31.8 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

Nur Jazlan persoal motif Ku Li minta Ahmad Zahid berkorban

Mesti Baca


KUALA LUMPUR – Bekas Ahli Parlimen Pulai, Datuk Nur Jazlan Mohamed mempersoalkan apakah motif di sebalik gesaan Tengku Razaleigh Hamzah atau Ku Li supaya Presiden UMNO Datuk Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi berkorban dengan memberi laluan kepada orang lain dalam kepemimpinan parti itu.

Katanya, soal pemilihan UMNO tidak sepatutnya dibincangkan sekarang kerana ia hanya dijadual pada tahun depan.

‘’Soal pengorbanan ini, saya rasa tidak timbul kerana Ahmad Zahid ketika ini menghadapi pendakwaan di mahkamah yang (dianggap) berbaur politik, justeru saya rasa ia perlu diselesaikan di mahkamah,’’ katanya, di sini, hari ini.

Datuk Nur Jazlan Mohamed

Tengku Razaleigh dalam wawancara bersama Utusan Malaysia berkata, Ahmad Zahid dan bekas Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak perlu melakukan pengorbanan kerana UMNO dilihat ‘cacat’ pada pandangan rakyat buat masa ini.

Bagaimanapun ketika mengulas lanjut gesaan itu, Nur Jazlan yang juga Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO Johor turut mempersoalkan apa pula pengorbanan Tengku Razaleigh yang menjadi Ahli Parlimen Gua Musang sejak 46 tahun lalu secara berterusan.

‘’Saya rasa beliau juga berhasrat menjadi Perdana Menteri dan pengorbanan yang belum tuntut daripada Ahmad Zahid mungkin ada kena mengena kerana beliau pernah menawarkan diri bertanding jawatan Presiden pada tahun 2018,’’ katanya.

Nur Jazlan menegaskan, keadaan itu menimbulkan tanda tanya pengorbanan dimaksudkan oleh Ahli Parlimen Gua Musang itu yang disifatkan oleh beliau telah memecah belahkan UMNO pada tahun 1988 apabila menubuhkan Parti Semangat 46.

Tengku Razaleigh yang menjadi Ahli Parlimen kawasan berkenaan sejak 1974 pernah memegang jawatan sebagai Menteri Kewangan dari 5 Mac 1976 hingga Julai 1984.

Beliau mencatatkan rekod sebagai individu paling lama menduduki jawatan itu, sebelum diambil oleh Tun Daim Zainuddin dalam rombakan Kabinet pada tahun 1984 yang menyaksikan Tengku Razaleigh dilantik menjadi Menteri Perdagangan dan Perindustrian (MITI).

Tengku Razaleigh kali pertama bertanding jawatan Presiden UMNO ialah pada tahun 1987 apabila beliau bergandingan dengan Tun Musa Hitam bagi mencabar regu Tun Dr.Mahathir Mohamad dan Tun Ghafar Baba, tetapi beliau tewas.

Pada tahun 1988 beliau menubuhkan Parti Semangat 46 bersama dengan Tan Sri Dr.Rais Yatim. Bagaimanapun pada tahun 1996 Semangat 46 dibubarkan dan kedua-dua pemimpin itu kembali menyertai UMNO.

Pemilihan UMNO 2018 merupakan percubaan kelima Tengku Razaleigh bertanding jawatan Presiden itu yang menyaksikan beliau dan seorang lagi calon, Khairy Jamaluddin tewas kepada Ahmad Zahid.

Selain tahun 1987, Tengku Razaleigh pernah menawar diri bertanding jawatan berkenaan pada tahun 2000 melawan Dr.Mahathir, 2004 mencabar Tun Abdullah Ahmad Badawi dan 2009 menentang Najib kerana Abdullah akan mengundurkan diri kerana prestasi buruk Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13)

Bagaimanapun beliau tidak dapat bertanding di ketiga-tiga pemilihan tersebut kerana gagal mendapat kuota pencalonan 30 peratus daripada bahagian-bahagian. – Edisi 9

Terkini

Bekas Ketua Polis Negara, Tun Hanif Omar meninggal dunia

BEKAS Ketua Polis Negara (KPN), Tun Mohammed Hanif Omar meningggal dunia di kediamannya di Shah Alam, Selangor pagi ini. Allahyarham...

Lagi Artikel Berkaitan