34 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

Covid-19: Gunung Kinabalu ditutup dua minggu

Mesti Baca

KOTA KINABALU – Kompleks Taman Kinabalu dekat sini ditutup bermula esok hingga 8 Oktober depan selepas seorang pendaki dikesan sebagai kontak rapat kepada individu yang didapati positif Covid-19.

Setiausaha Tetap Lembaga Pemegang Amanah Taman-Taman Sabah, Dr Jamili Nais berkata, pihaknya dimaklumkan bahawa pada 13 hingga 14 September lalu, seorang pendaki dari Tawau mempunyai kontak rapat dengan pesakit Covid-19.

Menurutnya, berikutan itu, Jabatan Kesihatan Sabah mengesyorkan Kompleks Taman Kinabalu ditutup kepada orang awam, termasuk pendaki ke Gunung Kinabalu, selama 14 hari berkuat kuasa 25 September  hingga 8 Oktober depan.

“Semua kakitangan yang bertugas di pusat saringan, kaunter pendaftaran dan pintu masuk Kompleks Taman Kinabalu serta Panalaban, dikehendaki menjalani saringan kesihatan pada hari ini di Dewan Kinabalu.

“Selain itu, semua malim gunung dan porter serta kakitangan Sutera Sanctuary Lodge (SSL) dan Mt Torq yang terdedah kepada jangkitan COVID-19 ketika bertugas pada dua tarikh berkenaan, dikehendaki menjalani saringan kesihatan,” katanya yang dipetik Berita Harian.

Jamili dalam pada itu menjelaskan, kakitangan taman dan malim gunung yang dikenal pasti terdedah rapat dengan pesakit Covid-19 itu turut dikehendaki menjalani kuarantin di rumah sehingga keputusan ujian saringan diperoleh.

“Jabatan Kesihatan Sabah akan meletakkan notis penutupan, termasuk penghalang masuk ke Kompleks Taman Kinabalu, bermula hari ini.

“Bagaimanapun, kakitangan taman, SSL dan Mt Torq serta agensi yang ada kepentingan, akan dibenarkan masuk. Semua kemudahan awam juga akan dilakukan proses nyah kuman,” katanya.

Selain itu, beliau sudah memberi taklimat berhubung situasi terbabit kepada Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Christina Liew.

Terkini

Lebih 27,000 kandungan diturunkan sejak awal tahun – MCMC

SEBANYAK 27,115 kandungan bersifat provokatif melampau dalam media sosial dan platform Over The Top (OTT) telah diturunkan dalam tempoh...

Lagi Artikel Berkaitan