25.5 C
Kuala Lumpur
Thursday, December 5, 2024

Kalah di PRK DUN Slim, Dr. Mahathir ‘semakin melalut’

Mesti Baca

Zulkiflee Bakar
Zulkiflee Bakar
Penulis Khas Edisi 9

TUN Dr.Mahathir Mohamad ternyata tidak mampu menerima kekalahan teruk yang dialami oleh Calon Pejuang dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim baru-baru ini apabila mendakwa berlaku rasuah dalam pilihan raya kecil tersebut.

Membaca kenyataan beliau seperti mana dilaporkan oleh Free Malaysia Today hari ini, terbukti Dr. Mahathir semakin ‘melalut’ dalam berkata, ‘bercelaru’ dalam berfikir dan ‘keliru’ dalam tindakan politiknya.

Sungguh melucukan apabila beliau menyatakan:

“Kita tahu banyak mana duit yang digunakan. Kita tahu mereka bawa pengundi menaiki van, di dalam van berkenaan diberikan duit. Kita tahu, mereka ambil gambar dan selepas undian dibuat, mereka tunjukkan jari bahawa sudah mengundi dan tunjukkan kepada orang BN, wang selebihnya akan diberikan.”

Apakah ini tahap politik seorang bergelar negarawan dan bekas Perdana Menteri? Mereka-reka jalan cerita bagaikan filem kerana terlalu kecewa parti yang ditubuhkan oleh beliau dan dipimpin oleh anak kesayangannya sebagai Presiden, Datuk Seri Mukhriz ditolak mentah-mentah oleh pengundi Slim?

Kalau betul Dr. Mahathir dan Pejuang ada bukti seperti mana beliau kata, “Inilah yang diberitahu kepada kami. Ada gambar”, buatlah laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), biar siasatan dijalankan.

Penulis percaya Dr. Mahathir dalam keadaan kemarahan yang meluap-luap bukan kecewa sangat kerana Pejuang kalah sebab beliau pun sudah menjangkakannya tetapi disebabkan Datuk Seri Najib Tun Razak antara penyumbang kemenangan tersebut.

Reaksi Dr. Mahathir Mohamad ketika berkempen di PRK DUN Slim, baru-baru ini bagi membantu calon Pejuang.

Justeru, Dr. Mahathir yang kini berusia 95 tahun tetapi terus menongkah arus politik negara berkata, “Kita tahu keputusan di PRK DUN Slim kita jangka untuk kalah tetapi tidak sebanyak itu. Untuk kita fikirkan pengundi akan sokong disebabkan ada individu yang didapati bersalah, saya tak boleh terima.”

Ternyata Najib seorang pemimpin politik hebat dan lawan sebenar Dr. Mahathir. Kalau tidak masakan Dr. Mahathir terus menerus ‘menyerang’ Ahli Parlimen Pekan itu walaupun Najib sudah tidak lagi mempunyai apa-apa kuasa.

Selain itu Dr.Mahathir juga kecewa kerana kekalahan tersebut membuktikan beliau sudah tidak lagi relevan dalam persada politik tanah air.

Beliau sudah tidak ada apa-apa kuasa, kekuatan mahupun pengaruh dan Dr. Mahathir juga mungkin berasa perit kerana orang tidak lagi memandang beliau sebagai seorang tokoh dikagumi.

Bayangkanlah bersusah-payah Dr. Mahathir turun berkempen dengan membawa ‘darjat’ sebagai bekas Perdana Menteri sebanyak dua kali, pernah memimpin dua gabungan iaitu BN dan PH, pernah berada dalam tiga parti iaitu UMNO, Bersatu dan kini Pejuang – akhirnya calon beliau, Amir Khusyairi Mohamad Tanusi hanya dapat 2,115 undi.

Amir Khusyairi yang menggunakan tiket Bebas dan simbol pokok serta menghiburkan penonton dengan nyanyiannya kalah kepada calon BN Mohd. Zaidi Aziz yang mendapat 13,060 undi atau majoriti 10,945 undi.

