27.9 C
Kuala Lumpur
Wednesday, April 24, 2024

COVID-19 mutasi D614G dikesan di Malaysia, semua perlu patuh SOP

Mesti Baca

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan mengesahkan wujud empat kes dari dua kluster berasingan dijangkiti virus COVID-19 dari mutasi D614G.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, virus jenis ini 10 kali lebih mudah dijangkiti individu lain serta mudah merebak oleh individu “super spreader”.

Menurut beliau, keempat-empat kes terbabit setakat ini melibatkan tiga kes daripada Kluster PUI Sivagangga iaitu konteks rapat dengan indeks manakala satu kes lagi daripada Kluster Ulu Tiram membabitkan individu warga Filipina.

“Setakat ini kedua-dua kluster ini didapati agak terkawal hasil pelbagai tindakan kawalan kesihatan awam yang pantas di lapangan.

“Ujian ini adalah ujian awal dan terdapat beberapa ujian susulan sedang dijalankan bagi menguji beberapa kes yang lain, termasuk bagi kes indeks bagi kedua-dua kluster ini,” kata beliau menerusi Facebooknya, lewat malam tadi.

Advertisements

Noor Hisham berkata, mutasi D614G tersebut ditemui oleh saintis pada Julai lalu dan berkemungkinan akan menyebabkan kajian vaksin sedia ada tidak merangkumi atau tidak berkesan terhadapnya.

Beliau berkata, langkah diambil oleh pihaknya dengan kaedah menggunakan tindakan pencegahan dan kawalan kesihatan awam iaitu berdisiplin dalam mengamalkan sepenuhnya SOP yang ditetapkan.

Ini termasuk mengamalkan penjarakan fizikal, kebersihan kendiri yang tinggi terutama mencuci tangan dengan air dan sabun, serta memakai pelitup muka terutama di tempat awam, tempat sesak, tempat tertutup dan ketika sembang jarak dekat.

“Situasi terkini COVID-19 didapati masih terkawal dan KKM serta agensi-agensi lain masih berusaha membendung penularan COVID-19.

“Kerjasama masyarakat amat diperlukan agar dapat kita sama-sama memutuskan penularan jangkitan COVID-19 daripada segala jenis mutasi sekalipun,” kata beliau. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Pendapatan Aneka Jaringan mengukuh kepada RM54.2 juta

ANEKA Jaringan Holdings Berhad (Aneka Jaringan) pakar pembinaan bawah tanah dan asas, terus menunjukkan daya tahan dan pertumbuhan dalam...

Lagi Artikel Berkaitan