30.9 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

Isteri Guan Eng akan didakwa di bawah AMLA

Mesti Baca

GEORGETOWN – Betty Chew Gek Cheng, isteri bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dijangka dihadapkan ke Mahkamah Butterworth, Selasa ini.

Perkembangan itu dimaklumkan peguamnya, Lee Khai yang ditemui pemberita selepas keluar dari ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) Pulau Pinang di Georgetown, hari ini.

“Beliau akan dituduh di bawah Akta Pencegahan Penggubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLA) 2001,” katanya yang dipetik Harian Metro.

Pada soalan sama ada pertuduhan itu berkaitan siasatan terhadap projek terowong dasar laut, Khai menafikan perkara berkenaan.

Difahamkan siasatan terhadap Betty Chew adalah berkaitan syarikat Excel Property Management and Consultancy Sdn Bhd, namun tiada penjelasan lanjut.

Terdahulu, Betty Chew ditahan pada pukul 10.45 pagi ketika hadir untuk memberi keterangan di ibu pejabat SPRM Georgetown.

Beliau diikat jamin RM50,000 dan meninggalkan pejabat berkenaan pada 4.30 petang, iaitu enam jam selepas itu.

Betty ditemani adik suaminya, Lim Hui Ying.

Dalam perkembangan berasingan, pagi ini, suaminya, Guan Eng didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tuduhan meminta rasuah membabitkan projek terowong dasar laut di Pulau Pinang.

Guan Eng, 59, mengaku tidak bersalah dan memohon dibicarakan sebaik pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Azura Alwi.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu berhampiran Hotel The Gardens, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City, pada Mac 2011 dan didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, yang boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mana yang lebih tinggi.

Guan Eng juga dijadual dituduh di mahkamah Butterworth, Isnin ini bagi kes lain.

Turut ditahan semalam, adalah seorang ahli perniagaan wanita, Phang Li Koon

Li Koon, sebelum ini dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi pada September 2018, berhubung satu pertuduhan rasuah pada 2016.

Guan Eng pada 30 Jun 2016, didakwa menggunakan jawatannya sebagai penjawat awam untuk mendapatkan sesuatu untuk diri sendiri dan isteri.

Beliau dituduh menggunakan kedudukannya sebagai penjawat awam, untuk mendapatkan kepentingan kepada diri sendiri dan isterinya dengan meluluskan permohonan oleh Magnificent Emblem Sdn Bhd bagi menukar tanah pertanian menjadi tanah kediaman.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 23, Akta SPRM 2009.

Bagi pertuduhan kedua, beliau didakwa menggunakan kedudukannya untuk membeli rumah di Jalan Pinhorn daripada Phang dengan harga RM2.8 juta, yang berada di bawah nilai pasaran hartanah berjumlah RM4.27 juta.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara dua tahun, denda, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Li Koon pula didakwa mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan, yang dibacakan bersama Seksyen 165 kanun sama kerana bersubahat dengan Guan Eng berhubung pembelian banglo itu.

Terkini

Imigresen serbu pusat hiburan sediakan ‘call girl’, 63 ditahan

JABATAN Imigresen Johor menyerbu sebuah pusat hiburan yang disyaki menyediakan gadis panggilan (call girl) di Taman Mount Austin, Johor...

Lagi Artikel Berkaitan