KUALA LUMPUR – Cadangan Tun Dr. Mahathir Mohamad untuk mencalonkan Presiden Warisan dan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Shafie Apdal sebagai Perdana Menteri kesembilan adalah memalukan dan beliau tidak akan mampu menarik sokongan ahli-ahli Parlimen dari dua negeri itu untuk menyokongnya.
Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri James Jemut Masing berkata, cadangan bekas Perdana Menteri itu seolah-olah cuba memperbodoh-bodohkan ahli-ahli Parlimen dari kedua-dua negeri itu dalam usahanya bermain politik bagi kepentingan pihak tertentu.

“Saya tahu Shafie adalah pemimpin yang baik dan berkemampuan, tetapi jangan anggap orang Sabah dan Sarawak bodoh dengan mencadangkannya sebagai calon perdana menteri selepas PRU15 demi mendapatkan sokongan dua negeri Malaysia Timur terhadapnya dengan cadangan itu.
“Tidak mungkin pengundi Malaysia akan menerimanya. Saya minta Dr Mahathir berhenti bermain politik,” katanya seperti dipetik di dalam laman The Star.
Cadangan menamakan Shafie sebagai Perdana Menteri kesembilan didedahkan Dr Mahathir Mohamad semalam, dalam usahanya merampas kembali kerajaan dipimpin Perdana Menteri Muhyiddin Yassin yang mempunyai majoriti kerusi yang nipis di Dewan Rakyat.
James juga menyatakan penduduk Sabah akan sentiasa mengingati bagaimana Dr. Mahathir mungkir janji jawatan Ketua Menteri Sabah yang diperkenalkannya pada 1994.
“Nasihat saya kepada orang Sabah, tolong ingat perkataan ini: Awak perbodohkan saya sekali, malunya pada anda. Anda perbodohkan saya dua kali, malukan kepada saya. Anda diperbodohkan sekali oleh Dr. Mahathir mengenai pertukaran jawatan Ketua menteri dua tahun sekali dan kini anda akan diperbodohkan kali kedua apabila dia berkata Shafie akan menjadi PM selepas piilihan raya ke-15.” kata Masing. – EDISI9