31.3 C
Kuala Lumpur
Wednesday, September 27, 2023

TEMCO di Aman Jaya, Sungai Petani esok – Ismail Sabri

Mesti Baca

KUALA LUMPUR – Kerajaan akan menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan secara pentadbiran (TEMCO) di Aman Jaya, Sungai Petani, Kedah melibatkan tiga zon bermula pukul 12.01 tengah malam ini.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pelaksanaan TEMCO itu diputuskan hasil Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai Pelaksanaan PKP.

Menurutnya, penguatkuasaan perintah itu akan bermula 28 Ogos sehingga satu tempoh yang akan dimaklumkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Tiga zon di Aman Jaya adalah di Kenanga, Mawar, dan Melur yang melibatkan seramai 22,360 isi rumah akan disaring oleh KKM.

“Penduduk di kawasan terlibat tidak dibenarkan keluar daripada zon manakala orang luar juga tidak dibenarkan memasuki zon terlibat,” katanya hari ini.

ISMAIL SABRI YAAKOB – foto MALAY MAIL

Ismail Sabri berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan melaksanakan sekatan jalan raya dan kawalan di jalan keluar masuk zon yang terbabit.

“Individu yang perlu keluar untuk bekerja tidak dibenarkan dan mereka yang (datang) dari luar untuk bekerja ke kawasan TEMCO juga tidak dibenarkan.

“Majikan diminta mengambil maklum dan tidak akan mengambil tindakan ke atas pekerja kerana ini perintah kerajaan sebaliknya membenarkan mereka bekerja dari rumah,” katanya.

Menurut Ismail Sabri, hanya premis perniagaan yang menyediakan perkhidmatan perlu sahaja dibenarkan beroperasi seperti perkhidmatan makanan, farmasi, klinik dan hospital.

“Bagaimanapun premis perniagaan lain seperti kilang adalah dilarang untuk beroperasi sementara restoran dan kedai makan boleh menggunakan kaedah bungkusan sahaja dan dibenarkan operasi bermula pukul 8 pagi hingga 8 malam.

“Selain itu, stesen minyak dan kedai runcit juga beroperasi dari 8 pagi hingga 8 malam, sementara pasar malam dan pasar tani tidak dibenarkan manakala pasar harian dibenarkan bermula 6 pagi hingga 2 petang,” jelas beliau.

Beliau menambah, bagi kes kecemasan seperti sakit dan kematian dibenarkan untuk keluar zon, tetapi perlu mengemukakan permohonan kepada polis. – Edisi 9

Terkini

1MDB: Mahkamah tolak permohonan Najib ketepi injunksi

MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan Datuk Seri Najib Tun Razak untuk mengetepikan injunksi Mareva yang diperoleh 1Malaysia Development...

Lagi Artikel Berkaitan