluruhan dadah yang dirampas MNKP sepanjang tahun ini bernilai RM3.1 juta melibatkan 5 kilogram (kg) syabu dan 767kg ganja.
Katanya, Maritim Malaysia menerusi MNKP melahirkan setinggi penghargaan atas kerjasama komuniti nelayan dalam membanteras aktiviti jenayah di laut dan berharap kerjasama sebegini dapat dipertingkatkan lagi agar perairan negara kita sentiasa selamat dan bersih daripada jenayah.
Tambahnya, sebarang aduan atau berkaitan aktiviti yang mencurigakan boleh disalurkan dengan menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Kedah dan Perlis (Langkawi) di talian 04-9662750 / 04-966 5307. – Edisi9