31 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

PKPD dikuatkuasakan di 4 mukim Kedah, 7,000 penduduk terjejas

Mesti Baca

KUALA LUMPUR – Kerajaan menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) secara pentadbiran di empat mukim di Kedah yang memberi kesan kepada 7,000 penduduk di kawasan itu.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai Pelaksanaan PKP meluluskan permohonan kerajaan negeri untuk melaksanakan PKPD itu bermula hari ini sehingga 30 Ogos.

Menurut beliau, dengan pelaksanaan PKPD itu, kira-kira 7,000 penduduk kawasan berkenaan akan disaring selepas peningkatan kes positif Covid-19 daripada kluster Sivagangga.

“Mengambil kira 11 kes baharu yang berpunca daripada kluster Sivagangga di Kedah membabitkan empat mukim, kerajaan negeri memohon untuk melaksanakan PKPD secara pentadbiran dalam radius satu kilometer dari Restoran Nasi Kandar Salleh, Pekan Napoh di mukim Hosba, Kubang Pasu.

“Selain itu, ia juga membabitkan Kampung Pida Satu, Megat Dewa di mukim Ah; Kampung Bendang Dalam (mukim Binjal) dan Kampung Ulu, Padang Sanai (Padang Terap),” katanya hari ini.

PEMILIK premis didapati ingkar arahan kuarantin sehingga mengakibatkan penularan jangkitan Covid-19. – Foto Media Sosial

Kes indeks pertama bagi Kluster Sivagangga, India merupakan seorang pemastautin tetap yang juga pemilik kedai makan selepas dia pulang ke Malaysia dari India pada 13 Julai lalu.

Setakat semalam, 20 orang telah dipasti positif dan dihantar ke hospital termasuk dua murid sekolah rendah.

Ismail Sabri memberitahu, berikutan pelaksanaan PKPD secara pentadbiran di empat mukim itu, semua masjid dan rumah ibadat ditutup bagi aktiviti keagamaan termasuk solat Jumaat.

Jelas beliau, solat jemaah pula hanya dibenarkan dihadiri tiga individu sahaja.

“Pelaksanaan PKPD itu akan mengguna pakai SOP (prosedur operasi standard) sedia ada dengan tambahan sekatan jalan raya di setiap laluan keluar masuk dan penutupan beberapa jalan utama sekitar,” ujarnya.

ISMAIL SABRI YAAKOB – foto MALAY MAIL

Ismail Sabri berharap apa yang berlaku di Kedah tidak akan berlaku di kawasan lain, terutama jika semua pihak bertanggungjawab dalam pematuhan SOP dikeluarkan KKM.

“Kebebasan bergerak kita mungkin boleh disekat apabila kes meningkat dengan mendadak dan perkara sama boleh berlaku di tempat lain,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, polis akan mengadakan enam sekatan jalan raya (SJR) di Kubang Pasu dalam usaha menyekat penularan kes Covid-19 berikutan penularan Kluster Sivagangga.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Deputi Superintendan P Chien Chunng Tsaur yang dipetik Harian Metro berkata, pelaksanaan SJR itu membabitkan satu sekatan di Kodiang manakala di Changlun terdapat lima SJR.

“SJR ini selaras dengan arahan Perintah Kawalan Pergerakan Bersasar berikutan kes Covid-19 yang berlaku di daerah ini.

“Pelaksanaan SJR ini juga adalah untuk membantu pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menjalankan ujian saringan terhadap penduduk di kawasan terbabit,” katanya.

Chien berkata, ketika ini seramai 96 anggota polis ditugaskan mengawal lalu lintas di lokasi SJR itu dan kemungkinan selepas ini pihaknya akan memohon bantuan daripada agensi berkaitan lain.

“Kesemua anggota ini akan bertugas selama 24 jam bagi mengawal laluan masuk dan keluar kawasan berkenaan,” katanya. – Edisi 9

Terkini

Bekas Ketua Polis Negara, Tun Hanif Omar meninggal dunia

BEKAS Ketua Polis Negara (KPN), Tun Mohammed Hanif Omar meningggal dunia di kediamannya di Shah Alam, Selangor pagi ini. Allahyarham...

Lagi Artikel Berkaitan