Sebelum ini di PRK Chini, walaupun Pakatan Harapan tidak bertanding namun Dr. Mahathir menyokong calon Bebas, Tengku Datuk Zainul Hisham Tengku Hussin. Bagaimanapun calon tersebut juga kalah teruk dengan majoriti 12,650 undi kepada calon BN, Mohd. Sharim Md Zain.

Advertisements

Meninjau-meninjau media sosial termasuk blog Dr. Mahathir ternyata beliau kini semakin tidak popular. Keadaan itu tentulah memilukan bagi seorang yang merasakan dirinya ‘sifu politik’. Dr.Mahathir juga tentu dapat membayangkan apa yang akan berlaku kepada Pejuang, jika beliau bersara.

Kalau sekarang pun sudah ditolak rakyat, apatah lagi nanti dipimpin oleh Mukhriz. Kekalahan di DUN Slim membuka jalan ‘kegelapan’ kepada Pejuang yang ibarat sudah sudah menempah ‘tanah’ untuk ‘dikuburkan’ biarpun Dr.Mahathir bercita-cita tinggi mahu menang di 36 kerusi Parlimen.

Apapun sudah sampai masanya untuk Dr.Mahathir insaf dan paling baik bersara daripada politik. Kenyataan terbaru yang menuduh berlaku amalan rasuah di DUN Slim menunjukkan beliau bagaikan sudah tidak tahu apa yang mahu dilakukan.

Dr.Mahathir sepatutnya mencontohi Mukhriz kerana Presiden Pejuang itu secara terbuka menerima kekalahan di DUN Slim dan tetap berasa bangga kerana tidak hilang deposit.

Sebenarnya kita sudah muak dengan politik Dr.Mahathir yang tidak berubah sejak sebelum PRU-14 hinggalah Pakatan Harapan memerintah sebelum tumbang apabila beliau meletakkan jawatan Perdana Menteri.

Tidak habis-habis menjadikan rasuah dan ‘meratib’ nama Najib. Jika beliau ulas soal BN, UMNO mahupun Perikatan Nasional (PN), seolah-olah tidak sah, kalau perkataan-perkataan itu tidak disebut.

Kita tidak perlu meminta Dr.Mahathir menghentikan cara politik beliau yang memualkan kerana bekas Perdana Menteri itu tidak mungkin akan berbuat demikian.

Ia mungkin kerana Dr.Mahathir sedang berhadapan dengan konflik dalam diri. Ia memandangkan beliau tidak lagi disanjung, dihormati oleh majoriti rakyat seperti mana sebelum PRU-14.

Malah sekarang rakyat termasuklah yang menyokong parti pembangkang pun ‘tidak lagi berkenan’ dengan Dr.Mahathir manakala dalam kalangan orang Melayu pula, mereka melihat tidak ada apa-apa alasan untuk menyokong Ahli Parlimen Langkawi itu.

Kesimpulannya. selepas PRK DUN Slim penganalisis politik melihat, orang bernama Mahathir Mohamad ini sudah tidak lagi relevan dalam arena politik negara.

Mungkin kenyataan ini agak kasar atau keras memandangkan Dr.Mahathir pernah menjadi Perdana Menteri selama 22 tahun dan 22 bulan, tetapi beliau sendiri yang menyebabkan rumusan atau tanggapan itu dibuat.

Oleh itu Dr.Mahathir perlu belajar ‘berdiri di depan cermin’, ‘mendiamkan diri seketika’ dan’ berfikir sejenak’ untuk membolehkan beliau menerima hakikat, era beliau sudah berlalu.

Jika tidak mahu ‘cari sakit, dapat sakit’ seperti mana berlaku di DUN Slim – bersaralah secara terhormat, sebelum disingkirkan secara tidak hormat oleh rakyat dalam PRU15.

Advertisements

Terkini

Kebaya diiktiraf warisan kebudayaan tidak ketara UNESCO

MALAYSIA berjaya mendapat pengiktirafan untuk satu lagi elemen warisan kebudayaan tidak ketara iaitu kebaya sempena sesi ke-19 Intergovernmental Committee...

Lagi Artikel Berkaitan