27.9 C
Kuala Lumpur
Saturday, March 30, 2024

Bekas pembantu menteri mengaku tak bersalah tuduhan rasuah RM3j

Mesti Baca

KUALA LUMPUR – Bekas setiausaha sulit kanan kepada bekas menteri pelancongan, seni dan budaya dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, harı ini atas 18 pertuduhan menerima serta meminta suapan berjumlah RM3,129,015 daripada pemilik sebuah syarikat bagi mendapatkan tender perkhidmatan pengiklanan di bawah kementerian itu.

Memetik Bernama, Mohd Saifullah Mohd Minggu @ Mohd Hisham, 29, mengaku tidak bersalah selepas semua pertuduhan terhadapnya dibacakan di depan Hakim Azman Ahmad.

Sementara itu, tunangnya, Nurfadziana Abdul Kadir, 28, juga mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan bersubahat dengan Saifullah dalam melakukan kesalahan rasuah dengan menerima suapan RM232,000.

Semua kesalahan itu didakwa dilakukan di sekitar Kuala Lumpur, iaitu Red Box Karaoke dan Coffee Bean di Pusat Beli-belah Pavilion, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Vipod Residences, Maybank Taman Tun Dr Ismail dan Wisma Genting serta pejabat Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya di Putrajaya antara 19 Jan hingga 29 Julai 2019.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Farah Yasmin Salleh, manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Md Yunos Sharif.

Mengikut 14 pertuduhan, Saifullah didakwa menerima suapan wang tunai berjumlah RM2,871,500 daripada pemilik Inter Bev Network Sdn Bhd, Ronald Seto Kong Seng melalui Roslan Lahada serta Abdul Halim Khuajah.

Ia sebagai upah untuknya yang berjanji mendapatkan tender “Perkhidmatan Penghasilan Penjenamaan dan Kreatif Untuk Kempen Pengiklanan Tourism Malaysia” serta “Perkhidmatan Pembelian Ruang Iklan Bagi Pasaran Negara Asia Utara dan Asia Timur Tourism Malaysia” untuk Inter Bev Network.

Tertuduh juga didakwa berjanji mendapatkan tender “RFP-Global Advertising Agency And Promotion For Tourism Malaysia” kepada Plan B Digital Sdn Bhd.

Bagi tiga pertuduhan pula, Saifullah didakwa secara rasuah meminta daripada Ronald melalui Roslan iaitu pembayaran deposit dan sewaan seunit rumah di Vipod Residences, No. 6, Jalan Kia Peng, di sini, berjumlah RM20,015 melalui cek Maybank yang diberikan kepada Roslan.

Dia juga didakwa menerima suapan daripada Seto bagi pembayaran sewa rumah sama berjumlah RM5,500 secara pindahan akaun Maybank melalui Roslan.

Mengikut satu lagi pertuduhan, Saifullah dituduh menerima suapan RM232,000 daripada Seto melalui tunangnya, Nurfadziana berhubung perkara sama.

Tertuduh didakwa melakukan semua kesalahan itu di bawah Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009, manakala Nurfadziana dituduh mengikut Seksyen 28 (1) dan kedua-duanya boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang 5 kali ganda nilai suapan, mana-mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM200,000 dengan seorang penjamin, pasport diserahkan kepada mahkamah sebelum 2 Sept. serta melaporkan diri di pejabat SPRM berhampiran pada minggu pertama setiap bulan, manakala Nurfadziana dibenarkan diikat jamin RM100,000 dengan syarat sama.

Mahkamah menetapkan 23 Sept. ini untuk sebutan semula kedua-dua kes itu.

Terdahulu, Farah Yasmin memberitahu mahkamah, pihak pendakwaan membantah sebarang jaminan terhadap Saifullah atas alasan terdapat kebarangkalian tertuduh melarikan diri jika dibebaskan dengan jaminan.

“Permohonan pendakwaan ini disokong afidavit pegawai penyiasat bahawa usaha-usaha dijalankan SPRM dalam mengesan tertuduh semasa tempoh siasatan pada 10 Jun hingga 11 Julai lalu.

Bagi Nurfadziana pula, Farah Yasmin berkata, kesalahan yang dilakukan tertuduh adalah serius kerana melibatkan wang berjumlah RM232,000 dan menawarkan jaminan RM500,000.

Yunos berhujah, jika dibaca secara keseluruhan kandungan afidavit itu, ia hanya menyatakan SPRM gagal mengesan Saifullah berdasarkan usaha yang dilakukan, tetapi tiada dalam afidavit yang menyatakan tertuduh mengelak atau melarikan diri daripada SPRM.

“Dalam afidavit itu, tertuduh telah menyerahkan diri kepada SPRM pada 14 Ogos dan tidak pernah melarikan diri daripada SPRM, sebaliknya membantu siasatan. Kami mohon jaminan rendah serta munasabah terhadap Saifullah, manakala RM50,000 bagi Nurfadziana.”

Terkini

‘Rebel’, filem aksi arahan pertama Awie

SELEPAS bertahun-tahun berkecimpung dalam dunia lakonan dengan puluhan filem serta pelbagai watak yang pernah dilakonkan, akhirnya vokalis kumpulan Wings iaitu...

Lagi Artikel Berkaitan