25.5 C
Kuala Lumpur
Wednesday, April 24, 2024

Lepaskan akaun ahli perniagaan bukan arahan saya – Shukri

Mesti Baca

KUALA LUMPUR – Bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Mohd Shukri Abdull menegaskan beliau tidak pernah mengeluarkan arahan kepada pegawainya supaya melepaskan akaun ahli perniagaan yang dibekukan pada 2018.

Shukri menegaskan, dalam mana-mana siasatan, beliau tidak akan patuh dengan mana-mana arahan termasuk menteri mahu pun perdana menteri.

“Begitu juga dalam kes ini, saya tak pernah keluarkan arahan pada pegawai-pegawai saya supaya melepaskan pembekuan akaun berkaitan.

“Andainya betul, akaun berkenaan dibatalkan pembekuannya, ianya bukan arahan saya,”katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, sidang Dewan Rakyat ‘gempar’ dengan pendedahan beberapa pucuk surat diminitkan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad; bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dan bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas kepada SPRM supaya mereka membatalkan pembekuan akaun milik seorang ahli perniagaan, pada 2018.

TAKIYUDDIN HASSAN FOTO MALAY MAIL

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Takiyuddin Hassan, ketika membuat pendedahan itu berkata, kes berkenaan membabitkan seorang ahli perniagaan dikenali sebagai Tan Sri Lim Soon Ping yang terlibat dengan kes penggubahan wang haram dari 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sebanyak RM4 juta.

Advertisements

Berikutan itu ahli perniagaan berkenaan meminta peguamnya menulis surat representasi bertarikh 10 Oktober 2018 kepada Ketua Pesuruhjaya SPRM ketika itu, Shukri Abdull untuk melepaskan pembekuan semua akaun peribadi dan syarikatnya secepat mungkin.

Minit berkenaan berbunyi Yang Berhormat AG; “Please lift the freeze of account as requested by YAB Perdana Menteri bertarikh 19 Februari 2019. Ini adalah minit dibuat ke atas surat seorang peguam Tan Sri Lim Soon Ping, seorang dituduh melakukan kesalahan ini,” dedah Takiyuddin ketika berucap menggulung perbahasan usul menjunjung kasih titah ucapan Yang di-Pertuan Agong.

Kenyataan Shukri sekali gus mencetuskan tanda tanya pihak manakah yang mengarahkan akaun ahli perniagaan itu dilepaskan.

Shukri menegaskan, beliau akan sentiasa menjaga itengriti diri beliau.

“Dalam siasatan, saya hanya akur dengan arahan Timbalan Pendakwa Raya sahaja, bukannya arahan dari pihak-pihak yang tidak berkaitan,” tegasnya. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

MasChain perkenal ekosistem teknologi ‘blockchain’ di Malaysia

SYARIKAT pakar teknologi blockchain, Masverse Sdn. Bhd. melancarkan MasChain, platform transformatif yang direka untuk merevolusikan ekosistem digital bagi kerajaan,...

Lagi Artikel Berkaitan